SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

SYAIR SITI SIANAH KOMSAS TINGKATAN 4 (A PRUDENT AND VIRTUOUS WOMAN)

Pengenalan

Ketajaman pengamatan Raja Ali Haji lewat naskhah tinggalan beliau begitu terserlah dalam syair pada muka surat 9-10 antologi Harga Remaja. Pada amnya, Syair Siti Sianah mengandungi nasihat yang ditujukan khusus buat kaum hawa agar mereka sentiasa menjaga maruah diri, etika dan nama baik keluarga, di samping tidak melanggar ajaran, budaya dan norma masyarakat. Tingkah laku negatif yang dipaparkan hendaklah menjadi sempadan supaya wanita tidak dikuasai hawa nafsu dan syaitan.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
          Roma di muka pula dicukurnya,
          Seperti taji berandam di keningnya,
          Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Wanita yang mencukur bulu kening supaya dilentik seperti taji (ayam jantan) kelihatan pelik sekali. Malah, ada yang memakai kening (dan bulu mata) palsu.

          Mengagak mengilai terlalu suka,
          Melihat laki-laki ditampakkan muka,
          Supaya laki-laki boleh menyangka,
          Ianya elok tiada berhingga.

Ada wanita yang sengaja cuba memancing perhatian lelaki dengan gelak ketawa yang berlebih-lebihan. Mereka juga sengaja menampakkan bahagian wajah supaya lelaki segera terpikat akan paras yang tiada cela.

          Setengah perempuan sangat pesolek.
          Berhias berdandan berpakai molek,
          Di dalam cermin muka ditelek,
          Kanan dan kiri dibelek-belek.

Terdapat wanita yang gemar bersolek, memasang badan dengan pakaian yang cantik, dan kerjanya hanya menghadap cermin untuk merias wajah begitu lama.

          Meskipun tiada berapa eloknya,
          Ada yang setengah kembang hidungnya,
          Serta kepik pula batangnya,
          Seperti buaya besar mulutnya.

Keasyikan bersolek diakibatkan hendak menutupi rupa paras yang mungkin dirasakan tidak cantik. Contohnya memiliki hidung yang kembang dan batang hidup tidak timbul, selain mulut bersaiz besar.

          Setengah perempuan perangainya cela,
          Habis dipenuhi rambut kepala,
          Rambut yang sikit disiputnya pula,
          Memakai cemara berjela-jela.

Wanita yang tidak baik akhlaknya sanggup memakai rambut palsu yang panjang mengurai dengan tujuan menunjuk-nunjuk kononnya mereka cantik.

          Terkadang muka ditumbuhi pupuri,
          Kaki dan tangan, lengan dan jari,
          Jadilah rupanya putih berseri,
          Pekerjaan tipu sangat digemari.

Ada wanita yang sanggup melumur seluruh tubuh termasuk muka supaya nampak putih berseri. Mereka mahu memperdaya lelaki.

          Setengah perempuan yang makan angkat,
          Memakai gelang bertingkat-tingkat,
          Memandang laki-laki matanya lekat,
          Dengan jantan suka berdekat.

Tabiat buruk suka pujian menyebabkan ada wanita yang mengenakan gelang hingga ke lengan. Wanita demikian memang suka mendampingi lelaki yang berakhlak rendah.

          Kaki dan tangan dinaikkan pula,
          Pura-pura dikatakan ubat segala,
          Hakikatnya diketahui Allah Taala,
          Supaya laki-laki berhati gila.

Ada wanita yang sengaja menggerak-gerakkan kaki dan tangan bagi memikat kaum lelaki yang berakhlak rendak. Mereka berlindung di sebalik pelbagai alasan dan justifikasi.

          Berlindunglah kita kepada Allah,
          Daripada perbuatan yang amat salah,
          Mudah-mudahan dilepaskanlah,
          Jangan menjadi betina sempolah.

Penyair mengajak kita bermohon supaya dijauhi daripada tingkah laku keji yang dinyatakan. Kaum wanita hendaklah berdoa supaya tidak terjebak ke dalam kancah sampah masyarakat atau tidak berguna.

          Setengahnya suka bermain judi,
          Inilah perangai yang banyak terjadi,
          Habislah tergadai intan serudi,
          Kerana perangai sudah membadi.

Tabiat berjudi juga lekat kepada segelintir wanita. Banyaklah intan permata yang tergadai kerana kegilaan itu.

           Laki-laki perempuan bertindih lutut,
           Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
           Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
           Kerana syaitan duduk di buntut.

Pergaulan bebas dan kelakuan rendah akhlak dipamerkan. Mereka telah dilalaikan oleh syaitan daripada mendirikan solat atau daripa mengerjakan ibadat lain.

Tugasan

Aras Petikan:

a)  Nyatakan dua tingkah laku buruk segelintir wanita seperti dalam rangkap pertama dan kedua. (2 markah)

b)  Mengapakah sesetengah wanita suka berhias diri secara berlebih-lebihan?   (3 markah)

c)   Apakah dua cara wanita menarik perhatian lelaki?   (2 markah)

d)   Berikan akibat suka berjudi dan bergaul bebas   (2 markah)

Aras kbkk:

e)  Wanita berakhlak rendah merugikan negara. Jelaskan dua alasan anda.      ( 4 markah)  

f)  Huraikan dua cara kaum wanita dapat menghindari tabiat suka menunjuk-nunjuk.   (4 markah)

Aras komsas:

g)  Berikan tiga persoalan dalam syair.    (3 markah)

h)  Berikan tema syair. Jelaskan satu alasan anda mengatakan demikian.  (3 markah)

No comments: