Pemilihan tajuk
Terlalu khusus, berterus terang dan tidak merahsiakan sampel dan lokasi. Konsep tidak menyebut nama secara terang (ketanpanamaan, anonimonity) sudah dilanggar.
Penyataan masalah
Agak terikat dengan pengalaman di tempat lain, maka dari segi keaslian tidak begitu mantap.
Soalan Kajian
Masih terdapat penyelidik muda yang keliru tentang soalan kajian dengan item instrumentasi (soal selidik).
Tinjauan Bacaan
Masih bergantung kepada sumber-sumber bacaan popular. Penggunaan jurnal penyelidikan, termasuk dalam talian belum ketara.
Instrumentasi
Boleh dikatakan semua instrumentasi dibina sendiri. Tiada masalah dari segi kesejajaran dengan tinjauan bacaan, tetapi tiada catatan tentang pendapat pakar (pensyarah prauniversiti), atau kajian rintis.
Analisis Data
Jadual silang taburan kekerapan berjaya dipersembahkan dengan baik. Namun, pelajar agak obses untuk memaparkan terlalu banyak grafik bagi menambah tebal naskhah laporan penyelidikan.
Kesimpulan dan Cadangan
Bahagian kesimpulan sudah baik, tetapi bahagian cadangan perlu lebih kemas. Pelajar perlu menghubung kait cadangan dengan pihak berkepentingan yang telah disebut dalam bab pengenalan.
Etika Penyelidikan
Seperti tajuk, penyelidik muda cenderung untuk menyampaikan cadangan yang ditujukan secara khusus dan amat jelas. Status penyelidikan diganggu dengan imej "surat aduan".
Rujukan
Gaya
APA yang disarankan tidak begitu dipatuhi.
Format Laporan
Banyak dipengaruhi cara persembahan folio semasa menengah rendah dan atas. Misalnya, lebih suka menggunakan bentuk poin dan hiasan "awan larat".
Organisasi Kandungan
Masih mahu memasukkan data mentah dan lampiran semua set item yang ditadbirkan.
Cadangan Penambahbaikan
Mengambil kira hakikat bahawa penyelidik muda prauniversiti masih di peringkat pendedahan asas penyelidikan tahap tinggi, hasil kerja dan keberanian membentangkan laporan, disusuli dengan jawapan kepada soalan pakar, program penyelidikan yang dilaksanakan dalam masa yang begitu singkat telah berjaya mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Mereka hanya perlukan bimbingan pakar (pensyarah prauniversiti) secara lebih terancang. Semua pihak masih menunggu sistem modular yang diturunkan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Buat sementara, syor-syor di bawah boleh dipertimbangkan:
1 Manual panduan penyelidikan prauniversiti disediakan oleh sekumpulan pensyarah prauniversiti sendiri
2 Penganjuran kolokium pelajar prauniversiti hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, buat permulaan dengan negara-negara jiran
3 Penerbitan jurnal penyelidik muda yang disebarluaskan ke sekolah-sekolah tingkatan 6
4 Hadiah lawatan ke universiti penyelidikan dalam dan luar negara kepada penyelidik muda berpotensi
5 Membina portal khas penyelidikan prauniversiti yang hanya boleh diakses dengan izin
No comments:
Post a Comment