SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, August 4, 2010

MAHASISWA BERPOLITIK? (CAMPUS DEBATE)

Malam tadi (Rabu: 4 Ogos 2010 = 23 Syaaban 1431), penulis blog (PB) berkesempatan mengikuti slot sudut pandangan tentang penglibatan pelajar universiti dalam politik negara. Program perbincangan yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 itu menampilkan Datuk Saifuddin Abdullah (SA), Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah (IAS), mantan Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pengerusinya ialah seorang wartawan yang boleh dianggap otai, juga berpangkat Datuk (lupa pula mencatat nama penuh beliau)...

PB tidak berhasrat menilai hujah kedua-dua tokoh berkenaan. Perkara yang tampak menonjol ialah berlakunya pertikaman lidah antara ahli panel secara terbuka. Kemudian berlaku label-melabel yang memesongkan fokus tajuk kepada personaliti ahli panel pula.

Misalnya, apabila IAS membuka gelanggang perbincangan dengan hujah yang agak pesimis tentang kebenaran terhadap mahasiswa aktif dalam politik arus perdana, SA kemudiannya berkata beliau bersyukur justeru kontrak  IAS tidak lagi disambung kerana pemikiran  IAS tidak lagi relevan. Asas hujah IAS ialah kebanyakan mahasiswa lebih cenderung kepada aliran anti-establishment, serta biarkan mahasiswa mencapai kecemerlangan akademik terlebih dahulu sebelum tampil sebagai pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi. IAS juga menganggap bahawa kemungkinan berlaku kes bendera politik yang berbeza menjejaskan hubungan antara mahasiswa dengan pensyarah mereka.

SA kemudian menjelaskan bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang terkini mentakrifkan mahasiswa meliputi pelajar ijazah lanjutan (sarjana dan doktor falsafah) yang sudah tentunya mencapai usia kematangan, serta mungkin memegang jawatan penting dalam organisasi politik yang sedia ada. SA melihat cadangan membenarkan mahasisawa aktif dalam arena politik tanah air sebagai hak mereka. Garis panduan dan syarat baru tidak perlu digubal justeru segala macam akta termasuk AUKU telah memperincikannya.

Apabila pengerusi perbincangan menanyakan pengalaman politik, dan kepimpinan organisasi, SA nyata jauh meninggalkan IAS. SA pernah menyandang jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk satu tempoh yang agak panjang. Beliau juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

IAS yang tidak begitu diketahui umum dari segi sejarah kepimpinannya bagaimanapun mendakwa pernah menjadi pemimpin pelajar hingga peringkat antarabangsa. IAS turut membangga-banggakan pencapaian beliau sebagai dekan hal-ehwal pelajar, serta naib canselor UiTM. Namun, akhirnya IAS mengakui bahawa skop kepimpinan beliau terhad kepada politik kampus semata-mata.

Satu lagi perkara menarik yang berlaku ialah apabila IAS yang pada mulanya enggan berterus terang tentang maksud "membahayakan" akhirnya mengakui bahawa beliau bimbang tentang ancaman terhadap status quo. SA pula menganggap pemikiran sedemikian sebagai old school. Pendidikan politik pada akhirnya pasti menguntungkan negara.

Hujah dialektikal (pro-kontra) sebelum sesuatu dasar atau pembaharuan dilakukan ialah suatu proses yang sihat. "Pertelagahan" kedua-dua ekstrem boleh dijadikan titik tolak membuat keputusan yang lebih seimbang. Semua pihak yang berkepentingan akan berpeluang mengemukakan input yang berupaya menampung kekurangan sudut pandangan ekstrem yang bertentangan.

PB pernah menemui SA semasa beliau bertugas sebagai pegawai kanan hal-ehwal pelajar di UIAM. IAS pula PB temui semasa konvokesyen UiTM di Shah Alam. Pengalaman dan sumbangan kedua-dua orang tokoh dalam arena pendidikan tinggi perlu dihormati justeru  boleh disifatkan sebagai sama-sama hebat.

Keberanian TV3 mengambil risiko menyiarkan siaran langsung itu wajar dipuji. Sekurang-kurangnya penonton dapat mendalami pendirian seseorang tokoh dalam sesuatu isu, serta ketajaman intelektual mereka dalam berhujah. Sikap terbuka seperti itu menunjukkan Malaysia sudah bersedia untuk bergelar sebagai sebuah negara maju...

No comments: