Tiga orang sahabat karib, An, In dan Un sedang menikmati juadah hari raya puasa sambil berbincang tentang pembentangan ujian lisan berasaskan sekolah (ULBS) yang dijadualkan pada minggu hadapan. Mereka telah sepakat memilih kaedah bual bicara sebagai model aktiviti berkumpulan. Tugasan yang ditetapkan ialah bab 6, kajian novel Azfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd Hanafiah.
An: In, secara keseluruhannya, bab 6 Azfa Hanani berkisar tentang apa?
In: Azfa Hanani masih dalam proses menyesuaikan diri dengan Datin Maziah sebagai "mama" (ibu kandung Tengku Murni), Datuk Tengku Makmur yang angkuh, selain cuba menyelami perwatakan sebenar Tengku Murni menerusi catatan diari yang ditinggalkan.
Un: Wah, lancar sungguh engkau In. Macam ini boleh dapat markah penuh 40!
An: Usah terlalu cepat memuji. Nanti kaki si In tidak berjejak di lantai pula. Baiklah, adakah terdapat prinsip kebetulan digunakan lagi dalam bab 6 ini?
In: Puji-pujian itu untuk Allah, Tuhan semesta alam. Bab kebetulan itu, saya rasa memang ketara. Larik tulisan dalam diari Tengku Murni mirip benar dengan tulisan Azfa Hanani, kecuali larikan Tengku Murni lebih mengiring. Tulisan Azfa Hanani menegak sedikit.
Un: Sudah macam skrip wayang Hindustan, sinetron seberang dan telenovela Amerika Latin nampaknya. Agaknya pengarang hendak memudahkan teknik penceritaan.
An: Ada-ada sahajalah engkau, Un. Sedangkan dalam pengalaman hidup kita sendiri pun banyak kebetulan. Kebetulan yang indah, kebetulan yang menyelamatkan.
In: Sebenarnya ada peristiwa yang lebih menarik daripada menelek-nelek kebetulan sahaja. Ketika membaca diari Tengku Murni, beberapa catatan dan sebaris nama seseorang telah dipadamkan. Walaupun puas Azfa Hanani cuba membelek-belek imej di muka surat belakangnya, masih tidak jelas.
Un: Maknanya perwatakan Tengku Murni ialah perahsia. Latar masyarakatnya ialah masyarakat yang bijak menyimpan rahsia. Nilainya kerahsiaan, dan persoalannya kerahsiaan peribadi yang dijaga rapi. Pengajarannya pula, kita hendaklah bijak menyimpan rahsia peribadi.
An: Bagai si kembang Cina: belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi. Engkau Un, belum ditanya sudah memberi jawapan. Ada deria keenamkah?
In: Si Un ini penggalak yang kita cari-cari. Tidak mengapalah. Kita teruskan dengan peristiwa kedua. Ketika dihidangkan ayam masak merah air tangan Datin Maziah sendiri, Azfa Hanani secara spontan memberi pujian, malah meminta untuk belajar. Sebenarnya Tengku Murni sudah "berguru" dengan mamanya, tetapi dek asyik terkenangkan keluarga di kampung, Azfa Hanani tersasul walaupun berjaya menutupinya kemudian.
Un: Kira-kira Azfa Hanani juga memiliki perwatakan yang bijak. Masyarakat yang bijak dan ikhlas. Keikhlasan. Keikhlasan dalam komunikasi. Kita hendaklah ikhlas dalam berkomunkasi.
An: Terima kasih, Un. Rasanya peristiwa ketiga akan menutup tirai perbincangan kita.
In: Peristiwa ketiga ini ada unsur bimbang, cemas, saspens (suspens), atau tegang. Ketika Azfa Hanani tenggelam dalam dunia diari Tengku Murni, seseorang lelaki menerjah masuk dengan kasar ke dalam biliknya tanpa memberi salam. Lelaki itu, Datuk Tengku Makmur bukan sahaja tidak berterima kasih atas pertolongan Azfa Hanani untuk memulihkan Datin Maziah, bahkan melabel Hanani sebagai penyamar upahan! Wang kertas berjumlah RM500 pula dilemparkan ke atas katil, sebelum dia berlalu begitu sahaja.
Un: Kesabaran Azfa Hanani mula teruji. Mampukah dia bertahan setelah kelakuan bapa borek anak rintik itu? Perwatakan Azfa Hanani ialah sabar. Masyarakat yang sabar. Nilainya ialah kesabaran, manakala persoalannya, kesabaran dalam menghadapi dugaan hidup. Selain itu, pengajarannya kita hendaklah bersabar dengan pelbagai kerenah manusia.
An: Persiapan kita nampaknya mantap. Alahai, masuk bakul angkat sendiri! Bajak wangkang. Bukan untuk riak, hanya untuk motivasi kendiri.
In: Baru bahagian isi sahaja. Cara persembahan bual bicara kita bincang esok sahajalah. Orang putih kata too much cook spoils the soup, dengan izin!
Un: Masa berbincang ini tidak mengapalah selit bahasa Inggeris. Harap-harap tidak tersasul masa ujian lisan nanti. Alamat kena potong markahlah kawan...
Perbincangan serius tiga sahabat itu berakhir di situ. Kemudian, mereka bertukar-tukar pendapat tentang isu bahasa Melayu yang dimomokkan oleh Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura yang pertama, sebagai tidak membantu orang Melayu mencapai kemajuan. Selain itu, isu penubuhan sekolah harapan di Melaka khusus bagi budak perempuan yang terlanjur turut disentuh secara sepintas lalu...
No comments:
Post a Comment