SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, September 25, 2011

PENULISAN SEMULA SEJARAH TIDAK PERLU SENSASI (LET'S SCHOLARS DO THEIR JOB)

Kontroversi status Mat Indera dalam peristiwa Bukit Kepong mengundang perdebatan hangat dalam media popular surat khabar dan penulis blog amatur. Pandangan para sarjana pula dilaporkan berdasarkan perspektif wartawan yang lebih menjurus kepada pemberitaan berkepentingan. Tidak semena-mena perbincangan tentang fakta sejarah mendapat perhatian yang begitu hebat.

Fakta sejarah tidak pernah bersifat muktamad. Jika ada dapatan baharu berdasarkan penyelidikan, fakta yang sedia ada akan dipinda. Fakta sejarah sebagaimana data sains sosial yang lain boleh dimanipulasi untuk membuat generalisasi terhadap sesuatu populasi.

Dalam kebanyakan mata pelajaran di sekolah, sukatan pelajaran antara lain menghendaki murid belajar membezakan antara penyataan fakta dengan pernyataan pendapat. Potensi kognitif murid digilap supaya memiliki kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Di situlah letaknya kepentingan mentafsir atau memberi ulasan terhadap sebarang fakta sejarah yang ada.

Contoh fakta sejarah yang mengalami perubahan ialah tentang kaum zaman batu yang kononnya masih wujud di pedalaman Filipina. Setelah beberapa lama "fakta" itu dimuatkan dalam buku teks, akhirnya didapati bahawa cerita dan foto yang berkenaan adalah palsu semata-mata. Maka, "fakta" itu digugurkan.

Tafsiran tentang fakta sejarah sangat dipengaruhi oleh aliran pemikiran atau kaedah penyelidikan yang dilaksanakan. Kebanyakan fakta sejarah yang dihidangkan dalam buku-buku teks seluruh dunia telah ditulis oleh sarjana orientalis. Maka, bahagian tafsiran dan manipulasi data sejarah yang ditulis memang boleh dibahas.

Mengapakah British beriya-iya memecahkan rantau Arab dan Asia kepada negara-negara bangsa yang lebih kecil? Mengapakah mereka takut bahawa jika rantau Asia Tenggara mewujudkan kesatuan geopolitik, laluan Selat Melaka tidak lagi percuma, dan tiada sebarang armada asing boleh mendakwa sebagai pengawal Selat Melaka? Mengapakah rejim haram Tel Aviv diletakkan dalam wilayah Palestin, serta berjiran dengan negara-negara kecil Arab yang asalnya Tanah Besar Hijjaz?

Negara-negara teluk seperti Abu Dhabi, Bahrain, Kuwait, Qatar dan UAE dikatakan terletak di atas simpanan telaga minyak terbesar dunia. Sebagai negara-negara yang bersaiz kecil, mereka tidak akan berdaya untuk menghadapi ancaman asing bersendirian. Maka, Barat menjalankan jarum halus mereka di sana selagi mana negara-negara berkenaan saling curiga dan enggan berpakat.

Penulis blog (PB) mengajar mata pelajaran Sejarah tingkatan 3, 5 dan 6 Atas untuk beberapa tahun. Malah, PB pernah diberi amanah sebagai ketua panitia Sejarah SM Teknik, Persiaran Brash Ipoh. Fakta menarik ialah PB berjaya membawa mata pelajaran Sejarah mencatat pencapaian 100 peratus buat pertama kalinya di sekolah berkenaan.

Semasa mengikuti kursus diploma pendidikan di UIAM, Petaling Jaya, opsyen pertama PB ialah Kaedah Perdagangan dan Keusahawanan, manakala opsyen kedua ialah Kaedah Sejarah. Ketika semakan KBSM dilakukan, PB telah terpilih mewakili Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Persidangan Kebangsaan Sejarah anjuran bersama Pusat Perkembangan Kurikulum dan Persatuan Sejarah Malaysia yang berlangsung di Hotel Federal, Bukit Bintang. Sebulan sebelum itu di hotel yang sama, PB telah mengikuti kursus profesionalisme guru sejarah anjuran Jabatan Pendidikan Teknikal sendiri.

Sarjana sejarah tidak akan bersikap tegar (rigid) terhadap fakta sejarah. Mereka sentiasa terbuka kepada dapatan penyelidikan terkini dari seluruh dunia. Penemuan artifak, catatan batu bersurat, dan manuskrip lama akan membuka jalan kepada perubahan fakta sejarah, atau sekurang-kurangnya menyediakan ruang untuk fakta pilihan dan tafsiran yang baharu. Semua pihak perlu menghormati penjelasan bijak pandai sejarah, dan sanggup membuang ego kononnya "aku serba tahu"...

No comments: