SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 30, 2011

SINETRON "KETIKA CINTA BERTASBIH" MULA MELALUT (ILLOGICAL CONFLICT AND BETRAYAL STORY)

Naskhah asal novel terlaris Indonesia karya Pak Habiburrahman El-Shirazy yang diangkat ke layar lebar, dan selanjutnya ke layar kaca televisyen sebagai siri sinetron mulai kehilangan arah. Antara bahagian cerita yang paling tidak munasabah ialah apabila keluarga Ustazah Anna (lakonan Oki Setiana Dewi) dengan begitu cepat dan mudah mencabut usul mereka sendiri supaya Azzam (Mohd Kholidi Asadil Alam) bernikah lagi dengan Ustazah Qonita (Yasmine Wildblood), hafizah pesantren Kudus kendalian Kiyai Ansori (Kaharuddin Shah) yang terhormat hanya kerana Anna disahkan hamil. Keluarga Kiyai Lutfi (bapa Anna, Deddy Mizwar) dan Dr Mujab (Pak Habib) hanya mementingkan diri tanpa peduli akan maruah pihak lain.

Sinetron KCB lanjutan dua sekuel filem bertaraf pecah panggung itu dianggap sebagai mega sinetron telah memasuki fasa ketiga "Dari Sujud ke Sujud" yang baru bersiaran di Indonesia. Kalau di Malaysia baru hendak selesai bahagian "Spesial Ramadan", dan bakal menyusul "Meraih Ridho Ilahi". Namun, sebahagian siri KCB boleh ditonton menerusi You Tube.

Supaya jalan cerita tidak cepat mencapai antiklimaks, maka Pak Habib selaku penulis senario cereka harus menggarap pelbagai konflik atau pergolakan baharu yang mampu membuat penonton melekat di hadapan skrin televisyen. Tugas itu bukanlah mudah, apatah lagi bagi menjaga kesinambungan cerita dan jangkaan peminat drama bersiri. Akhlak dan tingkah laku masyarakat pesantren yang didukung oleh pelakon profesional yang berbeza dengan penampilan sebenar mereka juga menjadi cabaran yang hebat.

Isu poligami memang sensitif kepada kaum Hawa, tetapi skrip cerita yang menggambarkan sikap mungkir janji golongan yang memimpin sebuah pesantren bukanlah contoh yang diingini. Pertunangan dan pernikahan bukan perkara main-main. KCB seperti mencalar imej golongan kiyai dan institusi pesantren yang menjadi harapan dan sandaran umat.

Jalur dakwah yang cuba ditampilkan lewat sinetron KCB kian celaru dan keliru. Beberapa adegan yang menggambarkan sikap cuai terhadap landasan citra Islamik seperti adegan keterlaluan si penjahat Gareng terhadap anak gelandangan, Dini. Demikian juga penonjolan watak Vina yang bergaul bebas dengan Ronald.

Barangkali Pak Habib dan Chairul Umam (sutradara) harus mencontohi beberapa buah filem Iran yang memenangi anugerah antarabangsa tanpa adegan bersentuhan bukan mahram, dan tanpa adegan pelakon membuka aurat konon bagi menggambarkan sisi gelap seseorang watak. Memang dalam realiti bahawa sekalian insan serba kekurangan, tetapi bukankah aib itu perlu ditutup? Dan, bukankah matlamat (dakwah menerusi media hiburan) tidak menghalalkan cara (adegan yang tidak wajar, tidak Islamik)?

Kritikan terhadap KCB tidak pula bererti bahawa sinetron berkenaan sudah menyimpang daripada kategori karya berunsur dakwah. Perbincangan bersifat popular (bukan ilmiah total) ini hanya sekadar lontaran rasa segelintir penggemar naskhah dakwah yang bersifat kreatif. Moga-moga Pak Habib dan sekalian penggiat dunia hiburan yang membawa mesej dakwah akan lebih waspada terhadap kaedah penyampaian (uslub) yang bebas daripada sebarang unsur ragu dan syubhah...

No comments: