SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, January 1, 2015

KESERASIAN GURU DENGAN PELAJAR (CHEMISTRY IN THE CLASSROOM ACTIVITY)

Pelbagai metafora atau tamsilan diberikan terhadap sekolah dan bilik darjah. Secara akademik, sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Bilik darjah pula ialah ruang yang menyediakan persekitaran pembelajaran yang terancang.

Namun, pada sisi yang lain, sekolah juga dianggap sebagai tidak ubah seperti sebuat pusat jagaan kanak-kanak ketika ibu bapa mereka keluar bekerja. Sekolah menyumbang terhadap keselamatan dan ketenteraman kerana jika kanak-kanak dibiarkan berkeliaran, lebih banyak perbelanjaan perlu dibuat untuk mengawal tingkah laku mereka. Ibu bapa juga tidak dapat bekerja dengan tenang justeru sentiasa khuatir tentang pelakuan anak masing-masing.

Sekolah membimbing kanak-kanak keluar dari dunia buta huruf dan dunia kebergantungan sepanjang hayat. Tanpa akses pendidikan di sekolah, kanak-kanak umpama layang-layang yang terputus talinya. Kanak-kanak akan terumbang-ambing, serta tiada hala tuju yang jelas.

Sekolah menyediakan persekitaran proses sosialisasi supaya kanak-kanak dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan pelbagai ragam manusia, perbezaan pendapat dan sebagainya. Kenangan zaman persekolahan merupakan antara bahagian indah dalam kehidupan seseorang sehingga selalu ada nostalgia, penulisan memoir dan perjumpaan semula (re-union). Pertumbuhan fisiologi, psikologi dan jati diri sebahagiannya berpunca daripada pengalaman pembelajaran di bilik darjah.

Era guru ibarat perpustakaan hidup sudah lama berlalu pergi. Kini, peranan guru lebih menjurus sebagai pemudah cara yang berusaha menggembleng segala bakat, potensi dan fakulti yang ada dalam diri murid secara optimum. Dengan akses maklumat di hujung jari dan masa sebenar, guru sebagai orang yang lebih dewasa bertindak membimbing murid sebagai kanak-kanak supaya mengorganisasi, membuat penyeluruhan dan menilai darjah kesahan sesuatu maklumat itu.

Jurang generasi antara guru dengan murid sering dilihat dalam konteks pembahagian zaman baby boomers, generasi X, Y dan Z. Guru lama (baca: veteran, 4 'siri' ke atas) termasuk dalam kelompok generasi X, manakala guru muda (di bawah 40 tahun) ialah generasi Y. Semua murid pula merupakan generasi Z yang celik mata sahaja sudah terbiasa dengan kemudahan yang serba-serbi canggih.

Saidina Umar al-Khattab, sahabat utama Nabi salallahu alaihi wasallam dan khalifah ar-Rasyidin kedua pernah menegaskan bahawa pendidikan hendaklah dilaksanakan berdasarkan keperluan (dan persekitaran) zaman mereka. Maksudnya, segala reka bentuk perancangan kurikulum, kaedah penyampaian dan komponen pentaksiran hendaklah sejajar dengan perubahan yang berlaku. Hadith al-hikmah dholatul-mukmin, 'kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman' menunjukkan bahawa pendidikan tidak sesekali bersifat jumud (rigid) atau terikat dengan cara yang sama secara kekal.

Murid zaman sekarang memang ke hadapan dari segi kepetahan berkata-kata, membuat pembentangan berbantu teknologi terkini dan mengakses bahan rujukan secara atas talian. Guru memang patut memberi kredit dan penghargaan kepada sekalian murid yang menampilkan kebolehan tersebut. Walaupun demikian, guru masih mempunyai tugas untuk membimbing murid bagi mengorganisasi, membuat penyeluruhan dan menilai darjah kesahan maklumat yang disampaikan seiring dengan kemahiran berfikir aras tinggi (kbat).

Masalah disiplin dan kawalan bilik darjah sering menimbulkan keadaan yang kurang harmoni, mengganggu proses pembelajaran dan meningkatkan tekanan psikologi. Dari segi tubuh badan, murid sekarang kebanyakannya tinggi menggalah dan chubby walaupun baru masuk tingkatan satu. Guru wanita terutamanya terpaksa sering mendongak untuk melihat maklum balas murid dari segi pergerakan anak mata dan bahasa badan.

Kalau peribahasa mengatakan cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, maka begitulah juga dengan guru. Jika tidak berhati-hati, mungkin percakapan guru tadi akan muncul dalam you tube patah demi patah kata (verbatim). Akhir kata, bagai seorang saudagar memujuk pelanggan demi melariskan jualan, guru hendaklah memupuk keserasian dengan murid agar kegiatan bilik darjah suatu pengalaman pembelajaran yang indah belaka ...

SELAMAT MENJIWAI AMANAH KEGURUAN TAHUN 2015

No comments: