SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, January 26, 2015

DILEMA PENGAJIAN TINGKATAN ENAM DI SEKOLAH (MISUNDERSTOOD OF PRE-UNIVERSITY LEARNING STYLE)

Walaupun sistem modular sepenuhnya untuk pengajian prauniversiti tingkatan enam telah bermula sepenuhnya pada tahun 2013, pelaksanaannya masih menghadapi cabaran, terutama dari segi penerimaannya di sekolah aliran perdana. Pengenalan kolej tingkatan enam juga baru di peringkat rintis mulai tahun 2014. Struktur perjawatan kolej juga belum boleh dimuktamadkan kerana sebahagian kolej tingkatan enam masih menunggu sehingga dapat mengambil alih keseluruhan premis bangunan sekolah menengah yang masih menawarkan kelas aliran perdana.

Pengurusan tingkatan enam juga belum beroleh autonomi untuk bergerak sebagai entiti yang berasingan dan khusus. Segala keputusan yang hendak diambil perlu merujuk majlis pengurusan tertinggi sekolah dan pengetua. Masalah yang lebih rumit ialah kelas tingkatan enam sentiasa kesuntukan masa untuk memenuhi kehendak sukatan pelajaran serta peperiksaan bertulis setiap akhir penggal, di samping tutorial, kokurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Proses penjenamaan semula pengajian tingkatan enam menghendaki kefahaman, penerimaan dan sokongan yang tuntas daripada semua pihak yang berkepentingan di sekolah. Hakikatnya ialah pengajian prauniversiti tingkatan enam sudah sangat berbeza dengan kelas aliran perdana dari segi keperluan pembelajaran dan pentaksiran. Tujuan kegiatan kokurikulum pelajar prauniversiti juga tertumpu kepada kemahiran insaniah tahap tinggi sejajar dengan persediaan memasuki pengajian ijazah sarjana muda.

Sementara menunggu proses pengasingan kemudahan prasarana fizikal dan pengurusan sepenuhnya, pihak sekolah harus bersifat terbuka bagi memberi laluan pembaharuan dan penambahbaikan yang dihasratkan. Pada akhir tahun 2014, pekeliling tentang etika pakaian yang lebih matang untuk pelajar tingkatan enam dikuatkuasakan. Pelajar mempunyai pilihan yang lebih luas supaya mereka dapat membina keyakinan diri untuk menceburi bidang pengajian dan kerjaya yang bakal ditempuhi.

Terdapat sekolah yang bertegas mahu kegiatan kokurikulum pelajar tingkatan enam disekalikan dengan murid arus perdana. Memang benar bahawa niat berbuat demikian menuju kebaikan belaka agar warga sekolah disemai dengan nilai permuafakatan dan perpaduan secara keseluruhan. Namun, perkara tersebut kena diperhalusi supaya tiada pihak yang bakal terjejas.

Hal yang berlaku menunjukkan dengan jelas bahawa penjenamaan semula pengajian tingkatan enam belum diterima sepenuhnya sebagaimana hasrat yang asal. Struktur kepimpinan sekolah tidak mudah untuk melaksanakan pembaharuan, penambahbaikan dan perubahan secara mendadak. Kubu pertahanan status quo juga masih kukuh untuk dirombak begitu sahaja.

Pelajar tingkatan enam hanya ada tempoh empat atau lima bulan dalam setiap penggal untuk membereskan segala urusan kurikulum, kokurikulum dan kemahiran insaniah sebelum menghadapi peperiksaan bertulis. Mereka juga dikehendaki menyediakan kertas projek untuk setiap satu mata pelajaran yang diambil. Dalam masa yang sama, mereka juga mahu menikmati usia penghujung remaja yang cukup indah, tetapi kritikal.

Kesimpulannya, pengajian prauniversiti yang masih ditempatkan bersama murid aliran perdana di sekolah berhadapan dengan masa yang sukar dalam pembelajaran dan pengajian. Persekitaran sekolah sama ada dari segi fizikal mahupun budaya pembelajaran belum benar-benar menepati hasrat dan keperluan yang digariskan. Harapan tetap menyala semoga pengajian tingkatan enam akan diberi sokongan yang sepatutnya supaya dapat kekal bersaing dengan program persediaan universiti yang lain ...

No comments: