Belakangan ini banyak berlaku fenomena alam yang tidak dapat dikesan lebih awal, misalnya gempa bumi di sana sini, ribut taufan dan tsunami. Perubahan dalam aktiviti matahari juga dijangka melambatkan proses pemanasan bumi. Walaupun analisis kaji cuaca dan teknologi penderiaan jauh (remote sensing) makin canggih, amaran awal dan ramalan terhadap kemungkinan bencana dan mala petaka akibat fenomena cuaca yang ekstrem tampak sukar sekali dilakukan.
Aktiviti manusia, khususnya menerusi sektor perkilangan dan pengangkutan telah meningkatkan risiko pencemaran alam. Walaupun jerebu sering kaitkan dengan abu letusan gunung berapi dan partikel habuk yang terampai di udara, kes pembakaran terbuka dan pelepasan gas tertentu turut menyumbang. Udara bukan lagi barang percuma, bahkan memerlukan kos rawatan yang tinggi, sama ada secara langsung, mahupun tidak langsung.
Pergerakan titik panas dan pengelompokan awan menjadikan fenomena hujan juga tidak menentu. Hujan turun pada waktu-waktu yang tidak sama lagi seperti dahulu. Ditambah dengan mutu udara yang rendah, manusia mudah sekali diserang pelbagai penyakit, terutama batuk, demam dan selesema. Bagi mereka yang mengalami alahan, lelah dan resdung, keadaan menjadi lebih buruk.
Ibu bapa harus peka terhadap sebarang petunjuk atau gejala kesihatan anak-anak. Penyebaran bakteria dan virus penyakit menerusi bawaan air, udara, haiwan dan unggas kian berleluasa. Demam biasa pada pandangan mata kasar, bahkan dengan diagnosis minimum, mungkin mengundang derita berpanjangan.
Sudah banyak kes bahawa pesakit yang dinyatakan mengalami gangguan kesihatan biasa akhirnya menemui ajal. Anak tunggal sepasang suami isteri yang telah lanjut usia di Hilir Perak telah meninggal dunia setelah beberapa hari terkena sengatan lebah. Memang benar bahawa ajal maut, serta jodoh pertemuan di tangan Tuhan, tetapi manusia disuruh berikhtiar dahulu, baharu pasrah atau tawakal.
Persediaan cuaca ekstrem seperti hujan lebat yang disertai ribut petir, atau panas membahang yang mengakibatkan kemarau mesti diberi perhatian oleh ibu bapa dan masyarakat yang mempunyai anggota keluarga sebagai calon peperiksaan awam. Apabila anak-anak mengadu tidak sedap badan, atau mata mereka mula berair, rujukan kepada doktor tidak boleh ditangguh lagi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi...
No comments:
Post a Comment