SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 22, 2010

INSTRUMENTASI DALAM PENYELIDIKAN (QUESTIONNAIRE CONSTRUCTION FOR PREUNIVERSITY RESEARCH)

Setelah menyiapkan draf bab pengenalan dan bab tinjauan bacaan, penyelidik seharusnya telah menetapkan masalah penyelidikan dengan sokongan input ilmu pengetahuan dalam bidang penyelidikan yang hendak diperoleh datanya. Langkah seterusnya ialah memilih kaedah penyelidikan yang boleh membantu pengumpulan data bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah disejajarkan sejak pemilihan tajuk lagi. Seperti yang dipersetujui, setelah mengambil kira kawalan sumber dalam kalangan pelajar prauniversiti, hanya kaedah tinjauan dengan sampel bukan rawak bertujuan digunakan.

Sehubungan itu, pelajar prauniversiti dikehendaki mentadbirkan item soal selidik yang telah disejajarkan dengan masalah penyelidikan dan input ilmu pengetahuan tadi sekali sahaja dengan sasaran untuk mencapai kadar pengembalian 100%. Perbincangan kali ini bukan sahaja bertujuan menyediakan item soal selidik yang mencukupi dan sejajar, bahkan memberi penekanan terhadap soal etika supaya kelak tidak berbangkit sebarang isu yang boleh memudaratkan mana-mana pihak, terutama penyelidik dan sampel. Dengan itu penyelidik hendaklah memastikan bahawa identiti sampel tidak didedahkan dalam laporan penyelidikan, di samping mendapatkan persetujuan berpengetahuan (informed consent) responden.


Konsep Instrumentasi

Instrumen ialah alat untuk mengumpul data yang dikehendaki bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah ditetapkan. Maka, instrumentasi ialah proses menyediakan alat mengumpul data. Hakikat bahawa pemikiran sebenar seseorang manusia bersifat rahsia, serta sering tersembunyi di "sebalik topeng", maka diandaikan bahawa tingkah laku sebagai mewakili pemikiran. Tingkah laku  sampel diukur menerusi pentadbiran alat penyelidikan yang dipilih.


Konsep Kaedah Tinjauan

Definisi:  proses mendapatkan maklumat secara sepintas lalu menerusi sekali sahaja kutipan data.

Analogi:  umpama foto, menjelaskan situasi pada masa gambar ditangkap.

Andaian:

Pola tingkah laku masyarakat sukar berubah secara mendadak, sebaliknya cenderung dipengaruhi kehendak masyarakat ketika itu.

Tatacara:

Penyelidik menyediakan alat untuk  ditadbirkan supaya sampel mengisi maklumat yang sejajar dengan soalan penyelidikan. Data yang diperoleh akan diproses berdasarkan kaedah analisis yang telah dirancang oleh penyelidik. Walaupun teknologi memungkinkan soal selidik ditadbirkan secara dalam talian (online),  mesej pesanan ringkas (SMS) atau mesin faksimili, pelajar prauniversiti dikehendaki menggunakan kaedah klasik, iaitu menggunakan kertas-pensil bagi mengisi set soal selidik yang diedarkan.

Pentadbiran:

Penyelidik muda prauniversiti memilih sampel --> edar set soal selidik yang sama --> kutip semula 100% --> analisis data


Kelebihan Kaedah Tinjauan Soal Selidik

1   Proses memungut data yang cepat, digemari dan mudah untuk ditadbirkan

2   Penyelidik boleh memilih saiz sampel yang besar

3   Keupayaan generalisasi terhadap saiz populasi lebih besar, berkesan dan tepat

4   Fleksibiliti dari segi item soal selidik


Kekurangan Kaedah Tinjauan Soal Selidik

1  Cara sampel memahami item soal selidik mungkin berbeza, bergantung kepada latar belakang pendidikan dan pengalaman

2   Item yang ditadbirkan tidak boleh diubah suai semasa pentadbiran penyelidikan sedang berjalan

3   Kesahan item diragui justeru sampel mungkin memberi jawapan berpandukan tingkah laku yang sampel suka, bukan tingkah laku sampel yang sebenar.


Tatacara membina item soal selidik

Soal selidik ialah alat mengutip data menerusi kaedah tinjauan, serta ditadbirkan sekali sahaja. Pembinaan item soal selidik hendaklah sejajar dengan tajuk penyelidikan, masalah penyelidikan, soalan penyelidikan dan tinjauan bacaan. Penyelidik boleh mendapatkan kebenaran untuk menggunakan set soal selidik yang pernah digunakan oleh penyelidik lain, mengubah suai instrumen berkenaan, atau membina sendiri item soal selidik itu. Jumlah item dalam set soal selidik mestilah tidak membebankan sampel untuk memberi jawapan, serta tidak membebankan penyelidik apabila tiba masa analisis data.

Format Soal Selidik:

1   Surat makluman - dijadikan muka surat hadapan.

     Masukkan butiran nama dan alamat e-mel penyelidik; organisasi penyelidik (tempat kerja, tempat belajar) harapan penyelidik seperti "menjawab dengan suci hati. Selain itu, nyatakan dengan ringkas bahawa "penyelidikan ini adalah sulit" dan berkonsep tanpa identiti sampel. Surat hendaklah ringkas, serta menggunakan format rasmi.

2   Latar belakang / profil sampel / responden

     bersangkutan maklumat yang diperlukan sahaja -->  agama, jantina, lokasi rumah, dan lain-lain

3    Bahagian item soal selidik

       Disusun secara rawak supaya sampel tidak boleh belajar, atau cuba menetapkan pola jawapan. Sebaik-baiknya sistem penomboran item bermula daripada profil sampel mengikut ertib. Jangan lupa bahawa kesejajaran item dengan bab 1 dan 2 sentiasa dibuat semakan.


Akhiri soal selidik dengan catatan "terima kasih".


Bentuk Item Soal Selidik Respons Tertutup * / Aneka Pilihan  (closed-ended questions)

1   Binari:  Adakah anda memiliki buku teks ekonomi?        Ya   /  Tidak

2   Skala Likert (empat mata):   Buku teks wajib dimiliki setiap pelajar.    Amat setuju /  Setuju  /  Tidak Setuju  /  Tidak pasti

                                                   :  Adakah anda kerap merujuk buku teks?    sentiasa / kadang-kadang / tidak pernah / tidak pasti

                                                    :   Adakah tahap persembahan buku teks anda?   amat baik / baik / sederhana / lemah

3   Thurston:  Nyatakan sumber pemilikan buku teks anda.

                        A.  Beli sendiri buku teks baharu

                        B.  Beli buku teks terpakai

                        C.  Pinjam buku kawan

                        D.  Tiada pemilikan

Penyelidik muda prauniversiti digalakkan menggunakan skala Likert empat mata.

* dipilih bagi mewujudkan keseragaman jawapan / memudahkan proses analisis data


Ciri-ciri item soal selidik yang baik

1   Bersesuaian dengan latar belakang dan kesediaan responden (sampel). Item dibina dengan
jelas, teliti dan tidak berat sebelah.

2   Ruang pilihan jawapan memadai dan jelas. Arahan bulatkan, X atau / mestilah juga jelas.

3   Telah melepasi senarai semak penyelidik, contohnya:

     a)  Adakah item yang dibina sejajar dengan tajuk penyelidikan?

     b)  Adakah item yang dibina dapat memberikan data tentang masalah penyelidikan?

     c)  Adakah item yang dibina menepati objektif penyelidikan?

     d)  Adakah item yang dibina sejajar dengan soalan penyelidikan / hipotesis penyelidikan?

     e)  Adakah item yang dibina merujuk kepada maklumat dalam tinjauan bacaan?

     f)   Adakah item yang dibina sejajar dengan jenis data yang hendak dikutip?

     g)  Adakah item yang dibina telah diklasifikasikan dalam jadual perincian ciri pemboleh ubah?

     h)   Adakah laras ayat dan bahasa yang digunakan telah diuji (dalam kajian rintis)?

      i)   Adakah item yang dibina telah dibincangkan dengan pakar / penyelia / guru akademik tingkatan 6?

     j)    Adakah perkara ketanpanamaan (anonymity) telah dijamin?

     k)   Adakah soalan profil / latar belakang responden diasingkan dalam kategori yang berbeza dengan item soal selidik utama?


Perkara Yang Mesti Dielakkan

1   Item soalan yang mengaibkan sampel / membebankan / memudaratkan

2   Item soalan mendedahkan sampel kepada pelbagai risiko: ancaman terhadap pekerjaan, rumah tangga

3   Soalan dua beban (double-barreled): adakah anda memiliki buku teks dan buku rujukan?

4    Soalan panjang lebar, iaitu memasukkan ayat penjelasan dan soalan yang berjela-jela.
      (short items are best)


Contoh Jadual Persediaan Pembinaan Item Soal Selidik
(format matrik)

Bulatkan pilihan jawapan anda berdasarkan skala:               4  =  amat setuju
                                                                                             3  =  setuju
                                                                                             2  =  tidak setuju
                                                                                             1  =  tidak pasti

Bil     Item (berdasarkan maklumat tinjauan bacaan)                                        Skala 

  1      Buku teks ialah rujukan utama pembelajaran                                          4       3      2     1

   2     Buku teks merangkumi semua kehendak sukatan pelajaran                      4       3      2     1

   3     Format buku teks menarik minat pelajar                                                 4       3      2     1

    4    Fakta buku teks sentiasa relevan dengan perubahan masa                        4      3       2     1

    5    Guru sentiasa mengingatkan rujukan buku teks                                       4      3       2      1

    6    Soalan peperiksaan digubal berdasarkan buku teks                                   4      3       2      1

    dan item seterusnya...


Semakan Klasifikasi Item

Fakta Tinjauan Bacaan                                  Jumlah Item               Nombor Soalan
  
Fungsi / kegunaan buku teks                                      6                     1, 6, 13, 18, 22, 26

Masalah pemilikan / pinjaman buku teks                     6                     2, 7, 14, 19, 23, 27

Minat pelajar terhadap buku teks                                6                     3, 9, 16, 21, 25, 29

dan seterusnya...


Penutup: Sebelum item soal selidik dimuktamadkan untuk pentadbiran penyelidikan

Semak beberapa kali untuk proses penambahbaikan item. Penyelidik boleh meminta pendapat rakan penyelidik yang lain (peer review), atau bertanyakan individu-individu yang mempunyai latar belakang yang serupa dengan bakal sampel / responden. Cara ini dikira sudah memadai bagi penyelidik muda prauniversiti menggantikan kajian rintis yang biasa dilakukan dalam penyelidikan tinjauan skala besar.


Bibliografi

Babbie, Earl  (2010).  The Practice of Social Research. USA: Wadsworth Cengage Learning

Chua Yan Piaw (2006).  Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Education

Mohd Najib Abdul Ghafar  (2003).  Reka Bentuk Tinjauan Soal Selidik Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

No comments: