SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, September 30, 2010

NIK SAFIAH BIDAS PEMIMPIN BERBAHASA ROJAK (MIND OUR NATIONAL LANGUAGE)

Ipoh, Khamis; 30.9.10 / 21 Syawal 1431

Pemimpin politik, termasuk menteri kabinet dibidas justeru terlalu ghairah berbahasa Inggeris hingga tergamak meminggirkan bahasa Melayu. Kehadiran beberapa kerat kaum bukan Melayu dalam sesuatu majlis seolah-olah menjadi lesen untuk mereka berucap dalam bahasa orang putih itu. Malangnya, bahasa Inggeris mereka juga sangat teruk, lintang-pukang dan hancur!
Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah binti Haji Abdul Karim, 71, dari Universiti Malaya juga mengatakan bahawa pemimpin yang sedemikian sebenarnya tidak tahu malu. Nik Safiah menegaskan bahawa tertangguhnya penggunaan sebutan baku berpunca daripada pemimpin semasa yang menentang kaedah berkenaan atas alasan politik. Beliau turut menyuarakan kebimbangan kalau-kalau dasar PPSMI dilaksanakan semula di sekolah-sekolah.
Sebelum itu, mantan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hassan Ahmad, 76, menegur tema seminar yang berbunyi "Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu". Pada hemat beliau, bahasa Melayu sudah mempunyai martabat yang luar biasa sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi rantau sebelah sini, bahkan terlebih awal maju daripada bahasa Inggeris yang masih kacau-bilau pada abad ke-14. Dr Hassan yang dianugerahi Tokoh 1Malaysia itu menyimpulkan bahawa bahasa Melayu sebagai institusi negara yang termaktub dengan jelas dalam perlembagaan (Perkara 152 dan 153) hendaklah dihormati sebagai lambang kesetiaan, mengatasi kepentingan mana-mana kumpulan etnik.
Dua kertas kerja lagi menyentuh khusus tentang cabaran memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Cina dan India, setiap satunya dibentangkan oleh Dr Mohd Ridzuan Tee Abdullah @ Tee Chuan Seng (Universiti Pertahanan Nasional), dan Prof. Madya Dr Sivamurugan Pandian (Universiti Sains Malaysia). Dr Ridzuan Tee menggesa penguatkuasaan undang-undang yang paling tegas dilaksanakan bagi memartabatkan bahasa Melayu, serta tidak memberi muka kepada petualang yang cuba merosakkan kedudukan bahasa kebangsaan. Dr Siva senada dengan Dr Ridzuan apabila tanpa teragak-agak mengatakan bahawa bahasa Malayu ialah satu-satunya alat komunikasi transformasi nasional.
Sejumlah 200 orang peserta hadir dalam seminar anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Darul Ridzuan dekat sini. Peserta dari SMK St Michael, Ipoh diketuai oleh Tuan Haji Mohd Sidik Zakaria, Guru Kanan Bahasa dan Puan Harlina, Ketua Panitia Bahasa Melayu, selain penulis blog sendiri. 10 orang pelajar Bahasa Melayu 6 Atas juga berdaftar sebagai peserta seminar...

No comments: