Peringatan kepada para pelawak samada berstatus "profesional", amatur, mahupun jadian sahaja. Unsur kelakar mungkin bersifat kecindan jika dipersembahkan dengan penuh hemah dan bijaksana. Namun, lawak jenaka yang semberono boleh mengundang padah yang berpanjangan.
Jika tujuan lawak jenaka dan percakapan kelakar hanya bertujuan untuk membuatkan orang ketawa berdekah-dekah atau terbahak-bahak, perbuatan demikian sudah termasuk dalam kategori sia-sia atau lagha. Dari segi kesihatan pula, ketawa yang berlebih-lebihan mungkin menjejaskan sistem rahang dan tekak. Pernah berlaku satu kes di Singapura, seorang lelaki terpaksa dirawat di hospital apabila rahangnya tergelincir, dan mulut terus ternganga tanpa dapat ditutup.
Unsur jenaka, kelakar dan lawak lebih bersifat santai minda. Banyak pendapat menyatakan bahawa unsur kecindan dan humor seperti itu sangat penting untuk menyampaikan sesuatu mesej dalam proses pembelajaran dan juga dalam pengurusan sesebuah organisasi. Tahap tekanan yang dialami boleh menjadi reda.
Nabi Salallahu alaihi wasallam sendiri pernah bergurau bahawa orang tua tidak masuk syurga. Maksud sebenar baginda ialah bahawa penghuni syurga semuanya akan kembali memperoleh umur muda buat selama-lamanya. Unsur kecindan yang dilafazkan itu jelas berbentuk motivasi yang positif supaya setiap orang yang beriman akan berlumba-lumba supaya berpeluang masuk syurga.
Kaum lelaki perlu lebih berhati-hati jika hendak bergurau senda, justeru lafaz-lafaz tertentu mungkin membawa implikasi hukum yang serius. Misalnya, lafaz akad nikah dan talak tidak seyogia dibuat mainan. Tambahan pula, jika ada hati yang terguris, si pelawak mungkin diseret ke mahkamah...
No comments:
Post a Comment