SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, September 15, 2011

BIDANG SOALAN KOMSAS SPM (PLANNING TO SCORE A+ IN BM)

Soalan ramalan keluar sedebuk pun tidak akan membantu jika seseorang calon tidak mahir menentukan aras soalan, tumpuan (fokus) tugasan soalan dan sumber ambilan jawapan. Sesungguhnya peperiksaan ialah proses memisahkan pencapaian cemerlang, sederhana dan lemah. Item-item soalan dibina begitu rupa supaya diskriminasi yang hendak dilakukan itu mencapai matlamatnya.

Dalam bahagian pemahaman komsas SPM, iaitu pecahan soalan 2b, 2c dan 2d, calon-calon harus dapat membezakan soalan aras petikan, soalan aras kbkk dan soalan aras komsas. Setiap aras yang dimaksudkan akan menentukan sumber isi jawapan yang hendak ditulis. Sejajar dengan huraian sukatan pelajaran, murid diharapkan dapat membezakan pernyataan fakta dengan pernyataan pendapat.

Selain maksud rangkai kata, soalan aras petikan bermakna jawapan perlu diambil terus daripada petikan, iaitu seperti yang tercetak. Kebiasaannya, soalan aras petikan tidak memerlukan huraian, penerangan, atau penjelasan. Jika demikian, calon hanya perlu menyalin kembali isi daripada petikan (yang berkaitan), sambil menggugurkan atau menghilangkan bahagian huraian dalam ayat berkenaan.

Buat kesekian kali diulangi bahawa isi bermaksud bahagian subjek (dan / atau predikat) sahaja. Maka, frasa penerangan selain subjek dan predikat dalam ayat ialah huraian, penerangan, atau penjelasan. Sangat pelik apabila pecahan soalan yang memperuntukkan hanya 3 markah ditulis jawapannya hampir setengah muka surat kertas jawapan!

Soalan aras kbkk bermaksud tugasan luar petikan. Maka, calon harus menggunakan idea sendiri bagi menjawab soalan aras kbkk. Sekali lagi perhatikan sama ada jawapan memerlukan huraian atau sebaliknya.

Tugasan soalan yang tidak memerlukan huraian akan dimulai dengan "berikan", "kemukakan", "senaraikan", "nyatakan", "apakah", bilakah", "bagaimanakah", "siapakah" dan yang seumpamanya. Tugasan soalan yang memerlukan huraian akan mengandungi perkataan "huraikan", "jelaskan" dan "terangkan". Huraian, penerangan dan penjelasan bukan semestinya menulis ayat baharu, bahkan dalam ayat yang sama.

Cuba bezakan ayat berikut:

Saya akan belajar dengan tekun supaya diterima memasuki universiti terkemuka.

Bola itu dirembat dengan kencang.

Itai ialah murid orang Asli yang pintar.

Perkataan-perkataan selepas huruf cetakan tebal (supaya, dengan, yang) merupakan huraian. Walaupun demikian, jika calon masih ragu, penerangan lain boleh ditambah. Melainkan telah ditetapkan jumlah perkataan untuk sesuatu huraian, penerangan atau penjelasan sebagaimana karangan, jawapan untuk pecahan soalan komsas tidak perlu berjela-jela atau panjang lebar.

Bagi soalan aras komsas, pastikan bahawa calon dapat membezakan setiap pernyataan isi yang hendak ditulis. Bidang soalan komsas yang boleh diuji termasuklah:

          a)   Tema
          b)   Sinopsis
          c)   Teknik plot / teknik penceritaan
          d)   Watak dan perwatakan
          e)   Latar masyarakat / latar masa / latar tempat
           f)   Nilai
           g)  Persoalan
           h)  Pengajaran
       
Namun, a), b) dan c) jarang-jarang ditanya untuk bahagian pemahaman. Sebaliknya tugasan seumpama itu lebih popular bagi soalan 4b: kajian novel. Tumpuan harus diberikan kepada d) hingga h).

Perincian


d)  Watak: merujuk nama pemegang watak, sama ada watak utama (protagonis), watak penentang (antagonis), atau watak sampingan lain;
     
     Perwatakan:  tentang sikap, tingkah laku atau pembawaan watak, misalnya baik hati, budiman, cekal, gigih, tegas, pemurah, penyayang
       dan banyak lagi.

e)   Latar masyarakat:  ditulis sebagai "masyarakat yang (+ perwatakan)" atau masyarakat (lokasi, status watak berada, contohnya masyarakat bandar)

        Latar tempat: sebaik-baiknya bersifat khusus, contohnya: rumah (nama watak), bilik komputer, dan lain-lain

        Latar masa:  waktu awal pagi, tengah hari, petang, malam, zaman dahulu, waktu rehat persekolahan, dan lain-lain

f)   Nilai: dengan imbuhan:  kecekalan, kegigihan, kejujuran, ketegasan, ketelitian, kecekapan, kebijaksanaan; tanpa imbuhan: kasih sayang, yakin diri

g)   Persoalan:  Pernyataan nilai lebih khusus:  kecekalan menempuh cabaran hidup, kasih sayang sesama keluarhga

f)   Pengajaran:   Dimulai dengan "kita hendaklah / haruslah / sepatutnya...; "kita janganlah / usahlah..."

Perhatian: cekal / gigih berbeza dengan tabah. Cekal terhadap perkara sedang dilalui; sabar / tabah terhadap perkara telah berlaku.


Jika tugasan soalan memerlukan huraian, maka masukkan contoh peristiwa yang berkaitan. Sesuatu peristiwa harus mengandungi watak, tempat dan kejadian. Memadai peristiwa ditulis dengan ringkas.

Tugasan merujuk petikan bermakna peristiwa diambil terus daripada petikan soalan. Tugasan kluar petikan memerlukan calon mengemukakan peristiwa keseluruhan karya berkenaan. Jika tidak ingat peristiwa, paling tidak unsur komsas yang diuji hendaklah ditulis juga supaya penalti markah akan minimum sahaja.

Calon dinasihatkan supaya memperuntukkan masa dan isi jawapan yang bersesuaian dengan nilai markah bagi setiap pecahan soalan. Kertas 2 memperuntukkan 110 markah dengan tempoh masa 150 minit, atau 1 markah = 1.36 minit. Maka, kalau 3 markah = maksimum 4 minit; mana mungkin boleh ditulis hingga setengah muka surat....

No comments: