Friday, June 3, 2011
SAJAK "MENGINTAI RUANG INSAF" KOMSAS TINGKATAN 4
Pengenalan
Karya Shukri Abdullah ini termuat pada halaman 20 antologi Harga Remaja. Sajak terungkap dalam 4 rangkap dan 18 baris sahaja. Walaupun ringkas, tetapi penggunaan perkataan yang abstrak dan berbentuk perlambangan bererti bahawa pembaca perlu merujuk kamus sastera atau individu yang lebih arif tentang genre kreatif.
Sajak "Mengintai Ruang Insaf" bertemakan perjalanan hidup menuju keinsafan. Manusia memang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka, proses menilai diri, muhasabah atau introspektif ialah jalan terbaik bagi menebus segala ralat yang ada.
Perbincangan Rangkap Demi Rangkap
Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.
Apabila dirasakan diri demikian cetek dan kurang ilmu, segala amalan dan ikhtiar bagi menemukan cahaya Ilahi menjadi lebih sukar.
Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.
Dalam menelusuri kehidupan duniawi ini, banyak pelanggaran terhadap ketetapan agama dilakukan sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Penyajak menggambarkan dirinya sebagai insan yang tidak berdaya menangkis pelbagai jenis dugaan yang tiba, seperti pengaruh jahat (duri pidana) lagi mengelirukan (selirat akar). Maka, kemuliaan atau ketahanan diri (ancana = gunung) sudah lemah dan tiada lagi.
Sekadar songsong aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
"Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?"
Harapan masih disandarkan kepada percakapan lisan yang tidak benar-benar berbekas. Susunan huruf dalam perkataan tidak memiliki apa-apa kekuatan maknawi. Maka, dengan begitu banyak kesalahan yang dilakukan, adakah ruang keinsafan yang masih ada bakal diterima?
Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.
Sajak diakhiri dengan serangkap doa tulus. Wahai Tuhanku, aku berharap agar Engkau masih menerima taubat hamba-Mu ini sebelum azab api neraka menjulang dan membakar.
bersambung...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment