SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 30, 2012

APABILA ORANG MUDA MUFLIS (HEAVY DEBT BURDEN)

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan bahawa purata 40 orang rakyat Malaysia berusia antara 30 hingga 40 tahun diisytiharkan muflis setiap hari Maknanya, hampir 1,500 orang muda negara kita muflis saban tahun. Bagi suku pertama tahun ini (januari hingga Mac), 30 peratus (= 1,354 orang) kes muflis membabitkan golongan muda berusia di bawah 34 tahun, termasuk siswazah yang baharu bekerja.

Sumber Berita Harian bertarikh 28 Oktober lalu juga memetik semakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tentang perincian golongan muflis dalam tempoh yang sama. Sejumlah 47 peratus kes muflis membabitkan orang Melayu, 34 peratus Cina, 9 peratus India dan 10 peratus kaum lain. Kegagalan melunaskan pinjaman kenderaan menduduki senarai teratas kes muflis, iaitu 27 peratus, diikuti pinjaman perumahan (28 peratus), pinjaman peribadi (18 peratus) dan pinjaman perniagaan (14 peratus).

Selangor mencatat kes muflis tertinggi, iaitu 23.05 peratus daripada keseluruhan 4,568 kes. Jabatan Perangkaan pula melaporkan nisbah muflis dengan penduduk di negeri berkenaan ialah 1:581, iaitu bagi setiap 581 orang penduduk Selangor, seorang diisytiharkan muflis. Tempat kedua diduduki oleh Johor (17.93 peratus), dan ketiga, WP Kuala Lumpur (13.4 peratus).

PPIM juga mendakwa terdapat banyak juga kes membabitkan penipuan dan penganiayaan terhadap mangsa  dengan penggunaan butiran peribadi secara tidak sah untuk pinjaman bank. Tindakan sebelah pihak oleh pihak bank tanpa siasatan yang adil menunjukkan bahawa mereka tidak mahu bersusah payah mengutip hutang walaupun hakikatnya berlaku kezaliman. Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969 perlu dipinda bagi menghadapi taktik licik para penjenayah dan penyangak era digital dan atas talian kini.

Pada keseluruhannya dalam tempoh lima tahun terakhir, jumlah kes muflis golongan muda dianggarkan mencecah 50,000 orang. Syarat pinjaman yang longgar dan tempoh pinjaman yang panjang telah dikenal pasti menyumbang terhadap perbelanjaan yang tidak terkawal oleh golongan muda. Misalnya, siswazah yang baharu bekerja beberapa hari sudah mampu memiliki kereta import baharu tanpa bayaran pendahuluan, serta kadar asas keuntungan bank (BLR) yang rendah, iaitu antara satu hingga tiga peratus sahaja

Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kawalan kredit terpilih dengan lebih ketat, iaitu bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga belian dan tempoh pinjaman disingkatkan semula, bantahan diterima daripada pengeluar kenderaan penumpang terkemuka, termasuk Perodua. Mereka memberi alasan bahawa tempahan kenderaan telah merosot dengan mendadak hingga 20 peratus. Sistem bayaran pinjaman secara progresif, iaitu dengan jumlah yang rendah pada tahun pertama, serta meningkat dari tahun ke tahun sesuai dengan kenaikan gaji juga dikaji semula.

Pemilikan kenderaan penumpang, terutama kereta memang penting kepada golongan muda atas pertimbangan keselamatan berbanding dengan motosikal yang berisiko lebih tinggi di jalan raya. Namun, cita rasa yang terlalu tinggi, atau rambang mata mengakibatkan golongan muda memperuntukkan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk menjelaskan ansuran kereta 'mewah' mereka. Walaupun BNM menetapkan bayaran ansuran semua sekali hutang mesti tidak melebihi 40 peratus pendapatan bulanan, hakikatnya ialah banyak lagi hutang tersembunyi yang tidak tercatat dalam slip gaji rasmi.

Golongan muflis boleh dianggap sebagai papa kedana kerana segala urusan pemilikan harta dan penyusunan hutang mereka ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Mereka kehilangan harga diri gara-gara mengikut hawa nafsu yang serakah, nasib kurang baik atau menjadi mangsa jenayah. Sebelum keadaan menjadi lebih buruk, permohonan pinjaman orang muda yang dikenal pasti ada unsur luar biasa harus dirujuk terlebih dahulu kepada AKPK sementara menunggu pindaan akta muflis yang sejajar dengan perkembangan semasa...

No comments: