SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, June 6, 2011

CUKAI DURIAN RUNTUH (SHARING THE WINDFALL PROFIT)

Antara punca kenaikan tarif elektrik baru-baru ini ialah keengganan firma-firma penjana tenaga bebas (IPP) berkongsi beban kenaikan kos pembelian gas asli (naik 28 peratus) untuk menjana 54 peratus tenaga elektrik negara. Sebaliknya, keseluruhan beban kos dipindahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdasarkan perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai pada dekad 1990-an. Ahli ekonomi berpendapat bahawa perjanjian itu sebagai berat sebelah, serta perlu dikaji semula.

Jika IPP berdegil menerusi manipulasi kontrak undang-undang, langkah pilihan yang boleh diambil ialah mengenakan cukai durian runtuh kepada mereka. Cukai durian runtuh pernah dikuatkuasakan atas keuntungan pengeluar kelapa sawit pada pertengahan tahun 2008. Sebahagian hasil cukai durian runtuh yang dikutip itu boleh digunakan semula bagi menyerap sebarang kenaikan harga yang akan ditanggung oleh pengguna akhir.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang dikuasai oleh Lembaga Tabung Haji, Azrul Azwar Ahmad Tajudin menjelaskan bahawa sebenarnya TNB telah dipaksa membeli tenaga daripada IPP pada tingkat harga dan kuantiti yang tidak munasabah hingga melebihi keperluan. Lebihan penawaran tenaga elektrik (reserve margin) di Malaysia kini ialah pada tahap 52.6 peratus, berbanding dengan Indonesia sebanyak 26 peratus dan Negeri Thai sebanyak 25.4 peratus (Berita Minggu, 5.6.11:25). Berbanding dengan IPP yang menikmati subsidi, TNB harus berhadapan dengan kos operasi, perbelanjaan modal (pembiayaan dan bayaran balik hutang), penyenggaraan dan kesan kenaikan indeks harga pengguna yang dipengaruhi ekonomi dunia.

Penggunaan arang batu (40.2 peratus) dan gas asli (54 peratus) sebagai bahan mentah menjana tenaga ialah sumber tradisional yang secara relatif lebih murah berbanding dengan penggunaan tenaga hidro atau nuklear. Namun, kedua-dua sumber bersifat tidak boleh diganti atau diperbaharui, bahkan makin menyusut. Halangan kepada teknologi sumber diperbaharui seperti hidro dan nuklear ialah kos permulaan yang tinggi, selain isu-isu alam sekitar seperti yang berlaku kepada projek Bakun di Sarawak.

Sementara menunggu penyelidikan sumber tenaga diperbaharui supaya lebih cekap dan berskala besar, saranan supaya IPP dikenakan cukai durian runtuh patut diberi pertimbangan yang serius. Tidak cukup menunjuk baik dengan menaja akses jalur lebar tanpa wayar percuma ke sebuah kampus universiti awam secara percuma yang tidak mencecah RM1 juta. Malah, mahasiswa terlebih dahulu mesti memiliki peranti modem bernilai RM99.

Pemilik IPP yang kaya-raya dan hidup mewah atas subsidi yang ditanggung oleh pembayar cukai perlu menunjukkan tanggungjawab sosial yang lebih tinggi, iaitu sedia berkorban sebahagian untung supaya kebajikan pengguna dapat dijaga. Dalam jangka panjang, kelangsungan IPP sangat bergantung kepada penerimaan pengguna akhir tenaga, terutama selepas PPA berakhir kelak.

Cukai durian runtuh wajar dikenakan kepada IPP walaupun untung mereka tidak melonjak kerana bagi mengekalkan paras untung IPP, TNB terpaksa memindahkan beban kenaikan kos dalam bentuk kenaikan tarif elektrik. Walaupun isi rumah yang menggunakan tenaga kurang daripada 300 kWj sebulan tidak terjejas, kesan rantaian pusingan kedua kepada industri intensif tenaga seperti pembuatan bahan binaan, baja, petrokimia dan teknologi automasi akan sampai juga kepada pengguna akhir dalam bentuk harga barang dan perkhidmatan yang terus meningkat. Jika pengguna akhir enggan berbelanja untuk membeli barang industri berkenaan, aktiviti ekonomi yang dijana oleh perbelanjaan agregat akan menguncup...

Nota hujung
Cukai durian runtuh ialah levi yang dikenakan sebagai tambahan ke atas keuntungan cukai korporat dalam keadaan sesebuah firma memperoleh keuntungan luar biasa, misalnya akibat kenaikan nilai mata wang, atau permintaan yang meningkat secara mendadak. Contohnya, cukai korporat maksimum yang dikenakan ialah sebanyak 26 peratus daripada untung perakaunan, maka tambahan cukai durian runtuh sebanyak 20 peratus lagi akan menjadikan jumlah cukai yang perlu dibayar sebanyak 46 peratus. Jumlah itu bagaimanapun masih rendah jika dibandingkan dengan sesetengah negara maju seperti Jerman yang mengenakan cukai langsung sehingga 70 peratus!

No comments: