SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

TINJAUAN BACAAN DALAM PENYELIDIKAN (LITERATURE REVIEW FOR PREUNIVERSITY RESEARCH)

Tinjauan bacaan (TB) juga disebut sebagai ulasan karya, sorotan karya, atau tinjauan kajian lalu. TB boleh ditakrifkan sebagai ringkasan bertulis yang diperoleh daripada rujukan artikel, jurnal, buku, majalah dan dokumen lain yang mengandungi data, idea, maklumat, dan kaedah penyelidikan yang pernah digunakan oleh penyelidik lain yang berkaitan dengan masalah penyelidikan yang telah dipilih. Proses menulis tinjauan bacaan umpama menghantar penyelidik ke sebuah kolam yang penuh dengan pengetahuan tentang masalah penyelidikan yang telah pun ditetapkan.

Tujuan utama TB ialah bagi mendekatkan penyelidik dengan tubuh ilmu tentang masalah penyelidikan berkenaan. Barang diingat bahawa fungsi TB bukanlah sekadar tempelan seperti  memasukkan kata-kata hikmah atau petikan ucapan tokoh bagi menyedapkan huraian sesuatu pendapat. Sebaliknya, TB akan membantu penyelidik mengemas kini atau mengubah suai cadangan penyelidikan jika mendapati tajuk yang sama telah diulang berkali-kali oleh penyelidik lain.

Proses menyusun bahan tinjauan bacaan dimulai dengan mengumpul semua ambilan. Buat catatan dalam bentuk kad, atau terus menyimpannya dalam memori komputer. Apabila tiba masanya, segala bahan tadi hendak ditulis semula dalam bab 2, kad atau maklumat berkenaan boleh disusun mengikut klasifikasi, skema, atau tema  tertentu. Jangan lupa mencatatkan sumber ambilan: penulis, tahun terbit, judul, muka surat, tempat terbit dan nama penerbit; akan disenaraikan dalam bahagian rujukan (lihat contoh bacaan lanjut pada penghujung nota ini).

Pada kebiasaannya, ambilan tinjauan bacaan yang baik ialah terbitan 5 tahun kebelakangan (2005 - 2010). Penyelidik muda prauniversiti disarankan membuat ambilan daripada bacaan buku atau majalah yang didapati mempunyai kaitan dengan masalah penyelidikan yang dijalankan. Selain itu, muat turun bahan internet yang berkaitan juga boleh dilakukan.

Sebagai pendedahan kepada proses melaksanakan penyelidikan, maka segala kekurangan yang terdapat pada ambilan bahan diketepikan buat sementara waktu. Perkara yang perlu sentiasa mendapat perhatian penyelidik ialah: adakah bahan tinjauan bacaan boleh dipindahkan dalam bentuk item soal selidik kelak?

Tujuan TB

1   Memastikan bahawa penyelidikan yang dilaksanakan adalah signifikan

     Jika penyelidikan yang dilaksanakan berupa ulangan kepada tajuk yang sama, penyelidik   boleh melakukan ubah suai dari segi populasi dan sampel yang berlainan. Tanpa TB,  penyelidik mungkin menyangka bahawa penyelidikan yang dilaksanakan ialah yang pertama seumpamanya di dunia! Kepada penyelidik muda tingkatan 6, tajuk penyelidikan yang lalu boleh diubah suai untuk populasi pelajar prauniversiti sahaja.

2   Memastikan data penyelidikan diperoleh dengan lebih mudah

     Input ilmu daripada TB membantu penyelidik mereka bentuk instrumen penyelidikan. Pembinaan item untuk kaedah tinjauan (survey) hendaklah sejajar dengan penjelasan dalam TB. Bahkan, TB sendiri ialah sambungan kepada penyataan masalah penyelidikan dalam bentuk sokongan fakta yang telah diuji.

3   Memastikan saranan penyelidikan terdahulu masih relevan dengan persekitaran semasa

     Kebiasaannya TB akan menemukan penyelidik dengan sejumlah saranan penyelesaian atau penjelasan terhadap fenomena, yang diperoleh menerusi penyelidikan terdahulu. Dalam kata lain, penyelidik dapat memastikan sama ada saranan dalam bentuk campur tangan, intervensi, atau penambahbaikan berkenaan masih boleh diteruskan. Dalam bahagian TB, penyelidik boleh membuat ulasan secara kritis sebagai ramalan sebelum data penyelidikan diperoleh kelak.

Keutamaan Sumber TB

1   Laporan penyelidikan berkenaan tajuk yang sama atau hampir sama

     Memandangkan  penyelidikan yang dilaksanakan terhad populasinya, maka penyelidik perlu mengutamakan rujukan dalam negara terlebih dahulu, sebelum meninjau dapatan penyelidikan luar negara. Malah, andai kata penyelidik muda mendapati bahawa penyelidikan dengan tajuk yang sama pernah dilaksanakan oleh pelajar prauniversiti terdahulu, dapatan mereka hendaklah diberi keutamaan. Penyelidik boleh mengesan kekurangan yang masih belum terjawab, lalu ditulis sebagai ulasan ringkas, tetapi kritis.

2   Buku, dokumen, jurnal, majalah dan rekod rasmi

     Pengetahuan dan penjelasan yang diperoleh daripada TB akan menyediakan justifikasi dan sandaran bahawa segala maklumat dalam cadangan penyelidikan (sentiasa dikemas kini dalam bab pengenalan) memiliki kesejajaran (allignment). Penyelidik membuktikan bahawa akses pengetahuannya terhadap masalah penyelidikan yang dipilih adalah cukup. Maka, penentuan kaedah penyelidikan, instrumentasi dan analisis data menjadi lebih jelas.

3   Bahan internet

     Kelebihan rujukan laman sesawang ialah akses yang mudah, segera dan terkini terhadap bahan TB yang dikehendaki. Penyelidik harus memilih laman yang berwibawa, khususnya laman sesawang organisasi penyelidikan rasmi seperti institut penyelidikan, portal rasmi kementerian,  pertubuhan Bangsa Bersatu, universiti, atau laporan penyelidikan yang telah disahkan (refereed report). Rujukan terhadap laman yang tidak diketahui statusnya bakal menjejaskan kegunaan maklumat TB terhadap proses pelaksanaan penyelidikan selanjutnya.

Contoh Menulis TB

Sebenarnya terdapat banyak cara menulis TB. Antara cara yang paling digemari kebanyakan penyelidik ialah gaya APA  (American Psychology Association). Dalam TB, hanya nama  pertama penulis yang dirujuk, serta tahun terbitnya dicatatkan.

Contoh 1:  Aminah (2008) mendapati bahawa pelajar prauniversiti yang mengikuti pengajian tingkatan enam memiliki ciri kepimpinan kendiri yang tinggi...

Contoh 2:  Sepasukan penyelidik dari SMK St Michael, Ipoh telah menjelaskan kesukaran menampung kos pembelajaran dalam kalangan pelajar prauniversiti tingkatan enam tanpa pemberian biasiswa secara automatis (Aminah dan rakan-rakan: 2009).

Contoh 3: Beberapa penyelidik sepakat mengatakan bahawa pencapaian pelajar prauniversiti tingkatan enam banyak dipengaruhi oleh pemilihan rakan sebaya (Aminah, 2008; Choong Lee, 2006; Ranjini, 2009).

Seboleh mungkin, rujukan hendaklah merupakan ambilan sumber asal. Jika penyelidik menggunakan petikan asal rujukan iaitu perkataan demi perkataan, gunakan tanda pengikat kata ("........."). Ambilan petikan yang kurang daripada 50 patah perkataan dimasukkan bersekali dengan ayat lain dalam satu perenggan, manakala jika jumlah perkataan petikan asal yang melebihi 50 patah perkataan hendaklah diasingkan dalam perenggan yang khas.

Penulisan TB yang tidak mencatatkan sumber dianggap sebagai plagiat (memetik bahan tanpa izin), serta boleh didakwa melakukan jenayah intelektual. Penyelidik hendaklah sentiasa mengambil ingatan bahawa perbuatan sedemikian akan meruntuhkan kredibiliti penyelidikan yang dilaksanakan. Penyelidikan ialah suatu usaha menemukan hakikat dan kebenaran, lantaran seluruh proses penyelidikan hendaklah berpaksi kepada etika dan kejujuran...


Bacaan Lanjut:

Abdul Rashid Moten (1998). A Guide To Research Proposal and Report Writing. Kuala Lumpur: Research Centre, International Islamic University Malaysia

Chua Yan Piaw (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: McGraw-Hill Education

Creswell, John W. (2008). Educational Research. New Jersey, USA: Pearson Education

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

Sabitha Marican (2009). Penyelidikan Sains Sosial - Pendekatan Pragmatik. Batu Caves: Edusystem Sdn. Bhd.

No comments: