Kekurangan esei calon yang dilaporkan termasuklah:
1 laras bahasa yang digunakan dipengaruhi penulisan popular;
2 terdapat campur aduk konsep ekonomi dengan perkataan yang tidak relevan;
3 memasukkan pendapat sendiri, bunga bahasa dan hujah bukan ekonomi;
4 gambar rajah / keluk tidak lengkap (label paksi, koordinat, unit);
5 susunan isi yang kurang kemas;
6 ketiadaan andaian (jika diperlukan).
Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, pelajar perlu menggandakan latihan esei secara berdikari tanpa perlu menunggu arahan guru / pensyarah. Mereka mesti mencuba modul soalan STPM kebelakangan, atau soalan spesimen yang mirip tugasan peperiksaan sebenar. Penulisan jawapan boleh dibuat secara ujian merujuk buku (open book test) dahulu, diikuti ujian tutup buku (close book test).
Tidak timbul persoalan menipu diri sendiri atau meniru. Namanya pun latihan! Ibarat seorang calon kapten pesawat udara yang perlu melepasi piawai simulasi penerbangan di bilik persediaan sebelum dibenarkan memasuki ruang kokpit pesawat sebenar.
Kaedah penulisan secara deduktif yang disarankan ialah:
Perenggan 1: Teori / andaian
Perenggan 2: Gambar rajah / keluk (hanya jika diperlukan)
Perenggan 3: Huraian Isi / huraian keluk.
Perenggan 4: Penegasan teori (jika perlu sahaja, tugasan yang membabitkan 2 pemboleh ubah ke atas)
Misalnya, tugasan tentang keluk kemungkinan pengeluaran (KKP) bagi menerangkan masalah ekonomi iaitu kekurangan, pilihan dan kos lepas. Definisikan KKP secara ringkas, asas andaian (2 barang, faktor tetap, teknologi tetap, guna tenaga penuh) terlebih dahulu sebelum melukis KKP. Tegaskan bahawa di sepanjang garis KKP (dengan label A, B, C, D, E) menunjukkan had maksimum pengeluaran dalam tingkat ekonomi paling cekap.
Setiap kombinasi A, B, C, D, E itu ialah pilihan dengan dua keadaan ekstrem, iaitu pengeluaran satu barang sahaja (A pada paksi y, E pada paksi x). Kemudian bubuh kombinasi di bawah KKP yang menunjukkan ketidakcekapan atau pembaziran faktor. Kombinasi di luar KKP pula tidak boleh dicapai sebab kekurangan faktor. Konsep kos lepas boleh diterangkan menerusi pertambahan sesuatu barang mengurangkan pengeluaran barang lain. Misalnya, tambahan seunit pakaian perlu mengorbankan 2 unit makanan.
Dalam buku teks dan semasa sesi pembelajaran, kaedah induktif lazimnya digunakan. Pelajar dibawa meneroka contoh atau data hipotetikal terlebih dahulu sebelum sesuatu model dan teori dikemukakan. Tujuannya supaya pelajar dapat membincangkan perkara konkrit terlebih dahulu sebelum dibawa meneroka dunia teori yang lebih bersifat abstrak...
No comments:
Post a Comment