Wednesday, June 15, 2011
APA SUDAH JADI PEMUDA PEMUDI INDONESIA? (LESS RELIGOUS DEVOTION AMONG YOUNGER GENERATION)
Agensi berita AFP melaporkan dapatan penyelidikan tentang amalan Islam dalam kalangan generasi muda yang kurang menyenangkan. Daripada sejumlah 1,500 orang responden kajian berusia antara 15 hingga 25 tahun, hanya 28.7 peratus sahaja yang menunaikan solat fardu lima waktu, kurang daripada 60 peratus berpuasa pada bulan Ramadan, dan hanya 11.7 peratus memahami ayat-ayat al-Quran. Penyelidikan bersama dengan Institut Goethe itu dijalan pada bulan November 2010.
Indonesia ialah negara umat Islam terbesar dunia, iaitu kira-kira 192 juta jiwa atau 80 peratus jumlah penduduknya beragama Islam. Proses Kristianisasi juga menerjah Indonesia sekian lama dan hingga kini mengumpul sejumlah hampir 30 juta orang penganut. Kelonggaran Pancasila memberi ruang yang luas kepada perkahwinan terlarang antara orang Islam dengan bukan Islam.
Dalam sesebuah keluarga, si bapa mungkin Islam (baka atau pada nama sahaja), ibu menganut Kristian, manakala si anak diberi kebebasan memilih anutan masing-masing. Ketiadaan peruntukan undang-undang yang menyekat fenomena perkahwinan terlarang itu memusnahkan rasa cinta kepada Islam dalam kalangan individu yang lemah iman. Tampang mungkin seiras, tetapi kepercayaan belum tentu.
Jika di Amerika Syarikat, bilangan penganut Kristian merosot sebanyak 10 peratus (1990: 86 peratus, 2000: 76 peratus), lalu menjadi lebih sekular, pihak gereja tidak menaruh bimbang sebagaimana ancaman terhadap iman umat Islam. Dapatan penyelidikan di Indonesia itu menunjukkan generasi muda yang semakin lalai dalam mengerjakan solat sebagai tiang agama, selain tidak memahami al-Quran. Pihak berkuasa Islam, ulama, organisasi dakwah dan sekalian masyarakat yang prihatin mestilah mencari jalan supaya anak-anak muda Islam yang terbiar itu kembali ke pangkal jalan.
Peringatan Allah telah datang dalam pelbagai bentuk. Gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami ialah antara peringatan yang dimaksudkan. Bala atau balasan kerana membiarkan perkara mungkar berleluasa bukan sahaja menimpa orang-orang yang berdosa, bahkan terkena sekali kepada masyarakat yang diam membisu...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment