Saturday, September 17, 2011
SYUKUR NIKMAT (DIVINE EXPRESSION)
Dalam surah Ibrahim (14:7) dinyatakan (maksudnya): "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami (Allah) menambah (nikmat) bagimu, dan jika kamu ingkar, nescaya sesungguhnya azab-Ku amat pedih." Kemudian, diulang-ulang pula penegasan betapa kebanyakan manusia tidak bersyukur (qalil'am-ma tasykurun, as-Sajdah, 32:9). Surah ar-Rahman (55: 13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42,45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75, 77) memperuntukkan 31 kali ayat yang sama diulang secara berselang-seli, bermaksud: "Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang hendak kamu dustakan?".
Tanda orang bersyukur ialah apabila lazim melafazkan "Alhamdulillah", bermaksud bahawa "segala puji (hanya tertentu) untuk Allah". Manusia yang beriman memulangkan segala pujian kepada Pencipta, bukan untuk dirinya. Maka, segala sifat tercela (mazmummah) seperti angkuh, bongkak, sombong, cakap besar, gila kuasa, gila pangkat, riyak, takbur, ujub dan seumpamanya dapat dijauhi.
Sebaliknya manusia yang bersyukur akan menghiasi peribadi dengan segala sifat terpuji (mahmudah) seperti berpada-pada (qana'ah), ikhlas, sabar, taqwa dan seterusnya. Mereka juga akan berusaha mencontohi sifat Nabi Salallallahu alaihi wasallam, iaitu amanah, fatanah (bijaksana), siddiq (benar) dan tabligh (menyampaikan). Pendek kata, lafaz Alhamdulillah dijadikan dasar dalam proses kehidupan seluruhnya.
Syukur mungkin perkataan yang sangat mudah diucapkan. Dari segi asal usul kata (etimologi), syukur berasal daripada kosa kata Arab, shukran yang membawa maksud terima kasih. Kalau kita menyatakan terima kasih kepada manusia atas kebaikan yang dihulurkan, bermakna juga terima kasih kepada Allah.
Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan kuasa Ilahi (la hawla wala quwwaata illa billah). Insan diciptakan daripada tiada kepada ada, dan daripada keadaan serba lemah kepada berdaya upaya. Begitu juga dengan ciptaan segala makhluk lain dan fenomena jagat raya untuk dimanfaatkan oleh insan.
Dari satu segi, manusia sangat kerdil, umpama sebutir debu halus di sebuah padang pasir tanpa sempadan. Akal manusia pula bagaikan sinar lilin yang amat terhad. Manusia tidak dapat menyebutkan angka terakhir dalam sistem nombor, lalu menyebut infiniti, atau tidak terhingga,
Manusia juga tidak dapat membuat kesimpulan yang pasti tentang sempadan alam semesta. Asas keimanan terhadap kewujudan alam ghaib sudah ditunjukkan dengan jelas. Pernahkah manusia melihat dengan mata kasar akan arus elektrik, gelombang elektronik dan magnetik, atau fenomena angin yang asli?
Bagaimanakah pula tentang cop jari, profil DNA, variasi suara, variasi fizikal dan genetik yang unik, walaupun proses penciptaan manusia melalui tahap yang sama. Menerusi penyelidikan (tadabbur) tentang tanda kebesaran Allah di muka bumi (ayatullah fi'l-kaun), kebarangkalian untuk melihat fenomena atau tingkah laku yang sama secara berulang-ulang adalah besar sekali. Manusia hendaklah belajar untuk bersyukur atas nikmat Allah yang tidak terhingga...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment