SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, October 22, 2012

UMAT ISLAM TIDAK RELA DIINJAK (THE RELIGION OF PEACE AND TOLERANCE)

Sejak keruntuhan empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924, kedudukan umat Islam di serata dunia mula terumbang-ambing. Fahaman sekular tersebar di seluruh dunia Islam dalam segenap urusan kehidupan, termasuk ilmu pengetahuan dan intelektual. Berdasarkan pusingan sejarah, setiap 100 tahun bakal muncul mujaddid yang membawa pembaharuan untuk mengembalikan kegemilangan umat di persada yang tinggi.

Fenomena Arab Spring yang melanda rantau timur tengah telah menyaksikan perubahan kepimpinan yang lebih dekat kepada prinsip siasah syar'iyyah. Kombinasi Erdogan dan Abdullah Gul di Turki telah berjaya melemahkan pengaruh tentera yang menganggap diri mereka sebagai penjaga sekularisme. Di Mesir, Presiden Morsi juga bertindak dengan bijak dan cermat sehingga kuasa awam dapat dipulihkan secara beransur-ansur.

Rakyat Maghribi dan Algeria juga telah memilih kepimpinan yang dikuasai oleh gerakan Ikhwanul Muslimin. Pergolakan di Syria juga dijangka berakhir dengan skrip yang sama. Kekuatan negara-negara Arab yang tidak gentar dengan ancaman rejim haram Tel Aviv yang merampas tanah Palestin sejak tahun 1948 sudah pasti merosakkan rancangan militan Yahudi yang mahu mewujudkan Israel Raya

Walaupun tekanan hebat dikenakan kepada masyarakat minoriti Islam di Eropah, bilangan umat Islam terus bertambah, sama ada secara semula jadi, atau penganut baharu. Momokan tentang keganasan al-Qaeda tidak memberi bekas kepada majoriti umat Islam kerana imej seperti Osama ben Laden dan puak Taliban lebih bersifat pinggiran. Umat Islam tetap berpegang kepada al-Qur'an dan al-Sunnah, serta pengalaman sirah sebagai rujukan.

Keganasan sebenarnya berlaku kepada umat Islam, terutama sebagai masyarakat minoriti seperti di Urumchi, China dan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar. Di Kemboja, lebih dua juta umat Islam dihapuskan oleh pengganas kejam yang bernama Pol Pot. Umat Islam di Bosnia juga pernah dibantai oleh puak Serbia yang sangat zalim.

Negara Indonesia pula menjadi sasaran proses kristianisasi. Hari ini sudah terdapat sejumlah 30 juta penduduk Indonesia menganut agama Kristian selepas begitu ramai yang murtad. Perkahwinan orang Islam dengan pasangan berlainan agama telah diizinkan sehingga menyebabkan berlaku kecelaruan yang teruk tentang status rumah tangga yang dibina itu.

Krisis di wilayah Mindanao, selatan Filipina nampak reda sedikit selepas perjanjian antara kerajaan Filipina dengan pejuang bangsa Moro (MINF dan MILF) dimeterai baru-baru ini. Gencatan senjata dan keamanan yang dinikmati membuka ruang kepada kegiatan dakwah dan kemajuan umat Islam di sana. Kemajuan ekonomi dan pendidikan juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cekap.

Provokasi terhadap umat Islam akan berlaku sehingga akhir zaman. Musuh akan menggunakan pelbagai cara untuk memporak-perandakan umat. Serangan halus melalui filem, fesyen dan makanan (3F's: film, fashion, food) misalnya dibuat secara halus dan terancang. Mereka sengaja memancing emosi umat supaya bertindak balas secara melulu, dibakar emosi amarah dan tidak dibimbing oleh ilmu yang sah.

Umat Islam di Malaysia boleh disifatkan sebagai matang kerana lebih banyak berpegang kepada prinsip dakwah daripada menghukum. Walaupun terdapat isu panas tentang penghinaan terhadap syariat, masyarakat Islam maklum bahawa pandangan itu hanya bersifat terpencil dan dilontarkan oleh kelompok kecil yang jahil dan rendah akhlak mereka. Ruang untuk proses dialog yang sihat masih terbuka supaya segala perkara sensitif yang dibangkitkan dapat dikendalikan dengan bimbingan ilmu pengetahuan yang sah...

No comments: