SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, October 26, 2012

KEMULIAAN SIKAP PEMAAF (LETTING GO OF THE PAST)

Nilai saling memaafkan ialah antara punca kerukunan hidup dalam masyarakat dan organisasi. Dalam bahasa mudah, seseorang yang berasa bahawa dirinya teraniaya tidak menyimpan perasaan dendam di dalam hati. Seseorang yang pemaaf memiliki jiwa besar, unggul dan budiman.

Pakar motivasi, Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, sering menyebut tentang keperluan memaafkan semua orang setiap kali hendak melelapkan mata. Saranan itu bertujuan supaya seseorang itu sentiasa bersedia membuka lembaran baharu dalam kehidupan setiap kali muncul hari yang baharu. Kesudian memaafkan orang lain umpama melepaskan beban berat yang ditanggung sebelumnya.

Perasaan tersinggung atau berasa teraniaya boleh terjadi tanpa disedari oleh orang lain sama ada secara bersemuka atau jarak jauh. Ucapan kata yang bermaksud gurauan boleh mengganggu ketenteraman emosi seseorang. Memang banyak sekali orang yang tidak peka tentang sensitiviti sama ada perihal fizikal seseorang atau sebarang perbezaan cara berfikir.

Orang yang dikenali dan rapat mungkin menyebut tentang boroi (gendut), ukuran ketinggian, warna kulit, dan sebagainya. Orang yang tidak dikenali, termasuk penceramah di kaca televisyen juga mungkin menggores perasaan jika dia bercakap lepas atau pukul borong sahaja. Perasaan tersinggung mengakibatkan rasa marah yang berpanjangan, melainkan ada kesediaan memberi maaf.

Dalam kes yang lebih ekstrem, hati seseorang juga mudah tergores apabila kemahuan dirinya tidak mendapat persetujuan oleh orang lain. Misalnya, seorang suami melayan perasaan rajuk apabila keinginan untuk memiliki kenderaan yang baharu tidak mendapat sokongan isteri dan anak. Begitu juga seorang abang sulung mendapati bahawa dia tidak dominan dalam kalangan adik-beradiknya yang berpendidikan tinggi.

Hubungan kemanusiaan dalam sesebuah organisasi pula lebih rencam kerana terdapat golongan atasan (superior) dan juga bawahan (subordinat). Ketua organisasi perlu menjaga terlalu banyak perkara sehingga terlupa memberi perhatian kepada komunikasi mesra dengan pegawai dan kakitangan. Tanpa disedari, berlaku pelbagai bentuk adu domba, drama, gosip, intrig, komplot, konspirasi dan wayang yang menjejaskan daya saing organisasi.

Perbuatan menyimpan perasaan bengang, geram, kesal, marah dan terkilan secara berpanjangan boleh mendatangkan akibat buruk dari segi kesihatan mental dan fizikal. Tekanan psikologi sudah tentu memudarkan seri pada wajah, penampilan yang tidak ceria dan garis kedut terbentuk lebih cepat. Pendek kata, sebahagian nikmat kehidupan yang penting pergi begitu sahaja.

Dari segi kesihatan tubuh badan pula, perbuatan 'makan dalam' itu boleh mengakibatkan fungsi organ terjejas kerana menahan degup jantung yang lebih kencang. Sepertimana hidup orang yang merana, si pendendam akan mengalami pengumpulan asid di dalam perut yang boleh membawa penyakit seperti barah usus (ulser) dan kemerosotan sistem reproduksi. Gejala penyakit seperti sering pening, mual dan hilang selera makan sudah tentu mengundang penyakit yang lebih berat.

Kesediaan memberi maaf bukanlah bererti suatu kekalahan, atau orang yang berkenaan bebas daripada hukuman Tuhan, jika dia benar-benar bersalah. Sebaliknya, pemberian maaf itu lebih bersifat terapi kejiwaan atau tazkiyah yang sangat dituntut oleh agama. Maka, sebelum tidur dan membawa doa Allahumma bismika ahya wa amut, maafkan semua orang, walaupun mereka tidak tahu.

Dengan kemurahan hati memberi maaf, semoga orang lain juga sudi memberikan kemaafan yang sama. Sebagai insan biasa yang tidak sunyi daripada melakukan khilaf dan dosa, kita juga mendambakan kemaafan yang terindah. Sesama manusia saling bermaafan, sedangkan kepada Allah kita memohon ampun dan taubat nasuha.

Jika dua orang yang beriman bertelingkah, maka menjadi kewajipan insan terdekat untuk mendamaikan mereka. Andai kata salah satu pihak masih degil atau enggan berdamai, maka cara-cara yang lain hendaklah dilakukan. Hukamak mengatakan bahawa seorang musuh sudah terlalu ramai, sedangkan seribu orang sahabat masih terlalu sedikit...

No comments: