SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, July 9, 2010

MENULIS OBJEKTIF DAN SOALAN PENYELIDIKAN TINGKATAN 6 (OBJECTIVE AND RESEARCH QUESTION)

Sebelum menentukan objektif dan soalan penyelidikan yang dimasukkan dalam bab pengenalan, pastikan bahawa penyelidik telah selesai menulis pernyataan masalah penyelidikan, kepentingan penyelidikan dan mentakrifkan sekurang-kurangnya satu pemboleh bersandar (populasi yang dikaji), serta pemboleh ubah bebas (data yang hendak dikumpul). Buat semakan semula supaya setiap komponen itu sejajar (align) antara satu dengan lain. Seterusnya, penyelidik muda tingkatan enam diingatkan supaya mengehadkan bilangan obkektif dan soalan penyelidikan , masing-masing setakat dua sahaja.

Objektif Penyelidikan

Secara ringkas, objektif penyelidikan ialah pernyataan tentang hasil penyelidikan yang hendak dicapai, dicerap dan diukur. Kebiasaannya objektif disusun berdasarkan langkah demi langkah. Misalnya objektif pertama dimulai dengan perkataan "mengenal pasti" (satu pemboleh ubah, univariat), dan diikuti dengan "mengukur" atau "menguji" hubungan dua pemboleh ubah (bivariat).

Objektif penyelidikan memberi fokus terhadap pemboleh ubah yang hendak diperoleh datanya. Maka, penyelidik perlulah merujuk kembali tajuk dan pernyataan masalah penyelidikan. Penulisan objektif dianggap mustahak justeru setelah menyempurnakan penyelidikan, objektif yang digariskan akan menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu penyelidikan yang telah dilaksanakan.

Antara ciri penting objektif ialah khusus, lengkap dan ringkas. Objektif juga dipersembahkan dalam bentuk ayat penyata. Contohnya:

1  Untuk mengenal pasti tahap penggunaan buku teks dalam kalangan pelajar prauniversiti;

2  Untuk meninjau persepsi tentang ketiadaan skim pinjaman buku teks kepada pelajar prauniversiti.

Sesungguhnya objektif ialah penentu hala tuju penyelidikan. Sama halnya seolah-olah seseorang yang hendak menetapkan destinasi perjalanannya sendiri. Tanpa hala tuju yang jelas, khusus, dan lengkap, seseorang penyelidik umpama pengembara mimpi, layang-layang terputus talinya, atau puntung kayu yang hanyut dibawa arus.


Soalan Penyelidikan

Soalan penyelidikan ialah perincian kepada pernyataan masalah penyelidikan, iaitu bahagian permulaan bab 1. Soalan penyelidikan dianggap sebagai inti pati (sebab utama) pemilihan kaedah penyelidikan dan pembinaan instrumen penyelidikan. Dalam kata lain, jawapan kepada masalah penyelidikan sangat bergantung kepada pemboleh ubah yang disebut dalam soalan penyelidikan.

Penulisan soalan kajian menjadi lebih mudah sesudah objektif penyelidikan ditetapkan terlebih dahulu. Secara lebih jelas, soalan penyelidikan ialah pindahan bentuk objektif penyelidikan kepada ayat soalan. Jika contoh objektif sebelum ini digunakan, maka soalan penyelidikan akan berbunyi:

Apakah tahap penggunaan buku teks dalam kalangan pelajar prauniversiti?;

Adakah ketiadaan skim pinjaman buku teks mempengaruhi pembelajaran pelajar prauniversiti?

Soalan penyelidikan berbunyi bagaimanakah, atau mengapakah sebaik-baiknya dielakkan oleh penyelidik muda tingkatan 6 justeru proses kutipan data dan analisis data akan menjadi rumit. Sepertimana yang ditekankan sebelum ini bahawa sebagai permulaan, penyelidik muda disarankan melaksanakan penyelidikan tinjauan. Instrumen hanya perlu ditadbir sekali sahaja.

Mengakhiri Bab Pengenalan

Masukkan penjelasan ringkas tentang kaedah penyelidikan yang dipilih (tinjauan), sampel, dan persembahan dapatan penyelidikan. Selain itu nyatakan batasan penyelidikan yang merujuk kepada kekurangan yang dihadapi sepanjang melaksanakan penyelidikan. Maknanya penyelidik hendak memberi sempadan kepada generalisasi yang boleh dibuat kepada populasi dan seterusnya dunia luar.

Contoh: Penyelidikan tinjauan soal selidik ini mungkin perlu disokong oleh kaedah temu bual bersemuka supaya dapatan penyelidikan dapat digeneralisasikan kepada populasi dan dunia luar yang lebih luas.


Persediaan Bab 2: Tinjauan Bacaan

Penyelidik muda tingkatan 6 diharapkan supaya menyediakan bahan rujukan tentang pemboleh ubah yang disebut dalam tajuk penyelidikan. Carian boleh dilakukan di pusat sumber, atau muat turun internet. Sama ada berbentuk sumber asal (buku, jurnal, dokumen, dll), atau salinan, atau cetakan muat turun, segala bahan berkenaan perlu dibawa untuk perbincangan dengan pemudah cara (guru akademik tingkatan 6) untuk proses pengesahan (penentusahan).

No comments: