Hakikatnya zaman sudah berubah. Berbanding dahulu, kebanyakan kakitangan awam dan swasta kini memiliki kelayakan akademik dan ikhtisas yang lebih tinggi. Sesetengahnya menghabiskan tempoh yang begitu panjang untuk belajar. Mereka hanya memasuki pasaran pekerjaan setelah mencapai usia suku abad.
Lepasan tingkatan 5 mungkin berpeluang bekerja hingga 40 tahun lamanya, berbanding dengan siswazah universiti yang hanya sempat bekerja tidak lebih 30 tahun. Kos lepas yang ditanggung sama ada dari segi kewangan, mahupun pembinaan hidup keluarga begitu tinggi. Maka, lanjutan usia persaraan ialah sebagai pampasan kepada pilihan kedua terbaik yang dikorbankan, misalannya usia perkahwinan yang lebih awal dengan tahap reproduksi yang lebih tinggi.
Konsep pengajian secara dalam talian (home schooling, home university) membuka peluang yang lebih luas untuk akses pengajian tinggi. Kepelbagaian bidang kursus yang ditawarkan membolehkan golongan pekerja lepasan sekolah menengah memperoleh kelayakan akademik dan ikhtisas yang lebih tinggi tanpa perlu meninggalkan pekerjaan masing-masing. Maka, mahasiswa sepenuh masa di kampus akan kehilangan lebih banyak peluang apabila tiba saat mereka menamatkan pengajian.
Di sekolah, golongan guru fresh graduate mendapati senioriti mereka menerima ijazah sudah tidak bererti. Rakan seusia mereka yang menerima ijazah lebih lewat nampak lebih bertuah justeru perkhidmatan mereka yang lebih awal sebagai guru bukan siswazah telah diambil kira untuk kiraan undur masa setara perkhidmatan guru siswazah. Bekas pelajar-pelajar terbaik itu hanya mampu menyimpan rasa terkilan di dalam hati.
Isu lanjutan usia persaraan patut dilihat menerusi perspektif yang lebih luas dan menyeluruh. Bakat dan potensi terbaik yang memberi tumpuan sepenuh masa terhadap pengajian di kampus hingga harus melepaskan banyak peluang lain, bahkan harus menanggung beban hutang pengajian perlu diberikan perhatian yang khusus. Jika tidak, negara akan mensia-siakan modal insan terpilih yang bakal terpinggir sebaik bergelar siwazah...
No comments:
Post a Comment