SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Friday, July 2, 2010

PEMBELAJARAN AKTIF MENINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR (THE CHANGE PROCESS NEEDS URGENCY IN MIND)

Bagi menentukan proses pembelajaran telah berlaku, guru biasanya mengajukan soalan secara lisan tentang isi pelajaran, terutama kepada pelajar yang didapati kurang memberi tumpuan. Apabila tidak berjaya menjawab, pelajar memberi pelbagai dalih. Contohnya, "nanti balik rumah saya baca semula, atau nanti saya belajar di pusat tuisyen pula". 

Dalam situasi berkenaan, guru mempunyai pilihan sama ada untuk melepaskan peluru amarah, iaitu satu kaedah konfrontasi, atau menggunakan analogi mudah supaya pelajar segera menyedari ada yang tidak kena dengan pegangan terhadap konsep pembelajaran sebenar. Sebagai profesional yang telah dilatih dengan kecerdasan emosi, iaitu tahan telinga dan tahan marah, guru mungkin mendahulukan kesabaran daripada menaikkan meter tekanan. Pendapat pelajar yang melencong itu mesti dibetulkan serta-merta sebelum berpotensi mempengaruhi lebih banyak pelajar lain.

Walaupun program Nilam (nadi ilmu amalan membaca) bererti murid dibiasakan dengan tabiat suka membaca, pendedahan terhadap proses memindahkan khazanah ilmu daripada buku ke dunia sebenar patut diberi perhatian. Idea-idea tentang kebaikan, kebajikan, kebijaksanaan, nilai murni dan peradaban yang boleh dilaksanakan atas kapasiti individu, atau dalam organisasi segera dicari jalannya. Setidak-tidaknya cara berfikir, tingkah laku dan perspektif si pembaca tentang dirinya sendiri, orang lain dan persekitaran akan mengalami perubahan yang menjurus kepada penambahbaikan yang berterusan.

Jika dibuat rantaian, maka orang yang suka membaca akan bertambah ilmunya, bertambah mulia pekertinya dan sejahtera orang yang berdamping dengannya. Pemupukan ciri asertif (tegas diri: menjaga hak diri sendiri, dan menjaga hak orang lain juga) lebih mudah dijayakan. Keadaan berebut-rebut yang lazim dilihat di jalan raya dan di majlis jamuan mungkin dapat diubah kepada ketertiban dan menghormati susila masyarakat yang berjiwa merdeka.

Pembacaan bahan akademik dan mata pelajaran tentulah tidak sama dengan membaca karya kreatif dan bacaan ringan. Buku teks misalnya padat dengan sejumlah andaian, konsep, teori dan hukum yang telah teruji berabad-abad lamanya. Laras ayat dan bahasa yang digunakan tidak semudah mengungkapkan sembang-sembang tepi jalan.

Walaupun persembahan buku teks cuba diringankan dan lebih menarik, citra ilmunya tetap sama. Penulisan buku teks dibuat sedemikian supaya akhirnya murid dapat dibimbing untuk berfikir, bertindak dan membuat keputusan yang tepat dengan bersandarkan input ilmu pengetahuan yang autentik, bukan pendapat amatur jalanan. Perspektif ilmu tentang sesuatu akan mencegah tangan daripada bertindak lebih laju daripada akal yang dikawali sejumlah ilmu.

Proses penulisan dan penerbitan buku teks memakan masa yang agak panjang. Apabila siap untuk digunakan, contoh kes yang dimuatkan mungkin sudah agak usang, walaupun dari segi asas ilmunya masih sah. Maka, perbincangan tentang kes-kes terkini akan memberi semula nyawa kepada ilmu yang terkandung dalam sesebuah buku teks.

Membaca buku teks atau buku rujukan mata pelajaran tanpa membuat sebarang catatan atau tanpa sebarang perbincangan kes tidak ubah seperti angin lalu. Murid yang kuat daya ingatannya mungkin boleh berlagak sebagai burung kakak tua yang tidak mengerti apa-apa tentang perkara yang diajukkan. Lebih baik gunakan peranti rakaman yang lebih canggih supaya dapat didengar berulang-ulang.

Taksonomi Bloom meletakkan pengetahuan per se di tahap paling bawah. Pembaca buku mata pelajaran tidak akan faham apa-apa, apatah lagi memindahkan idea bacaan dalam bentuk amalan gunaan. Keupayaan analisis, sintesis dan penilaian tentunya jauh panggang daripada api!

Maka, pembelajaran aktif di bilik darjah ialah proses menyalakan api ilmu menerusi penglibatan dan perbincangan tentang kes-kes yang berbeza. Dalam konteks ini, setakat membaca sahaja boleh diibaratkan sebagai aktiviti yang pasif. Pergantungan terhadap kononnya intuisi dan naluri semata-mata sebenarnya sangat bahaya.

Sebagai insan yang lebih dahulu makan garam, guru dapat membimbing murid meneroka dan membawa semula khazanah ilmu ke dalam bilik darjah supaya dapat dikaitkan dengan urusan kehidupan. Guru menjadi pemudah cara yang adil dalam melayan bermacam-macam luahan idea murid yang datang bertubi-tubi jika diberi kesempatan dan pengukuhan. Bertitik tolak dari situ, sekolah boleh diharapkan sebagai tapak menumbuhkan pucuk muda pencinta ilmu yang beretika, gigih dan kreatif.

Kesimpulannya, pembelajaran aktif merupakan bekalan kepada generasi muda untuk memanfaatkan ilmu dalam apa-apa jua cabaran zaman dan persekitaran. Mereka dapat membina perisai yang kebal, serta tidak lut dek pengaruh jahat dan negatif. Cita-cita untuk mewariskan jati diri bermula di dalam dunia bilik darjah...

bersambung...

No comments: