SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, September 4, 2011

BAHASA SEBAGAI SARANA BUDAYA TINGGI (LARGE-SCALE INTELLECTUAL MILIEU)

Sesuatu bahasa yang dapat mengungkapkan ilmu pengetahuan hingga mendorong kemajuan dan tamadun sesuatu bangsa akan dikagumi, dipandang tinggi dan memiliki nilai ekonomi. Walaupun demikian, kehebatan sesuatu bahasa juga boleh tenggelam jika masyarakat penutur jati bahasa berkenaan mulai angkuh dan dalam masa yang sama enggan mengakui arus perubahan yang berlaku sepanjang masa. Apa sudah jadi dengan bahasa Sanskrit, dan bahasa Yunani (Greek) yang pernah bertakhta dalam bidang falsafah dan persuratan berabad-abad lamanya?

Dalam era globalisasi ini, bahasa Inggeris dianggap sebagai paling berpengaruh. Apatah lagi hakikat bahawa bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi di 52 buah negara, khususnya bekas jajahan atau terokaan empayar British. Selain itu, bahasa Peranchis juga megah sebagai bahasa rasmi di lebih 30 buah negara, manakala bahasa Sepanyol dituturkan di seluruh Amerika Tengah dan Amerika Selatan, kecuali Brazil yang menggunakan bahasa Portugis.

Bahasa Mandarin juga dianggap berpengaruh justeru memiliki penutur yang melebihi satu bilion jiwa di China. Bahasa Mandarin dipelajari di serata dunia atas tujuan ekonomi, iaitu bagi merebut pasaran China yang bersaiz mega itu. Dunia masih menunggu saat pasaran China dibuka lebih luas, dan nilai mata wang Yuan diapungkan dalam pasaran kewangan bebas.

Bilangan umat Islam yang mewakili hampir 25 peratus penduduk dunia pula menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa yang paling berpengaruh. Bahasa Arab ialah bahasa rasmi umat Islam. Walaupun tidak boleh bertutur bahasa Arab untuk tujuan komunikasi, setiap orang Islam akan menggunakan bahasa Arab dalam urusan ibadah fardu ain mereka.

Di rantau Nusantara pula, Bahasa Melayu ialah bahasa paling berpengaruh dalam urusan seharian masyarakat. Malaysia dan Indonesia telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa Melayu telah menjadi wahana paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai latar belakang budaya, dialek dan sejarah. Bahasa Melayu turut dituturkan di Thailand, Singapura, Kemboja, Afrika Selatan, dan sedikit sebanyak di Makkah, Madinah dan Karachi.

Pada zaman keemasan empayar Melaka sebagai pusat perdagangan serantau dan antarabangsa, bahasa Melayu mencapai taraf lingua franca. Sejak itu, bahasa Melayu begitu dekat dengan bahasa Arab yang dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari timur tengah, China dan India. Kosa kata dan lenggok bahasa Melayu menerima pengaruh bahasa Arab.

Keruntuhan empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924 menyaksikan giliran penjajah British menguasai sebahagian besar benua Asia dengan misi emas, kemegahan dan penyebaran agama (Kristianisasi). Bahasa Melayu makin kuat dipengaruhi bahasa Inggeris. Kemajuan teknologi dan penyelidikan yang menjadi tunjang kesenangan dan keselesaan hidup manusia berpusat di Amerika Syarikat dan Britain yang menjadi tuan bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris mungkin gah di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, New Zealand dan negara-negara komanwel, tetapi hanya dipandang sebelah mata di benua Eropah sendiri. Belanda, Jerman, Itali, Sepanyol, dan Peranchis yang begitu terkenal dengan kejuruteraan termaju lebih selesa dengan bahasa ibunda masing-masing. Di Asia Timur, Jepun dan Korea Selatan muncul sebagai kuasa ekonomi dan teknologi tanpa mengkagumi bahasa Inggeris, walaupun keselamatan negara mereka dikawal oleh tentera Amerika Syarikat yang bertutur bahasa Inggeris.

Di United Kingdom sendiri, Scotland, Wales dan Ireland lebih berbangga dengan bahasa Scottish, Irish dan Welsh. Mereka tidak mahu bahasa ibunda mereka pupus begitu sahaja sebagaimana nasib yang menimpa bahasa Sanskrit dan bahasa Yunani Greek. Bahasa Inggeris hanya unggul di England yang berkeluasan tidak sampai 100 ribu kilometer persegi itu.

Di negara kita, bahasa Melayu sedang menempuh cabaran getir akibat kecelaruan minda sesetengah kaum elit yang kagum akan bahasa Inggeris melebihi orang-orang Eropah sendiri. Sudah tentu kita perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing yang lain. Namun, keinginan itu tidak boleh memadam peruntukan perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan dasar-dasar pendidikan pascamerdeka yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu... 

No comments: