Kegiatan kokurikulum mula mendapat perhatian serius setelah diperakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Setiap murid digalakkan dan diberi peluang mengambil bahagian yang aktif. Istilah kokurikulum menggantikan istilah kegiatan luar darjah sebagaimana yang disebut dalam peraturan kursus pengajian, Akta Pendidikan 1956. Pelaksanaan KBSR dan KBSM mulai tahun 1985 memperuntukkan kegiatan kokurikulum sebagai salah satu komponen wajib di sekolah-sekolah.
Ahli akademik sudah lama menegaskan pertalian rapat dan saling meneguhkan antara pelaksanaan kurikulum (di bilik darjah) dengan pelaksanaan kokurikulum (di luar bilik darjah). Faridah Karim (1989) misalnya menyebut bahawa pencapaian objektif kokurikulum juga hendaklah merangkumi ketiga-tiga domain utama pendidikan, iaitu kognitif (akal), afektif (nilai) dan psikomotor (kemahiran deria). Fadzilawati Mustaffa dan Mohd Sofian Omar Fauzi (2003) meringkaskan hubungan berkenaan sebagai pengalaman perantaraan antara alam ilmu pengetahuan persekolahan (kurikulum di bilik darjah) dengan alam luar (kokurikulum).
Kekhilafan konsep kokurikulum yang sebenar, di samping kelemahan perancangan menyebabkan berlaku percanggahan antara objektif dan pelaksanaannya. Sebagai, contoh bidang permainan yang seharusnya menarik minat, serta penyertaan semua murid justeru menyemarakkan minat dan keseronokan bertukar kepada persaingan prestasi tinggi. Kajian di Britain pada dekad 1980-an menunjukkan ibu bapa enggan menghantar anak menyertai kegiatan kokurikulum selepas waktu persekolahan kerana berpendapat tiada faedah, membazir masa dan wang.
Konsep Pendidikan Bertaraf Dunia
Hussien Haji Ahmad (dalam Suffean, 2002: 47) mentakrifkan pendidikan bertaraf dunia sebagai sistem pendidikan negara yang maju, serta boleh disebarkan atau ditampilkan di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Guru sebagai pendidik harus mampu menyebarluaskan ilmu, kemahiran dan kepakaran mereka di peringkat global dalam suasana perkembangan maklumat yang hebat. Pendek kata, sistem pendidikan negara yang disediakan akan setanding dengan kualiti pendidikan di negara-negara maju.
Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika membentangkan rang undang-undang pendidikan dalam sidang parlimen selaku Menteri Pendidikan (1995) (Ibid) mengatakan bahawa pendidikan bertaraf dunia ialah usaha strategik untuk globalisasi pendidikan, mencari ilmu pengetahuan tidak kira di mana-mana, dan membuka minda untuk menghadapi cabaran. Perlu usaha mengetahui apa-apa yang belum diketahui, menyedari masih banyak perkara yang belum diketahui, dan (menggiatkan) reka cipta sebagai lanjutan inovasi. Harus lahir manusia yang berperibadi dengan nilai moral yang teguh, seorang manusia yang dilengkapi bukan sahaja dengan input akademik, bahkan kemampuan intelektual untuk menangani cabaran masa muka.
Reynolds, et al (2002: 293) mengingatkan bahawa dalam keadaan segala ikhtiar dan pencapaian manusia mengalami kepesatan perubahan yang luar biasa sifatnya umpama penyebaran virus mewabak ke segenap penjuru dunia. Bidang-bidang yang berkubu dengan ilmu pengetahuan tempatan per se akan cepat usang. Dunia pendidikan perlu mempelajari pengalaman dalam bidang pengurusan, perniagaan dan teknologi untuk menjadikan pembelajaran sentiasa kekal berdaya saing dan relevan, justeru murid seluruh dunia berhak memilikinya.
Dalam keghairahan retorik pendidikan bertaraf dunia, konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua, ciri inklusif (bukan eksklusif) hendaklah dikekalkan. Abdullah Sani Yahaya (2003:166) menulis bahawa sekolah bukan sekadar suatu perhimpunan kanak-kanak mengikut baya umur mereka, tetapi memberi peluang kepada kanak-kanak biasa (normal) dan semua kanak-kanak cacat (kelainan upaya) agar mempunyai harapan untuk berdikari dan menyumbang sesuatu. Tiada murid harus berasa tersisih atau mengalami diskriminasi atas apa-apa sebab jua pun.
Jika dahulu, pencapaian kokurikulum hanya dicatatkan dalam sijil berhenti sekolah dan surat akuan, kini diberi markah penilaian kumulatif dalam tempoh lima tahun persekolahan dengan pemberatan atau wajaran bernilai 10 peratus daripada pencapaian persekolahan. Markah kokurikulum akan diambil kira, bahkan sangat dititikberatkan dalam penawaran biasiswa dan tempat pengajian kritikal. Kehadiran menjadi komponen terpenting (50), di samping jawatan organisasi (10), penglibatan (20) dan pencapaian (20).
Rujukan
Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong: PTS Publications.
Faridah Karim (1989). "Peranan Kokurikulum di Sekolah: Satu Perspektif Baru" dalam Sankaran Ramanathan, et al . Suara Pendidik Keluaran Khas. Shah Alam: Persatuan Pendidikan Malaysia.
Mohd Sofian Omar Fauzee, et al (2003). Kepentingan dan Keperluan Aktiviti Kokurikulum di Sekolah. Shah Alam: Karisma Publications.
Reynolds, David, et al (ed.). (2002). World Class Schools - International Perspectives on School Effectiveness. London: Routledge Falmer.
Suffean Hussin (ed.) (2002). Dasar Pendidikan Progresif: Perspektif Makro dan Mikro. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Nota untuk calon PTK.
Komponen konseptual dan teori hanya diberi wajaran markah yang kecil (sekitar 10 - 20%). Tumpuan hendaklah diberikan kepada tugasan soalan yang lazimnya berkisar tentang pelaksanaan dalam organisasi, iaitu di sekolah masing-masing. Maka, hanya cerita "sebenar" perlu dituliskan.
Penilaian kompetensi DG 48 ialah tahap analisis. Maksudnya, setiap kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan memerlukan analisis dari segi pendidikan bertaraf dunia, dengan pecahan komponen berfikiran terbuka, dan berdaya saing. Draf tugasan sebaik-baiknya dibuat prapenilaian oleh rakan yang sudi (dengan caj perundingan?) dan anggota keluarga, termasuk anak remaja cikgu.
Jika mereka tidak nampak analisis tentang kegiatan kokurikulum yang cikgu "dakwa" bertaraf dunia, eloklah lakukan penambahbaikan di sana sini. Cuba korek rahsia senior yang berjaya melepasi PTK DG 48 pada aras IV (A). Usah hiraukan cakap-cakap bahawa harapan untuk mendapat anjakan buat kesekian kalinya amatlah tipis.
Anggaplah setiap komen positif dan negatif sebagai cabaran profesional. Ucapkan terima kasih kepada mereka. Katakan bahawa cikgu percayakan kecemerlangan!
No comments:
Post a Comment