SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, January 11, 2015

RANCANGAN PELAJARAN MAKROEKONOMI HARI PERTAMA (SYLLABUS LEARNING OUTCOME FIRST, REFERENCE MATERIAL SECOND)

Tajuk: Pengenalan
 
Subtajuk:  Pengenalan Pembelajaran Makroekonomi

Objektif:  1)  Mengenal pasti liputan pembelajaran makroekonomi

                2)  Menegaskan kemahiran generik pembelajaran makroekonomi

Aktiviti:  1)  Pelajar dibimbing meringkaskan liputan makroekonomi secara rumus Y = C + I + G + Xn
 
                2)  Pelajar memperaku penggunaan pemboleh ubah secara konsep, grafikal dan kuantitatif

Refleksi:

Skrip Kuliah

(Assalamualaikum, selamat pagi)

Apa khabar semua? (beri ruang maklum balas pelajar)

Apa perasaan apabila tidak lagi perlu menyarung pakaian seragam budak sekolah?  
(layan beberapa jawapan)

Tahniah kerana masih meneruskan pengajian prauniversiti tingkatan 6 di SMK ________________
Kita akan sama-sama berusaha untuk memastikan bahawa pilihan anda semua berbaloi.

Masih ingat lagi perbezaan makro dengan mikro? (tunggu sehingga ada yang memberi jawapan 'ejaan'). Ya, benar: 'a' untuk agregat, 'i' untuk individu. Maka, pembelajaran makro akan selalu membincangkan pemboleh ubah ekonomi secara agregat. Contohnya, harga menjadi? (pelajar memberi jawapan 'harga umum'). Unit paksi RM bagaimana?

Baiklah. Dalam pembelajaran mikro penggal satu dahulu ada ditegaskan hanya tiga kegiatan asas ekonomi, iaitu penggunaan, pengeluaran dan pertukaran. Pada pendapat pelajar, adakah kedaan yang sama berlaku dalam pembelajaran makro? (buat undian; isytiharkan 'ya' sebagai pemenang).

Betul, aktiviti ekonomi masih sama, cuma makro melihat secara agregat.

Sebelum kita teruskan, ada satu soalan cepumas. Bagaimanakah aktiviti penggunaan menjadi kenyataan? (layan satu dua jawapan sehingga menjurus kepada 'pendapatan')

Maka, sebelum kita teruskan pembelajaran tentang tiga aktivitiasas ekonomi, kita mesti mengkaji tentang pendapatan terlebih dahulu. Bahagian pengenalan akan bermula dengan penjelasan model aliran pusingan pendapatan negara.

Keseimbangan masih merupakan isu utama makro. Jika berlaku ketidakseimbangan, misalnya pendapatan berlebihan, apakah yang berlaku? Jika sebaliknya? Jawapan orang awam mungkin panjang lebar, tetapi pelajar ekonomi mengklasifikasi isu makro kepada empat sahaja.
(buat kuiz teka huruf):  pertumbuhan ekonomi tanpa inflasi, tanpa pengangguran, serta imbangan bayaran yang positif.

Dari situ, kita akan mempelajari petunjuk makro serta perakaunan pendapatan negara.

Setelah mantap dengan konsep pendapatan negara, kita akan memulai pembelajaran aktiviti makro. Jika penggunaan sahaja, ekonomi satu sektor. Tambah pengeluaran, dalam makro kita menggunakan pelaburan dan perbelanjaan kerajaan. 
 
Akhirnya, aktiviti pertukaran. Maksudnya, penggunaan di sesebuah negara mungkin masih terhad, iaitu berlaku lebihan pengeluaran. maka, berlaku kegiatan ekonomi antarabangsa bagi mengagihkan keluaran sektor lebihan kepada keluaran sektor kurangan. 

Aktiviti ekonomi moden menggunakan mata wang sebagai perantaraan pertukaran dan ukuran nilai. Maka, teori kewangan akan dibincangkan di peringkat dalam negara dan antarabangsa. 

Selain peranan institusi kewangan (IK), pihak manakah yang memiliki kuasa membuat keputusan ekonomi dalam sesebuah negara? (tunggu pelajar menyebut 'kerajaan'). IK tertakluk kepada dasar kewangan yang diputuskan oleh kerajaan. Campur tangan menerusi bank pusat secara langsung itu bertujuan mempengaruhi bekalan wang dan kadar bunga.

Kerajaan juga boleh mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi secara tidak langsung menerusi dasar fiskal, iaitu mengubah-ubah perbelanjaan kerajaan dan cukai.

Ringkasnya Mr TG, Mr bagi dasar kewangan, TG bagi dasar fiskal. Boleh kelakarkan Mr TG sebagai MR Town Guy (Encik budak bandar).

Kesimpulannya, kajian makro diringkaskan dalam bentuk rumus:Y = C + I + G + Xn.

(beri dua minit untuk pelajar berbual sesama sendiri tentang isi pelajaran sebentar tadi).

Baik, cukup dua minit?

Sekarang, mari kita sama-sama mengenali disiplin pembelajaran makro.

(Bincangkan prinsip pembinaan konseptual, takrifan, hubungan antara pemboleh ubah, model gambar rajah, rumus, hitungan kuantitatif)

Buat kesimpulan berdasarkan maklum balas pelajar terhadap soalan di bawah:

1  Mengapakah pembelajaran makro bermain-main dengan sejumlah pemboleh ubah, konsep?

2  Bagaimanakah pembelajaran makro menjimatkan masa perbincangan sesuatu isu?

3  Apakah sebenarnya faedah belajar makro?

4  Patutkah kita berterima kasih kepada ahli ekonomi makro?

5  Adakah pembelajaran makro berjejak di bumi nyata?

6  Sudahkah anda bersedia terjun dalam dunia pembelajaran makro sekarang?

Terima kasih, marilah kita terus menuju puncak jaya dalam pembelajaran makroekomi ...



No comments: