SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 12, 2011

PIALA FA: TERENGGANU SEKAT IMPIAN KELANTAN (LAST MINUTE SURVIVED)

Arahan taktikal yang betul oleh jurulatih pasukan bolak Terengganu, Irfan Bakti untuk mencuba nasib hingga ke saat-saat terakhir nyata berbaloi. Semua pemain, kecuali penjaga gol, diarah mengasak kubu pasukan Kelantan yang sudah di ambang kejuaraan piala FA edisi 2011. Akhirnya, Terengganu berterima kasih kepada Daudsu Jamaludin, tonggak benteng Perwira Merah yang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri beberapa saat sahaja sebelum wisel penamat ditiupkan dalam permainan yang berlarutan hampir 8 minit masa kecederaan.

Irfan Bakti ialah bekas pemain kebangsaan dan memiliki pengalaman yang panjang sebagai jurulatih yang berjaya. Irfan juga pernah berkhidmat dengan sebuah pasukan kelab di Indonesia. Kelantan pula dibimbing oleh Datuk M. Karathu, bekas pemain Perak dan kebangsaan, yang ditauliahkan sebagai jurulatih oleh Persatuan Bola Sepak England.

Angka 11 kebetulannya membawa tuah kepada skuad negeri penyu itu. Kod bagi kad pengenalan warga kelahiran Terengganu ialah 11. Kejuaraan kali kedua ini pada tahun 2011 mengulangi pencapaian 11 tahun yang lalu.

Tarikh kemenangan ialah 11.6.2011 dengan jumlah pemain di padang juga 11 orang. Kemenangan itu secara automatik melayakkan Terengganu beraksi dalam kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) edisi 2012. Piala kemenangan disampaikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu, merangkap Yang Dipertuan Agong.

Baru seminggu Kelantan membenam Terengganu 3-0 di laman lawan, tetapi di laman berkecuali, dan dalam suasana perlawanan akhir, percaturan Irfan Bakti menjadi. Kecuali insiden lontaran mercun bola api, penyokong kedua-dua negeri berjiran itu yang dipisahkan agak jauh (dengan sederetan tempat duduk yang dikosongkan) mempamerkan tahap disiplin yang tinggi. Kehadiran sejumlah 2,600 anggota polis, termasuk rondaan pasukan berkuda ternyata berkesan.

Sultan Kelantan, Dato' Nik Aziz, Dato' Ahmad Said, exco negeri dan pemimpin persatuan bola sepak negeri masing-masing turut berada di stadium. Bola sepak telah mendapat perhatian istana dan pemimpin kerajaan. Dengan kehadiran 85,000 orang penonton, kancah saingan bola sepak negara kembali meriah.

Keserasian pemain ialah faktor kritikal kejayaan sesebuah pasukan bola sepak. Maka, peranan penting itu digalas oleh jurulatih yang berwibawa. Di England, pasukan Manchester City yang menghimpun pemain-pemain ternama dunia sejak dua tahun lalu masih belum menemukan keserasian yang mampu membawa pasukan ke puncak kejuaraan liga walaupun telah merangkul Piala FA baru-baru ini. Keserasian juga tidak semestinya kekal pada setiap perlawanan.

Beberapa perkara dapat dipelajari daripada permainan bola sepak jika hendak diambil sebagai metafora organisasi. Antaranya:

1  keserasian antara setiap komponen organisasi sama ada pegawai atasan atau pekerja biasa ialah faktor kritikal kejayaan organisasi

2   proses membuat keputusan yang betul pada waktu genting boleh mengubah nasib organisasi

3   sentiasa berwaspada dengan kebangkitan pesaing sedia ada, atau dengan kemunculan pesaing baharu

4   tidak memandang ringan kepada ancaman di ambang kejayaan

5   tidak bergantung kepada pencapaian lalu semata-mata

6   menyediakan pelan B untuk menghadapi keadaan luar jangkaan

Keputusan penuh:

Terengganu 2 (Dausu Jamaludin: gol sendiri Kelantan(90+), Ahmad Nordin Alias: 108; Kelantan 1 (Nurul Azwan Roya: 78)

Pemain terbaik: Marzuki Yusof (kapten Terengganu)

Tempat perlawanan:  Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

No comments: