SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, January 3, 2015

PENANGGUHAN SESI PERSEKOLAHAN 2015: KEPEKAAN WARGA SEKOLAH TERHADAP MUSIBAH BANJIR (RESPECT THE RULE ACCORDINGLY)

Dua isu segera yang telah dijelaskan oleh pucuk pimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah tentang berita palsu penangguhan sesi persekolahan tahun 2015 hingga sebulan dan aduan tentang sekolah yang masih 'berdegil' untuk memanggil guru bertugas ketika cuti khas bencana sebagaimana yang diumumkan. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr. Khair bin Mohd Yusof meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan sebaran melalui media sosial, sebaliknya merujuk portal kementerian (www.moe.gov.my). Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan pula meminta pengetua mematuhi arahan KPM dengan tidak 'memaksa' guru bertugas dalam tempoh penangguhan, kecuali mereka sanggup datang secara sukarela.

Kekeliruan mungkin timbul di negeri-negeri yang tidak mengalami bencana banjir terburuk seperti di sebelah pantai timur Semenanjung. Terdapat pengetua yang berpendapat bahawa peruntukan perintah am bahawa guru boleh dipanggil bertugas selama satu per tiga daripada keseluruhan cuti boleh digunakan. Maka, pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK @ NUTP) telah memanjangkan aduan anggota kepada pihak KPM.

Kebanyakan guru sebenarnya tidak berkira sangat tentang tugas semasa cuti andai kata suatu keperluan. Sebahagian guru terbabit dengan pengawasan peperiksaan awam dan sebahagian lagi sebagai pemeriksa. Semua tugas berkenaan memakan masa cuti guru walaupun mereka dibayar imbuhan khusus yang tertentu.

Selain itu, terdapat guru yang melaksanakan pendaftaran murid baharu tahun satu dan tingkatan satu. Taklimat kepada ibu bapa dan program suai kenal ringkas juga dilaksanakan semasa cuti. Begitu juga dengan penyerahan slip keputusan PT3, serta taklimat pakej mata pelajaran menengah atas melibatkan kumpulan guru tertentu juga semasa cuti sebelum perayaan Krismas.

Program pengantarabangsaan sekolah kluster dan berprestasi tinggi turut menghendaki guru tertentu bersama murid ke luar negara dalam tempoh cuti. Memanglah zahirnya seronok, tetapi mereka menggalas tanggungjawab berat dari segi keselamatan murid dan kelancaran perjalanan program. Begitu sesetengah guru yang bertindak sebagai jurulatih acara sukan yang menjadi kebitaraan sekolah.

Maka, sangkaan bahawa guru goyang kaki, 'makan gaji buta' sepanjang cuti terbit daripada fikiran orang-orang yang tidak arif tentang dunia keguruan. Hal itu belum mengambil kira bahawa perancangan awal hari pertama persekolahan yang terus bermula dengan pembelajaran. Guru jawatankuasa kurikulum dan jadual waktu wajib mengemas kini dokumen berkaitan jika tidak mahu menerima teguran pihak nazir atau pemantau yang mungkin terpacak di sekolah sebaik pintu utama dibuka pada hari pertama persekolahan kelak.

Sebahagian sekolah telah pun selesai mengadakan mesyuarat guru kali pertama tahun 2015 pada minggu keempat bulan Disember 2014. Maknanya, mesyuarat guru tersebut bukan sahaja mendahului masa, malah mengambil masa cuti guru. Jadi, program yang selalu disebut sebagai 'peribadi' mesti dikorbankan jika bertembung dengan tarikh mesyuarat.

Guru terjejas banjir tidak semestinya mangsa banjir tempatan. Mereka mungkin menziarah kaum keluarga tanpa menduga boleh terperangkap di sana. Timbalan Perdana Menteri sendiri mengesahkan perkara itu.

Guru yang menjadi mangsa banjir terburuk dalam sejarah negara turut mengalami kesan psikologi, kerosakan harta benda dan keadaan rumah kediaman yang tunggang-langgang. Tempoh cuti khas bencana yang diumumkan sedikit sebanyak memberi kelegaan waktu untuk proses pemulihan.

Sekolah yang terbabit dengan musibah banjir memerlukan kerja baik pulih dan pembersihan supaya persekitaran pembelajaran yang selesa dapat disediakan. Terdapat banyak pihak jabatan pendidikan negeri dan daerah yang mengambil daya usaha menganjurkan kutipan derma dan pengumpulan keperluan mangsa banjir untuk disampaikan secara bersemuka kepada mangsa banjir. Hal sebegitu mungkin tidak mahu diakui atau sengaja enggan disedari oleh segelintir kepimpinan sekolah seperti dalam aduan KPPK ...

No comments: