SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 3, 2012

CABARAN PELAKSANAAN KAEDAH KULIAH DI SEKOLAH (REINVENTING PEDAGOGICAL WISDOM)

"Harapan setinggi gunung, hancur berderai menjadi debu..." Demikian lirik sebuah lagu saduran Let Just Kiss and Say Goodbye yang pernah dipopularkan oleh kumpulan 'Tulang Anjing Hitam' (Black Dog Bone) kira-kira tiga dekad yang lalu. Namun, bukan menjadi tujuan tulisan ini untuk melayan lagu 'jiwang' itu yang ditujukan barangkali untuk anak-anak muda yang mabuk asmara, dan terjebak dengan pergaulan bebas lepas.

Mesej pendek yang hendak diambil ialah sering terjadi jurang antara harapan dengan kenyataan, antara realiti dengan fantasi, dan antara langit dengan bumi. Guru masuk ke bilik darjah dengan semangat yang berkobar-kobar dan dengan persiapan yang cukup rapi untuk melunaskan amanah agama, bangsa dan negara, serta supaya setimpal dengan gaji yang ditanggung oleh pembayar cukai. Maka, tentulah sangat sayang jika sambutan murid begitu dingin, bagaikan membungkus hingga ke tulang sum-sum.

Sebagai ahli ikhtisas yang berbekalkan segala input falsafah pendidikan, psikologi, sosiologi, pedagogi dan amalan kurikulum, guru sentiasa bersedia menerima hakikat bahawa sebagai insan biasa, mereka hanya mampu merancang, tetapi pada akhirnya Tuhan yang menentukan hasilnya. Tingkah laku kanak-kanak mungkin boleh diramalkan, tetapi tindak balas mereka terhadap ransangan persekitaran tetap misteri. Maka, guru yang telah lazim dengan bimbingan kecerdasan emosi akan mampu bersabar, bertolak ansur dan bersedia melakukan proses penyesuaian aktiviti pembelajaran yang perlu.

Kaedah kuliah lebih kuat penerimaannya dalam kalangan pelajar pengajian tinggi dan prauniversiti seperti matrikulasi, A Level, foundation dan baccalaureate. Namun, untuk pelajar tingkatan enam yang masih dipengaruhi persekitaran sekolah, kaedah kuliah menempuh jalan yang agak sukar. Hanya di tangan guru yang kreatif, kaedah kuliah dapat dipakej semula dan diberi nafas baharu. 

Kaedah kuliah sehala hampir pasti menyebabkan pelajar cepat hilang tumpuan, sebaliknya lebih sibuk melayan perasaan keremajaan mereka, atau mula bergosip dengan rakan sebelah. Terdapat juga pelajar yang menyiapkan tugasan mata pelajaran lain justeru berasa bahawa isi kuliah yang disampaikan itu nanti boleh dibaca kemudian. Guru yang peka tidak cepat tersinggung atau mula naik marah, sebaliknya cuba menarik perhatian pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang berfokus kepada isi pelajaran tanpa menjejaskan sesi kuliah yang sedang berjalan.

Contohnya, guru lebih banyak mendedahkan kemahiran generik pembelajaran, seperti cara mengasingkan setiap pemboleh ubah atau parameter yang terdapat dalam isi pelajaran, kemudian dihubung kait dan diaplikasi dalam pengalaman sebenar pelajar. Kalau guru hanya menyampaikan kuliah ala isi buku teks, pelajar akan membuat keputusan untuk berada dalam zon penolakan pembelajaran. Kalau hal itu yang berlaku, maka sia-sia sahajalah reka bentuk perancangan aktiviti pembelajaran oleh guru.

Guru yang budiman dan inovatif akan sentiasa melakukan muhasabah atau penilaian kendiri terhadap keberkesanan kaedah kuliah yang disampaikan. Guru cuba meletakkan diri mereka sebagai pelajar untuk mengetahui sama ada mereka sendiri sanggup mendengar sesi kuliah atau syarahan melebihi 20 minit. Guru harus cepat membaca daya tarikan dan magnet yang diperlukan oleh pelajar dalam proses pembelajaran.

Sesungguhnya, kaedah kuliah masih relevan kepada pelajar menengah atas dan tinggi, tetapi patut menerima sentuhan kreativiti menerusi banyak aktiviti sokongan yang menjurus kepada penyampaian isi pelajaran. Kuliah tidak lagi sesuai berbentuk sehala, sebaliknya diselang-seli dengan pelbagai 'acara' dan gimik supaya momentum pembelajaran sentiasa dapat dipacu dengan hebat dan bertenaga. Pelajar akan menganggap bahawa guru ialah sebenar-benar rakan kecemerlangan mereka, manakala jurang generasi seolah-olah sirna...

No comments: