Sata menyatakan azam untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi sebagaimana dia pernah menyapu sampah dahulu. Pengalaman hidup di England mungkin mempengaruhi dasar kerajaan beliau tentang sistem politik, sosial dan ekonomi negara itu. Rakyat Zambia menaruh harapan yang begitu tinggi.
Kisah Sata mengingatkan penulis blog (PB) terhadap dua perkara. Pertama, ialah tentang pengalaman peribadi PB, dan kedua tentang upaya memajukan diri. Sata boleh dijadikan contoh tentang huraian peribahasa "tuah ayam nampak di taji, tuah manusia siapa yang tahu".
Pengalaman peribadi yang dimaksudkan ialah PB pernah bekerja sebagai tukang sapu di Raliegh Cycles, Shah Alam suatu ketika dahulu. Gaji harian ialah RM6.50, jumlah yang boleh tahan sementara menunggu keputusan STPM diumumkan. Ketika itu, rangkaian restoran makanan segera belum menjadi fenomena pasaran.
Sebenarnya kerja menyapu sampah hanya menjadi sebahagian kecil tugas PB yang ditempatkan di Jabatan Penyenggaraan. Bahagian cuci tandas diisi oleh seorang anne (pak cik keturunan India) kerana kesempatan untuk bermalas-malas ada di situ, maklumlah terlindung daripada pandangan mata. Tugas lain PB ialah memunggah komponen basikal daripada kontena, mengemas stor dan kerja lain yang diarahkan oleh pengurus dan penyelia.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah peluang masuk ke pejabat pengurus besar. PB diminta membersihkan bingkai gambar Queen Elizabeth. Dalam hati terlintas juga bahawa nenek itu antara ketua penjajah dunia timur.
Belanja makan di kantin agak murah kerana setiap pekerja diberikan kupon subsidi. Maka, hidangan tengah hari termasuk minuman hanya RM1.00. Kebetulan di sebelah kilang Raliegh ialah kilang mencetak duit syiling Bank Negara Malaysia.
Kepada pelajar sekolah, kisah Michael Sata boleh diambil sebagai inspirasi untuk memajukan diri. Jika Sata hanya berpuas hati sekadar sebagi tukang sapu di kota London, maka dia akan berakhir sebagi tukang sapu. Namun, Sata sentiasa mahukan perubahan terhadap nasib diri, keluarga, masyarakat dan bangsanya.
Sambil bekerja, dia menyambung pengajian secara sambilan hingga memperoleh kelayakan peringkat universiti. Maka, apabila kembali ke Zambia, dia antara rakyat yang memiliki akses pengajian tinggi. Dengan mudah, Sata diterima menyertai pasukan polis sebagai pegawai.
Sata juga tidak mahu berakhir sebagi polis. Dia telah memasang impian yang lebih tinggi dan berusaha mengejar impian yang ibarat pelangi itu walaupun makin meniti usia. Mungkin kepada sebahagian besar warga emas, kumpulan usia 70-an hanya layak berehat di rumah, bermain dengan cucu dan cicit, serta menghitung hari untuk dijemput ke alam baqa'.
Sata bermula sebagai Presiden Zambia pada usia 74 tahun. Dia masih kelihatan segak dengan persalinan yang layak sebagi ketua negara. Percakapannya juga penuh keyakinan dan harapan seolah-olah dia akan hidup seribu tahun lagi.
Pelajar sekolah juga harus mencontohi Sata dalam melakar kehidupan dan impian. Dia sentiasa meneroka penambahbaikan terhadap kedudukan diri dan bangsanya. Siapa sangka bahawa si tukang sapu akan berakhir sebagai presiden Zambia?
Pelajar sekolah hendaklah mengusir perasaan rendah diri, atau berfikir akan kekal di takuk lama sahaja. Pelajar hendaklah mencari jalan untuk menuju puncak kejayaan. Pepatah Inggeris mengatakan bahwa anda tidak akan mencelup kaki dalam aliran air sungai yang sama dua kali...
No comments:
Post a Comment