SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

MEMUPUK SEMANGAT SUKA RELA DALAM KALANGAN PELAJAR (VOLUNTEERING IN SCHOOL)

Proses pembelajaran seharusnya turut memupuk sifat ringan tulang yang tinggi dalam kalangan murid. Sebagai contoh, murid dengan suci hati tanpa perlu disuruh untuk membantu guru membawa beg atau buku ke bilik guru atau ke bilik darjah. Murid juga cepat-cepat mengutip sebarang cebisan sampah yang dilihat tanpa perlu diarah sepanjang masa.

Khidmat suka rela boleh dianggap sebagai petunjuk penting kejayaan pembelajaran. Murid diterapkan dengan nilai murni berkenaan seawal pendidikan prasekolah lagi. Pengukuhan menerusi sistem ganjaran berbentuk penghargaan lisan perlu sentiasa diulang-ulang dalam majlis rasmi sekolah. 

Murid sepatutnya dapat membezakan pekerjaan yang berbayar dengan perkhidmatan yang dihulurkan tanpa bayaran. Pekerjaan yang berbayar membabitkan perjawatan yang khusus dan kontrak yang dipersetujui. Khidmat suka rela diberikan tanpa apa-apa ikatan rasmi.

Aktiviti skala besar seperti gotong-royong ialah contoh khidmat suka rela oleh warga sekolah, terutama murid. Walaupun tidak menerima bayaran, titik peluh mereka eloklah diberikan sedikit ganjaran seperti air minuman dan sepotong dua kuih-muih. Maka, murid dapat mempelajari bahawa penganjur mana-mana khidmat suka rela harus tahu menghargai sumbangan kesukarelaan orang lain.

Penjagaan kebersihan dan keceriaan bilik darjah ialah satu lagi bentuk khidmat suka rela. Sebagai anggota sesebuah organisasi, murid harus akur akan tugas yang disepakati dengan ikhlas dan tulus. Tugas organisasi bilik darjah bukanlah satu beban justeru manfaatnya akan dinikmati kembali dalam bentuk persekitaran pembelajaran yang berkesan dan selesa.

Semangat suka rela di sekolah tentu sahaja boleh dibawa balik ke rumah. Ibu bapa akan berasa sangat gembira melihat anak bujang dan puteri mereka sentiasa bersedia melakukan aktiviti mengemas dan membersihkan rumah. Hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat.

Bagi menyemarakkan semangat suka rela, subtajuk yang khusus dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral boleh diperkenalkan. Islam menggalakkan pelaksanaan prinsip ta'awun (bertolong-tolongan) dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan menolak sama sekali perkara-perkara dosa dan permusuhan. Generasi muda di sekolah hendaklah dipersiapkan dengan prinsip kesukarelaan sedemikian...

No comments: