SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, June 13, 2011

KELAB TAAT DAPAT PUBLISITI PERCUMA (OVERKILLING DEFEATS THE PURPOSE)

Isu Kelab Taat yang mendapat liputan meluas media ekoran respons tokoh agamawan, cendekiawan, politikus dan selebriti telah memudahkan tugas kelab berusia setahun jagung itu menyebarkan berita penubuhannya tanpa membabitkan kos yang tinggi. Tiba-tiba masyarakat kenal Dr. Rohaya yang sebelumnya bukan siapa-siapa. Malah, kelab yang dikaitkan dengan Global Ikhwan itu mengembalikan ingatan terhadap ajaran kumpulan al-Arqam yang telah diwartakan sebagai pertubuhan haram.

Tujuan asal kritikan terhadap pendirian Kelab Taat ialah bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan idea-idea yang disifatkan sebagai pelik itu. Hakikatnya pendirian sesuatu aliran atau pertubuhan sangat bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki. Sepanjang sejarah pemikiran manusia, terdapat banyak kecenderungan untuk menjadi ekstrem, sama ada menjadi terlalu sempit atau menjadi terlalu longgar.

Strategi menyekat sesuatu idea boleh berubah kepada publisiti percuma. Apatah lagi apabila idea yang dilontarkan menyangkut kepentingan masyarakat seperti konsep hubungan suami isteri. Tumpuan yang berlebihan terhadap kelonggaran poligami hingga meletakkannya sebagai keutamaan telah menyebabkan perdebatan yang tidak perlu, kerana garis panduan oleh ulama muktabar telah ada.

Sikap enggan memperoleh ilmu secara sah menyebabkan banyak aliran pemikiran yang bergantung kepada akal fikiran dan tokoh pujaan telah merosakkan perpaduan sesebuah masyarakat. Akibatnya kesilapan asas dari segi konsep kehidupan, pergaulan, perjuangan dan tasawwur telah berlaku. Berlaku lencongan dan pemencilan (uzlah) yang jelas palsu.

Jika benar terdapat metafora yang melampau tentang peranan isteri, maka perkara itu amat malang kepada masyarakat yang cintakan ilmu yang sah. Rumah tangga ialah institusi suci yang menjamin kerukunan masyarakat. Sebarang percubaan merendahkan martabat institusi rumah tangga hendaklah dikekang seberapa segera.

Masyarakat jahiliah zaman dahulu menolak seruan tauhid oleh para nabi tanpa hujah yang benar. Mereka hanya bersandarkan amalan nenek moyang dan pemuka mereka yang berkepentingan. Cahaya ilmu telah terpadam dalam akal dan jiwa puak berkenaan.

Satu-satunya jalan bagi menghindari idea yang bersifat dangkal ialah ilmu yang sah. Bukanlah bijak namanya jika begitu cepat terpesona dengan penampilan luaran atau tutur kata yang lancar tanpa menyiasat latar belakang seseorang yang mendakwa dirinya begitu begini. Mohon petunjuk Ilahi supaya tetap di landasan yang benar...

No comments: