SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, September 13, 2010

KES PROFIL TINGGI (HIGH PROFILE CASES)

Dari segi kehakiman, semua kes yang dibicarakan di mahkamah perlu mengikut giliran, tanpa mengira status pihak yang tertuduh. Berdasarkan perangkaan tahun 2007, hanya terdapat sejumlah 57 orang hakim mahkamah tinggi, iaitu pada nisbah seorang hakim untuk 500,000 rakyat Malaysia. Bilangan hakim mahkamah rayuan pula ialah sebanyak 22 orang, manakala bilangan hakim mahkamah persekutuan sebanyak 12 orang.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kadar jenayah yang membabitkan kekerasan telah meningkat sebanyak 6.85 peratus berbanding dengan tahun 2008, iaitu 40,738 kes berbanding dengan 37,817 kes. Dengan kekuatan personel sebanyak 8,081 orang, jabatan siasatan jenayah berjaya mencatat kadar penyelesaian sebanyak 65.99 peratus. Antara punca meningkatnya kekerasan ialah perubahan modus operandi penjenayah yang lebih agresif, ganas dan kejam.

Apabila sesuatu kes mempunyai merit kepentingan awam, atau mendapat perhatian meluas orang ramai, maka kes berkenaan akan diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi. Pihak polis akan menggembleng sumber personel jabatan siasatan jenayah, forensik, cawangan khas dan sebagainya bagi melakukan siasatan segera supaya orang atau sekumpulan orang (suspek) dapat ditangkap. Perintah mahkamah majistret akan diperoleh bagi proses tahanan reman ke atas suspek sebelum kertas siasatan dapat disiapkan untuk dikemukakan kepada jabatan peguam negara.

Jika siasatan polis mendapati suspek mempunyai hubung kait dengan kes, baharulah kertas siasatan dimajukan kepada peguam negara supaya keputusan untuk pendakwaan atau sebaliknya diambil. Status suspek akan bertukar menjadi tertuduh apabila sebutan kes didengar di mahkamah majistret atau sesyen. Hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan sebenar setelah mengambil kira pelbagai aspek persediaan pasukan pendakwaan dan pembelaan. 

Kes berprofil tinggi lazimnya akan dipindahkan ke mahkamah tinggi sekiranya permohonan pihak pendakwa dibenarkan oleh hakim bicara. Jika terdapat bantahan pihak pembelaan, kedua-dua pihak perlu berhujah di hadapan hakim sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah. Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Nasib yang menimpa jutawan kosmetik (Sosilawati Lawiya, 47), pemandu peribadi (Kamarudin Samsudin, 44), pegawai bank CIMB (Norhisham Mohammad, 38) dan peguam (Ahmad Kamil Abdul Karim, 32) antara 30 Ogos hingga 10 September lalu telah menggemparkan negara. Kes berkenaan telah disiasat serta-merta dan suspek dilaporkan mengaku bertanggungjawab, walaupun baharu di peringkat siasatan polis. Kekejaman yang dialami oleh keempat-empat mangsa di sebuah ladang ternakan milik suspek berhampiran Kanchong Laut, Banting nampaknya mirip kes Altantuya Shaaribu (yang diletupkan dengan bom C4), Canny Ong (yang dibakar rentung), dan Norsuzaily Mokhtar (yang dicampak daripada bas).

Kes berkenaan bukan sahaja melibatkan mangsa utama sebagai individu yang dikenali ramai, bahkan suspek yang mempunyai kedudukan tinggi sebagai profesional (dilaporkan dalam proses pelucutan keanggotaan, kes pecah amanah). Cara mangsa diperlakukan pula di luar batas kemanusiaan dan sangat tidak bertamadun. Malaysia tidak pernah mengizinkan rakyatnya bertindak seperti puak kanibal (orang makan orang), meletakkan undang-undang dalam tangan sendiri, atau menganiaya sesiapa dengan menggunakan hukum rimba: yang kuat berkuasa, yang lemah menjadi mangsa...

 Reaksi

1   Bekas mufti Johor, Datuk Mohd Noh Gadut meminta semua pihak, terutama kaum keluarga mangsa membanyakkan bersabar atas ketentuan takdir Ilahi itu, justeru pasti ada hikmah dan iktibar yang boleh dipelajari. Orang yang menemui ajal tidak dalam keadaan normal sedemikian dikira syahid jika mempunyai iman yang kuat. Manusia hanya mampu melakukan sebaik-baik usaha untuk mengelakkan musibah, tetapi akhirnya perlu akur kepada qada dan qadar (Sinar Harian, 14.9.10:N7).

2   Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah pula berharap kes berkenaan tidak menjadi isu perkauman walaupun mengakui bahawa masalah gengsterisme dalam kalangan masyarakat India perlu ditangani segera. Beliau pernah bertemu suspek utama kes, dalam satu majlis sambutan aidil fitri untuk orang Asli di Sungai Cheeding, Banting yang ditaja oleh suspek berkenaan 8 September lalu. Murugiah langsung tidak menyangka bahawa orang yang dilayan berborak dan kelihatan begitu mulia itu sebenarnya seorang suspek kes jenayah yang kejam itu (Ibid:N2).

No comments: