SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 5, 2011

KE ARAH PERSEKITARAN SELAMAT DI MALAYSIA (BETTER QUALITY OF LIFE)

Keselamatan rakyat ialah tanggungjawab sesebuah kerajaan yang memiliki segala sumber personel, kelengkapan dan lojistik yang perlu. Selain keselamatan daripada ancaman kuasa asing dan jenayah, kehidupan rakyat yang sejahtera dari segala segi termasuk politik, ekonomi, sosial, teknologi dan akhlak sentiasa diberi perhatian. Perpaduan rakyat ialah kunci kemakmuran negara dan sebagai insurans atau jaminan kelangsungan pembangunan.

Antara petanda penting keselamatan rakyat dari segi zahir ialah pergerakan ke sana ke mari tanpa rasa curiga dan takut yang keterlaluan. Sudah semestinya ciri berjaga-jaga dan waspada masih ada, tetapi tidaklah sampai sentiasa berasa cemas dan teragak-agak. Orang ramai masih bebas berurus niaga dan berkenderaan ke mana-mana.

Hal-ehwal keselamatan sempadan, termasuk perairan negara ditangani oleh angkatan bersenjata (tentera), sementelah ketenteraman awam di bawah kawalan pasukan polis. Tahap keselamatan negara diukur dengan beberapa kaedah seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan juga indeks persepsi rakyat. Setakat ini, sumber kerajaan mengatakan bahawa walaupun keselamatan rakyat bertambah baik, tetapi mereka masih diselubungi persepsi negatif yang masih tebal.

Perangkaan PDRM menunjukkan bahawa indeks jenayah telah menurun sebanyak 10 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2011 berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Malah, indeks jenayah jalanan seperti ragut dan samun telah mencatat penurunan sehingga 45 peratus.

Walaupun demikian, indeks persepsi orang awam terhadap keselamatan mereka masih belum menunjukkan tanda kelegaan. Kebimbangan rakyat masih tinggi, iaitu 52.8 peratus (2010: 58.5), manakala nisbah yang berpuas hati hanyalah 55.8 peratus (2010: 35.8). Maka, pihak polis perlu menambah baik mutu perkhidmatan dengan mendapatkan maklum balas awam, perisikan, pasukan pemikir strategik dan para cendekiawan.

Sebagai langkah jangka pendek, pasukan polis telah mengatur langkah berikut:

1   pelaksanaan konsep turun padang:  7,400 anggota polis

2   pentadbiran pasukan:  penempatan 4,013 kakitangan awam bukan polis

3   rondaan kawasan panas:  14,222 pegawai / anggota polis

4   kekuatan tambahan:  8,140 anggota gerak khas (PGA)

5   khidmat polis bantuan (PVR):  latihan kepada 5,000 anggota Rela dan JPAM (dahulunya JPA3)

Pengambilan anggota polis yang baharu dibuat menerusi saringan yang sangat ketat. Kini, pasukan polis sudah dianggotai oleh pegawai yang memiliki latar belakang akademik yang tinggi hingga ada sebahagian pegawai atasan polis memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah. Anggota polis sedia ada dipastikan mendalami pengajian kriminologi, undang-undang dan forensik supaya segala taktik terkini dunia jenayah dapat dilawan.

Mungkin sudah tiba masanya pusat latihan polis dinaik taraf sebagai akademi pengajian keselamatan antarabangsa yang menggabungkan modul pentauliahan jawatan pelbagai peringkat dan sains keselamatan domestik. Barangkali bilangan universiti awam sudah terlalu banyak untuk ditambah satu lagi dalam tempoh terdekat. Maka, sebarang penganugerahan ijazah boleh dibuat dengan kerjasama universiti yang turut menawarkan pengajian strategik seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

No comments: