SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Thursday, September 22, 2011

"GURINDAM TONGGAK DUA BELAS" KOMSAS TINGKATAN 5 (VALUES, NORMS AND ETHICS IN WORKING)

Prolog

Penulis blog (PB) memiliki pengalaman peribadi tentang gurindam yang satu ini. PB bertemu sendiri dengan pengarangnya, Mas Adeki di Hotel KL International, ketika PB sedang menghadiri kursus Penilaian Tahap Kompetensi DG44. Beliau yang baru sahaja bersara sebagai pengetua sedang mempromosi antologi seperti yang tertera di sebelah kanan naskhah Tonggak 12 di bawah, salah satu "kitab" penjawat awam di Malaysia. 

Pengenalan

Setiap rangkap gurindam ditulis dalam dua baris yang menyamakan rima akhir kedua-dua baris. Sejajar dengan tajuknya, Mas Adeki menyediakan gurindam 12 rangkap dengan setiap rangkap membawa satu idea. Gurindam Tonggak 12 dimuatkan dalam antologi Dirgahayau Bahasaku, muka surat 11 - 12.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Hendak pandai menghargai masa,
          Jangan dinanti esok lusa.

Setiap orang hendaklah menghargai masa, dan tidak wajar bertangguh dalam sesuatu kerja.

          Ketekunan akan membawa kejayaan,
          Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Tumpuan terhadap sesuatu kerja hingga selesai akan membolehkan matlamat seseorang atau sesuatu organisasi tercapai. Kerja dilakukan dengan gigih (cekal, rajin) walaupun banyak cabarannya.
         
          Wajah ceria keseronokan bekerja,
          Usah berduka bermuram durja.

Dorongan untuk bekerja akan menyebabkan beban yang berat menjadi ringan. Kerja dianggap sebagai ibadah dan sumbangan yang penting.

          Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
          Bertindak penuh dengan kebijaksanaan.

Dalam menjalani kedidupan seharian, orang yang sederhana dalam segala hal akan lebih disenangi. Orang yang sederhana akan bertindak dengan bijaksana. Mereka tidak menyusahkan orang lain dengan tingkah laku yang keterlaluan atau berlebihan.
         
          Ketinggian peribadi jadi amalan,
          Ketelusan hati jadi bekalan.

Seseorang yang memiliki ketinggian peribadi akan menjaga penampilan luaran (jasmani) dan menggambarkan sikap positif lagi terbuka.  Mereka akan menjadi contoh dan sebutan.

          Kekuatan sifat baik hati,
          Bertimbang rasa dan simpati.

Orang yang baik hati sentiasa mempamerkan sifat yang disukai. Orang lain akan berasa selamat dan selesa apabila berada di sampingnya.

          Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
          Baik buruk jadikan sempadan.

Pengaruh teladan sentiasa mendatangkan kebaikan. Seseorang itu sentiasa mempunyai peribadi rujukan bagi menentukan baik buruk sesuatu perkara.

          Menjadi kewajipan menjalan tugas,
          Walaupun sederhana tetapi tegas. 

Segala tugas dilakukan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Ketegasan dalam kerja menjadi kunci kejayaan walaupun bersifat sederhana.

          Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
          Tidak membazir teliti saksama.

Hemat bermakna cermat, teliti dan menjaga sesuatu supaya lebih tahan lama. Dengan itu, pembaziran dapat dielakkan. Seseorang yang berhemat sangat menghargai sesuatu sumber sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan perkataan.

          Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
          Perkara susah menjadi senang.
         
Orang yang sabar sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu. Sifat negatif seperti gopoh, kelam-kabut, kucar-kacir, putus asa dan tergesa-gesa akan dijauhi. Cabaran dihadapi dengan tabah dan jalan keluar dicari.

          Peningkatan bakat diberi sokongan,
          Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Bakat dan potensi yang dikembangkan akan mendorong pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi. Kebolehan yang ditunjukkan bakal mendatangkan manfaat kepada kehidupan.

          Nikmat mencipta budaya kreatif,
          Kembangkan bakat semoga aktif.

Penghasilan idea, bahan atau reka bentuk tertentu akan meningkatkan kesejahteraan. Bakat terpendam hendaklah digilap supaya idea yang muncul tidak sia-sia sahaja. Bakat yang dikembangkan perlu diaktifkan sepanjang masa.

Contoh tugasan

i)  Apakah tanda-tanda bahawa seseorang itu seronok nekerja?  (2 markah)

ii)  Cadangkan tiga cara menggilap bakat generasi muda di negara kita.   (4 markah)

iii)  Jelaskan dua persoalan dalam gurindam di atas.   (3 markah)

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum...

mohon izin saya copy utk PDP