SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 31, 2012

TAUFAN SANDY MELUMPUHKAN NEW YORK (DISASTER SURVIVAL AND TECHNOLOGY AID)

Bencana tsunami yang mengorbankan lebih suku juta jiwa di Asia Tenggara dan Asia Selatan beberapa tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Kederasan air yang mencecah hampir 100 kilometer sejam itu melanggar dan merempuh apa-apa sahaja objek yang berada di laluannya sama ada manusia, mahupun harta benda. Kehilangan nyawa dan kemusnahan prasarana fizikal yang berlaku itu amat dahsyat.


Kini, bencana yang berpunca daripada laut lepas kembali menunjukkan kuasa tanpa mengenal status sesebuah negara yang memiliki tahap teknologi termaju, iaitu Amerika Syarikat. Tuan rumah mercu tanda terkenal dunia, The Statue of Liberty, iaitu New York bergelap dan tunggang-langgang akibat banjir, pokok tumbang dan struktur bangunan yang terjejas teruk. Kegiatan ekonomi di kota kewangan terbesar dunia itu turut ditutup sehingga keadaan pulih.















kawasan berhampiran dengan The Statue of Liberty juga tenggelam
sumber gambar: Yahoo.com


Sistem amaran bencana yang canggih telah membantu penduduk New York meninggalkan kediaman masing-masing sebelum taufan itu membadai petempatan mereka. Imej satelit yang dihantar membayangkan ancaman bencana yang terburuk dalam sejarah bandar raya berkenaan. Buat seketika, New York bertukar sebagai bandar raya yang sepi, tetapi penjenayah dan penyagak dijangka mengambil kesempatan untuk bermaharajalela di premis perniagaan dan kediaman yang ditinggalkan.

Negara yang memiliki pesisir pantai yang panjang atau negara kepulan yang tidak ditampan oleh banjaran gunung-ganang sangat berisiko tinggi untuk dilanda taufan yang membawa angin yang sangat kencang dan persis suara teriakan yang sangat menakutkan. Haiti dan Filipina ialah antara negara miskin yang sering berhadapan dengan bencana taufan yang menggila. Dalam konteks Malaysia, pulau yang berada pada kedudukan laut lepas seperti Tioman juga terdedah kepada aktiviti ribut tropika pada penghujung tahun.

Laporan Reuter yang dipetik olah Yahoo di URL http://my.news.yahoo.com/massive-storm-sandy-crashes-ashore-jersey-001730586.html menyebut bahawa taufan Sandy membadai resort perjudian terbesar New York di Atlantic City. Peristiwa berkenaan direkod sebagai bencana alam terburuk di sana sejak beberapa generasi dan turut menjejaskan kempen pilihanraya presiden sebelum proses pembuangan undi mulai pada 6 November ini. Barack Obama berpeluang menghuni Rumah Putih andai kata berjaya menangani bencana Sandy dengan baik, supaya tidak mengalami nasib buruk calon pengganti George W Bush yang gagal menangani taufan Katrina
Sungai Hudson di New York

Angka korban Sandy di Amerika Syarikat meningkat kepada 63 orang daripada sejumlah 135 kematian yang dicatat bersama dengan negara-negara Carribbean dan Canada. Keadaan dijangka pulih dalam tempoh terdekat, tetapi trauma yang dialami oleh penduduk terbabit akan menghantui mereka buat seumur hidup. Pengalaman yang dilalui tidak ubah seperti baharu lepas daripada akibat perang.

Setiap fenomena bencana alam skala besar seperti taufan dan tsunami hendaklah diambil iktibar sepanjang masa. Musibah boleh menimpa sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja tanpa memilih mangsa. Walaupun Amerika Syarikat dibenci kerana keangkuhannya sebagai kuasa besar ketenteraan, rakyat biasa negara berkenaan tetap layak menerima empati dan simpati setiap insan yang budiman dan rasional.

Walaupun kemarahan terhadap Rumah Putih tentang dasar luar yang membuli negara lemah dan sokongan membabi buta terhadap rejim haram Tel Aviv, hubungan sesama insan merentasi pengaruh emosi dan sentimen. Sepatutnya dalam keadaan kritikal seperti itu, usaha dakwah patut digiatkan menerusi pelbagai cara termasuk dengan tingkah laku (bi'l-hal) tentang kuasa Yang Maha Pencipta terhadap hamba dan makhluk yang bersifat baharu Jika Allah menghendaki, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya (kun fayakun: jadi, maka jadilah).

Dalam surah ar-Rum (30:41) dengan jelas ditegaskan tentang punca kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia. Maksudnya, apabila kezaliman telah berleluasa, maka Allah mengirimkan pelbagai bentuk peringatan, termasuk bencana alam yang dahsyat agar insan kembali berfikir tentang jalan yang benar. Kezaliman yang dimaksudkan ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, seperti pelakuan maksiat dan pencemaran alam sekitar.

Kisah kaum 'Ad dan Tsamud yang lenyap sama sekali ditelan bumi kerana keingkaran yang melampau terhadap rasul yang diutus kepada mereka ialah bukti bahawa setiap bencana yang dikirim sudah pasti memiliki mesej dan sebab yang khusus. Bencana mungkin menimpa golongan tertentu di negara yang tertentu pula, tetapi bahawa keberkesanan dan kesungguhan dalam usaha dakwah mungkin masih belum optimum. Ertinya, banyak lagi usaha penerokaan dan penyelidikan tentang kaedah (uslub) dakwah yang berkesan serta penetapan sasaran dakwah (mad'u) perlu melepasi tahap amatur dan biasa-biasa

Kejadian taufan Sandy patut membuka jendela minda kita seluas-luasnya. Sebenarnya banyak lagi bahagian rantau yang mundur telah dilanda bencana alam dan krisis kemanusiaan yang dahsyat, tetapi kurang mendapat liputan media yang dikuasai oleh kumpulan pelobi dan saudagar propaganda tertentu. Maka, sifat terpuji (mahmudah) hendaklah disemarakkan supaya konsep ihsan menjadi rahmat kepada sekalian alam...

No comments: