SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 9, 2011

JARINGAN MELAYU SENTRAL, KOK ANEH? (THE LANGUAGE DEFICIT)

Hentian Pudu Raya yang dinaik taraf telah dijenamakan semula sebagai Pudu Sentral. Bermula dengan KL Sentral, kemudian ada Kepong Sentral, Melaka Sentral dan macam-macam sentral. Dahulu perkataan sentral digunakan dalam pembelajaran sejarah, iaitu konsep pemusatan atau sentralisasi.

Dalam Kamus Dewan edisi IV, muka surat 1456, sentral membawa maksud di tengah atau pusat (pejabat-pejabat lain dll) yang menjadi pusat (ibu pejabat). Sentral juga boleh digunakan untuk gandingan pasar dan pemerintah. Maka, sekali imbas tiada apa-apa yang salah tentang penggunaan istilah sentral, versi bahasa Melayu untuk central.

Masukan kosa kata asing dalam perbendaharaan kata sesuatu bahasa yang bersifat dinamik dan terbuka ialah amalan masyarakat maju. Sebaliknya, bahasa yang bersifat statik dan tertutup akan kehilangan nilai ilmu dan ekonomi, tetapi lebih menjurus kepada tujuan komunikasi harian dan ungkapan perasaan. Penggunaan kata pinjaman dan kata serapan membolehkan sesuatu fenomena dan bidang ilmu pengetahuan baharu dapat diungkapkan memandangkan kepesatan perubahan datang dari segenap penjuru dunia.

Sebagai satu disiplin ilmu, bahasa juga mengalami kemunculan pelbagai aliran dan mazhab pemikiran. Antara aliran yang paling berpengaruh ialah transformasi generatif yang dicetuskan oleh Noam Chomsky, 83, profesor linguistik moden di MIT, seorang Yahudi yang pernah tinggal di Tel Aviv. Beliau memperoleh Ph.D di Pensylvannia pada tahun 1955 dan bergelar profesor enam tahun kemudian.

Aliran sosiolinguistik pula disifatkan lebih lentur kerana penerimaan masukan kota kata berdasarkan penggunaan popular dalam sesebuah masyarakat. Maknanya, istilah-istilah ciptaan wartawan hiburan dan slanga mungkin cepat disenaraikan dalam kamus. Misalnya, perkataan "mengancam" yang dipopularkan oleh "Mama" Juwie akhirnya dirujuk juga sebagai pesona seorang perempuan!

Aliran psikolinguistik yang menggabungkan disiplin psikologi dan linguistik menerima pengaruh behaviorisme, konstruktivisme dan banyak lagi. Kajian bahasa akan diperluas kepada pemerolehan bahasa, patologi bahasa, terapi audio dan proses kognitif yang lain. Bahasa tidak lagi dilihat secara ekskusif dan elitis, tetapi lebih inklusif dan massa.

Dinamika dan lenturan bahasa bagaimanapun bukanlah tiket untuk melupakan akar umbi dan jati diri sesebuah masyarakat. Kesediaan menerima masukan kosa kata asing hendaknya tidak meminggirkan kosa kata sedia ada. Sebagai contoh, perkataan implikasi sudah hampir menghilangkan penggunaan perkataan natijah yang sudah jauh daripada generasi muda kita.

Atas semangat yang serupa, diharap perkataan sentral tidak akan berleluasa hingga kita lupa sama sekali kepada perkataan hentian dan pusat kerana sama ada kerana bunyi yang dirasakan lebih canggih, atau sebenarnya terbit daripada rasa rendah diri terhadap punca-punca tempatan. Pakar-pakar bahasa harus mengangkat kembali darjat kosa kata masyarakat tempatan dan klasik jika didapati setara dengan masukan kosa kata asing yang hendak diterima. Huraian makna kosa kata berkenaan boleh diluaskan dalam persekitaran semasa dan masa hadapan.

Kumpulan yang menamakan organisasi mereka sebagai Jaringan Melayu Malaysia juga agak aneh. Mereka lebih condong kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajar Sains dan Matematik, menerusi dasar PPSMI yang sudah dimansuhkan. Kita berasa sedikit lega kerana Kementerian Pelajaran Malaysia bertegas menolak dapatan kajian yang tidak cukup signifikan oleh kumpulan berkenaan.

Hendaknya tiada pihak yang akan bersikap ekstrem, melulu dan taksub terhadap sesuatu bahasa. Dalam masa yang sama, kita harus memiliki rasa bangga akan bahasa Melayu sebagai ikatan jati diri dan perpaduan masyarakat. Proses pengistilahan bahasa Melayu dalam semua disiplin ilmu pengetahuan, terutama di peringkat pengajian tinggi perlu diperkasakan lagi...

No comments: