"Kan kuingat, kan kukenang... senja indah, senja di Kuala Lumpur..." Begitu antara lirik lagu "Senja di Kuala Lumpur", dendangan mendiang Broery Marantika @ Pesulima, dari seberang. Walaupun lumpur yang sebenar dikaitkan dengan ketidakselesaan, hingga ada peribahasa yang berbunyi: takut akan lumpur, lari ke duri, maksudnya kerana mengelakkan kesusahan yang kecil, dapat kesusahan yang besar, namun kuala lumpur yang satu itu tetap dipuji-puji!
Senja dikaitkan dengan matahari terbenam di ufuk barat, dan alam ditebari kegelitaan. Namun, detik-detik akhir sang suria hendak menyembunyikan diri di balik garis mega berwarna merah, kelihatan umpama sebuah kanvas lukisan yang amat artistik. Hakikatnya, kita berdoa dan berharap agar mentari hanya menghilangkan diri buat sementara, atau semalaman cuma.
Setakat ini , matahari tidak pernah mungkir. Keesokannya, seawal pagi (sekitar pukul 7 pagi), matahari muncul semula dari ufuk timur. Hanya sekali matahari akan terbit dari ufuk barat, iaitu detik menandakan berlakunya hari kiamat!
Dari kejauhan dedaun hijau yang merimbuni pepohonan yang megah berdiri nampak berkilauan dek percikan sinar senja. Pemandangan sekitar mulai kelam. Burung-burung yang aktif terbang ke sana sini kembali ke sarang.
Ketibaan senja juga juga bererti waktu persediaan solat Maghrib mesti dimulai. Pada zaman dahulu, taktik orang tua-tua untuk memanggil anak mereka menyudahkan aktiviti bermain ialah dengan mengatakan bahawa pada waktu remang senja terdapat banyak mambang (syaitan) yang jahat. Kepada kanak-kanak yang lebih kecil, dikatakan bahawa langit hendak terbakar (bertukar warna merah).
Segelintir ibu bapa moden sudah melupai peringatan ketibaan senja. Sebaliknya, mereka berpakat ramai-ramai meriuhkan pasar malam. Azan Maghrib pun kedengaran sayup-sayup singgah di kuping telinga...
No comments:
Post a Comment