Sunday, August 29, 2010
KOO-TAN NAIB JUARA DUNIA (GREAT WALL JUST TOO STRONG)
Hasrat untuk melihat Koo Ken Khiat - Tan Boon Heong menghadiahkan mahkota kejohanan badminton dunia acara beregu lelaki tertangguh lagi. Dalam perlawanan akhir di Paris sebentar tadi, ternyata juara bertahan dari China, Cai Yun - Hu Aipeng mencatat sejarah hatrik menjuarai kejohanan paling berprestij itu. Malah, smash kencang Aipeng mencatat rekod baharu selaju 303 kilometer sejam.
Pasangan Malaysia yang turun sebagai pilihan pertama bermula dengan garang apabila mencatat kemenangan 21-18 dalam set pertama. Namun, kegagalan mengekalkan rentak memperlahankan permainan menyebabkan lawan mengambil alih kawalan gelanggang. Pasangan China sudah dapat membaca corak permainan Koo - Tan, serta berjaya mengajak mereka bermain secara bertahan.
Asakan demi asakan menyebabkan pasangan negara menyambut bulu tangkis dengan hantaran tinggi yang menjadi kegemaran beregu China untuk meraih mata mudah. Walaupun cuba bangkit, tetapi sudah terlambat. China menang set kedua dengan kiraan mata yang sama, 21-18.
Set penentuan menyaksikan Cai Yun - Aipeng menjarakkan pungutan mata sejak awal perlawanan lagi. Usaha menutup defisit itu bertambah sukar apabila Koo - Tan sering menghantar bulu tangkis ke jaring, sedangkan pasangan China selalu bernasib baik apabila bulu tangkis yang dihantar menggolek meniti jaring. Tenaga beregu China juga kelihatan tidak terjejas jika dibandingkan dengan Koo - Tan yang mulai goyah.
Akhirnya, Koo - Tan akur dengan kehebatan lawan apabila tewas 14 - 21 menerusi sentuhan terakhir mereka yang juga tersangkut di jaring. Walaupun terpaksa berpuas hati sebagai pemenang tempat kedua, Koo - Tan telah kembali ke persada saingan kelas satu dalam kejohanan dunia kali ini. Kejayaan paling manis mereka pastilah ketika berjaya menundukkan musuh tradisi dari Korea Selatan, Jeng Soo - Yong Dae di peringkat suku akhir.
Mungkin peminat badminton berharap Koo - Tan dapat melunaskan impian melihat pemain Malaysia mencipta sejarah menjuarai kejohanan dunia buat julung-julung kalinya. Namun, ucapan tahniah tetap menjadi milik Koo - Tan yang telah berusaha sedaya upaya. Semangat bersaing itu merupakan sebahagian hadiah sambutan kemerdekaan ke-53.
Khusus buat Koo Ken Khiat, sebagai bekas murid SMK St Michael, Ipoh (SMI). Warga SMI berbangga dengan pencapaian anda di pentas saingan dunia. Koleksi kejayaan anda dalam sukan badminton sedikit sebanyak bakal mewarnai perayaan 100 tahun penubuhan SMI dua tahun lagi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment