KUALA LUMPUR - Berikut teks penuh pengumuman Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia berhubung MH370 yang hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing:

Pengumuman tentang MH70 oleh Ketua Pengarah, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia


Pengenalan

Selamat petang tuan-tuan dan puan-puan, warga media sekalian.

Nama saya Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan saya berada di sini hari ini atas kedudukan saya sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Teknikal Peringkat Tinggi (HLTTF) MH370.

Seperti yang anda semua sedia maklum, HLTTF ditubuhkan untuk menyelaras hal teknikal berkaitan MH370.


Latar Belakang

Pada 8 Mac 2014 jam 0122 Waktu Malaysia (1722 UTC 7 Mac 2014), sebuah pesawat Malaysia Airlines jenis Boeing 777-2H6ER, nombor pendaftaran 9M-MRO dengan isyarat panggil MH370, terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara selepas titik arah IGARI ketika dalam transisi ruang udara antara Malaysia dan Vietnam sewaktu dalam penerbangan ke Beijing.

Pesawat ini membawa 227 penumpang, 2 kru penerbangan dan 10 kru kabin.


Usaha Mencari

Misi mencari dan menyelamat melibatkan 160 aset yang terdiri daripada 65 pesawat dan 95 kapal serta pakar dari 25 negara. Eksesais yang belum pernah dilakukan ini melibatkan pesawat udara dan kapal dari negara berikut:

-    Australia (4 pesawat, 2 kapal)
-    Kemboja (4 pesawat)
-    China (13 pesawat, 19 kapal)
-    India (4 kapal)
-    Indonesia (11 kapal)
-    Jepun (4 pesawat)
-    New Zealand (1 pesawat)
-    Singapura (3 pesawat, 2 kapal)
-    Korea Selatan (2 pesawat)
-     Thailand (1 pesawat, 1 kapal)
-    Emiriyah Arab Bersatu (2 pesawat)
-    Amerika Syarikat (5 pesawat, 4 kapal)
-    Vietnam (2 pesawat, 2 kapal)

Negara yang tidak dapat menghantar aset fizikal pula memberi sokongan dengan cara lain, yang tidak ternilai harganya. Banyak individu juga tampil untuk menghulurkan bantuan dengan cara yang mereka mampu.

Malaysia sungguh terhutang budi kepada semua negara dan individu atas semua bantuan dan sokongan yang diterimanya. Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kemurahan hati semua pihak yang memberi respons dengan mencurah-curah ketika kami melalui sejarah hitam dalam industri penerbangan.

Fasa mencari dan menyelamat dilaksanakan mulai 8 Mac 2014 hingga 28 April 2014, dengan kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan di selatan Lautan Hindi.

Susulan kepada pengumuman Kerajaan Australia pada 28 April 2014, fasa mencari dan menyelamat beralih kepada fasa mencari dan mendapatkan semula.

Pada 28 April 2014, usaha mencari yang diselaraskan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) melangkah ke fasa dasar laut dengan diketuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Malaysia dan China menghantar pakar serta aset masing-masing bagi membantu JACC dan ATSB dalam fasa ini.

Fasa pencarian ini turut melibatkan penggunaan Kenderaan Dasar Laut (AUV) dan peralatan ukur batimetri. Kerja Ukur Batimetri meliputi kawasan seluas kira-kira 208,000 kilometer persegi.

Kerja ukur batimetri ini memberi kepada kami maklumat penting tentang topografi dasar laut. Maklumat ini membantu kami dalam fasa semasa, yang melibatkan pencarian di dalam air.

Pencarian di dalam air masih dilakukan ketika ini dengan penglibatan empat kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter.

Setakat ini, pencarian meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi (setakat 28 Januari 2015).


Perisytiharan

Kerajaan Malaysia, China dan Australia tidak mengehadkan perbelanjaan dan sumber untuk mencari MH370. Ini dilakukan dengan matlamat utama untuk mengesan pesawat berkenaan dan mencari jawapan. Ia dilakukan dengan harapan untuk memberi sedikit sebanyak kelegaan kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370, yang dengan penuh hormat kami merujuk kepada mereka sebagai "waris'. Kami telah berusaha mencari dan memburu setiap petunjuk berwibawa serta mengkaji semula semua data yang ada. Walaupun semua usaha ini dilakukan sejak 327 hari lepas (setakat 28 Jan 2015), malangnya usaha mencari ini belum berjaya menjumpai lokasi pesawat yang hilang itu.

Bab 1 Lampiran 13 Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa (yang sering dirujuk sebagai “Konvensyen Chicago”), bertajuk “Kemalangan Pesawat Udara dan Penyiasatan Kejadian" menyatakan bahawa definisi bagi istilah “kemalangan” termasuk “kehilangan pesawat”. Ia juga menyebut bahawa “sesebuah pesawat udara dianggap hilang apabila pencarian secara rasmi ditamatkan dan bangkainya tidak dijumpai". Lampiran 12 dalam Konvensyen Chicago bertajuk "Standard Antarabangsa dan Amalan Yang Disyorkan” bagi usaha mencari dan menyelamat seterusnya menyatakan bahawa istilah “mencari" merujuk kepada operasi untuk mengesan orang yang berada dalam keadaan kecemasan.

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Lampiran 12 (perenggan 5.5.1) menyatakan bahawa operasi mencari dan menyelamat mestilah diteruskan selagi boleh, sehinggalah semua mereka yang terselamat dihantar ke suatu tempat selamat atau selagi terdapat peluang munasabah untuk menyelamatkan mangsa. Satu nota yang menyokong perenggan 5.5.2 pula menyatakan bahawa “Negara pejanji mungkin memerlukan input daripada pihak berkuasa berkenaan dari sesebuah negara dalam proses membuat keputusan, yang boleh menjurus kepada penamatan operasi SAR (mencari dan menyelamat)”.

Bagi mematuhi Standard ICAO dalam Lampiran 12 dan 13, maka pada 28 April 2014, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menasihati agar pencarian diubah daripada operasi mencari dan menyelamat kepada fasa mencari dan mendapatkan kembali.

Data yang ada menunjukkan bahawa selepas transponder berhenti daripada membuat pemancaran, tiada lagi komunikasi radio atau sistem pesawat secara normal (ACARS) dipancarkan atau diterima daripada pesawat berkenaan. Oleh itu, kami hanya bergantung pada satu-satunya data yang ada iaitu data Komunikasi Satelit (SATCOM)/Inmarsat dan Data Prestasi Pesawat.

Analisis yang dibuat terhadap data radar dan mesej isyarat sistem komunikasi satelit (SATCOM) menunjukkan bahawa pesawat berkenaan berada di zon mencari dan menyelamat Australia pada satu arka di selatan Lautan Hindi. Arka ini dianggap kawasan yang hampir dengan lokasi di mana bahan bakar pesawat berkenaan akan habis.

Berdasarkan hasil analisis yang dibuat terhadap semua bukti yang ada serta maklumat fakta yang telah saya sebut tadi, data ini menyokong rumusan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.

Berpandukan data sama, kami merumuskan bahawa pesawat itu kehabisan bahan bakar di satu kawasan tertentu di selatan Lautan Hindi dan pesawat ini berada di dasar laut berhampiran kawasan itu. Ia merupakan kawasan terpencil, jauh daripada sebarang tempat yang boleh dibuat pendaratan. Ia juga merupakan kawasan laut yang amat ganas, dengan kedalaman lebih 6,000 meter.

Selepas 327 hari (sehingga 28 Jan 2015) dan berdasarkan semua data yang ada serta keadaan yang disebutkan tadi, peluang untuk hidup di kawasan yang dinyatakan itu adalah amat mustahil.

Oleh itu, dengan amat berat hati dan perasaan yang amat memilukan, maka bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengisytiharkan secara rasmi bahawa kajadian yang dialami Penerbangan MH370 Malaysia Airlines adalah satu kemalangan mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 dalam Konvensyen Chicago dan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap hilang nyawa.


Waris

Kerajaan Malaysia sedar bahawa perisytiharan tentang kemalangan MH370 ini amat sukar untuk dipertimbang oleh keluarga dan orang tersayang 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan, apatah lagi untuk menerimanya. Tiga belas negara telah kehilangan warganya dalam tragedi ini. Bagaimanapun, adalah amat penting bagi keluarga berkenaan untuk cuba meneruskan kehidupan biasa masing-masing atau dengan sedapat mungkin menjalani kehidupan seperti biasa, selepas kehilangan mengejut ini. Tanpa sebarang niat untuk mengetepikan perasaan keluarga terbabit, adalah diharapkan, perisytiharan ini akan membolehkan keluarga terbabit memperoleh bantuan yang mereka perlukan, terutama melalui proses pembayaran ganti rugi.

Kerajaan Malaysia juga memberi jaminan kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan bahawa usaha mencari MH370 tetap menjadi keutamaan. Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan segala usaha yang termampu untuk menyelesaikan masalah berhubung tragedi ini dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada Kerajaan China dan Australia.

Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan memikul tanggungjawabnya berhubung hak yang sah dan kepentingan para waris seperti yang diperuntukkan oleh instrumen antarabangsa dan undang-undang domestik yang berkenaan, sambil memberi pertimbangan kepada amalan antarabangsa. Ini termasuk memenuhi proses pembayaran ganti rugi, sama ada ia dituntut melalui perundingan atau melalui undang-undang. Kami juga difahamkan bahawa Malaysia Airlines bersedia untuk meneruskan dengan serta merta proses pembayaran ganti rugi, sekiranya para waris bersedia menerima langkah itu.

Sejajar dengan komitmen kami untuk memaklumkan kepada para waris tentangperkembangan terbaru dan maklumat penting yang disahkan, satu seksyen khas telah diwujudkan dalam laman sesawang rasmi MH370, http://www.mh370.gov.my, khusus untuk para waris berkenaan. Ia termasuk maklumat tentang usaha mencari dan siasatan, proses pembayaran ganti rugi, jawapan terhadap pertanyaan waris dan pelbagai bentuk bantuan lain yang disediakan untuk para waris. Adalah diharapkan, portal khas ini akan menyediakan sistem sokongan berterusan kepada para waris.


Penyiasatan

"Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370”, yang dianggotai wakil bertauliah dari tujuh negara sedang menjalankan penyiasatan keselamatannya. Begitu juga, penyiasatan dari segi jenayah yang diketuai Polis Diraja Malaysia, kini diteruskan.

Kedua-dua penyiasatan ini bersifat terhad kerana ketiadaan bukti fizikal ketika ini, khususnya alat perakam penerbangan. Oleh itu, pada peringkat ini, tidak terdapat bukti untuk mengesahkan sebarang spekulasi tentang punca kemalangan itu. Satu kenyataan sementara yang mengandungi butiran tentang kemajuan penyiasatan keselamatan dijangka dikeluarkan pada atau dalam tempoh ulang tahun kemalangan itu.


Penutup

Sekali lagi, kami ingin merakamkan simpati mendalam kami kepada semua mereka yang terjejas oleh kemalangan dahsyat ini. Ia merupakan waktu yang amat mengecewakan bagi semua pihak yang berusaha dengan sedaya upaya untuk mencari MH370. Kami tidak pernah goyah dalam komitmen kami untuk meneruskan usaha kami mencari MH370 dan memberi maklumat kepada semua orang, lebih-lebih lagi kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Sesungguhnya, perisytiharan ini bukanlah bermakna suatu kesudahan. Kami akan terus bergerak ke hadapan dengan kerjasama dan bantuan kerajaan China dan Australia. MH370 serta penumpang dan anak kapalnya akan sentiasa dikenang dan dihormati.

Dato’ Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia

- Bernama

(sumber ambilan di sini)