SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 18, 2012

PERANAN GURU DATA DI SEKOLAH (PRIVATE AND CONFIDENTIAL INFORMATION)

Aplikasi sistem pangkalan maklumat atas talian memungkinkan profil dan sejarah perkhidmatan seseorang guru tidak lagi bergantung kepada salinan bercetak dalam fail bertali hijau yang disimpan di dalam laci bilik khas pejabat sekolah. Sebahagian maklumat guru kini boleh diakses menerusi pelbagai aplikasi, misalnya Emis, Hrmis, e-pangkat, SPLG dan lain-lain. Setakat ini, reka bentuk keselamatan data menerusi tatacara penggunaan nama pengguna dan kata laluan peribadi berjaya menghalang risiko serangan penggodam atau penularan virus.

Sebahagian tugas penyimpanan data guru juga berpindah daripada kendalian kakitangan pejabat (pembantu tadbir) kepada guru data yang dilantik secara khusus. Guru data bertanggungjawab kepada Penolong Kanan dan Pengetua, serta berhubung rapat dengan pegawai data di pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri. Guru data perlu melaksanakan kemas kini maklumat guru, termasuk pentadbiran sekolah, dari masa ke masa.

Kebiasaannya guru data diperuntukkan sejumlah 12 waktu mengajar di bilik darjah, manakala 12 waktu lagi diperuntukkan untuk tugasan berkaitan dengan maklumat guru. Namun, seperti tugas keguruan yang lain, sebahagian kerja berkaitan harus diselesaikan di luar waktu tugas rasmi, bahkan dibawa balik ke rumah. Terdapat banyak maklumat segera yang perlu dimasukkan tanpa boleh ditangguh.

Norma perjawatan guru data ialah berasaskan sekolah, iaitu tertentu kepada sekolah yang berkenaan sahaja. Andai kata guru data berkenaan berpindah sekolah, atau menyambung pengajian, maka jawatan guru data yang disandang akan luput secara automatik, melainkan menerima lantikan semula. Lazimnya, jawatan guru data diamanahkan kepada guru yang memiliki kemahiran sistem komputer dan jaringan.

Memandangkan hakikat bahawa guru data memiliki akses yang tidak terhad terhadap maklumat perkhidmatan guru, termasuk hal yang dianggap sulit, iaitu butiran gaji, maka guru data terikat kepada etika kerahsiaan yang tinggi. Sepertimana doktor perubatan, guru data tidak boleh menyebarkan maklumat yang berada dalam kawalan tugasnya, kecuali kepada pihak yang diberi izin dan sah. Kepercayaan yang tinggi terhadap guru data dapat menjamin keharmonian dalam organisasi sekolah.

Guru data perlu menjalin hubungan yang baik dengan semua guru, termasuk pentadbir sekolah, bagi melicinkan proses kemas kini maklumat atas talian yang bakal mempengaruhi kemajuan kerjaya setiap orang guru. Segala urusan perkhidmatan seperti cuti belajar, naik pangkat dan permohonan tukar sekolah tertakluk kepada maklumat yang dikemas kini oleh guru data. Faktor hubungan dengan pihak atasan tidak lagi menjadi sebab utama seseorang guru untuk dicalonkan jawatan naik pangkat atau kelulusan permohonan yang lain.

Bagi memastikan proses kerjasama guru berada pada tahap tertinggi, guru data perlu menyampaikan keperluan kemas kini maklumat guru menerusi hebahan nota papan kenyataan, edaran bercetak, pengumuman lisan semasa mesyuarat rasmi guru, atau menerusi portal dan laman sesawang sekolah. Guru data juga sentiasa bersedia dengan senarai semak penerimaan maklumat agar tidak berlaku sebarang keciciran. Pendek kata, guru data kena ada sistem rekod maklum balas yang autentik.

Guru data akan menerima banyak permintaan daripada pihak berkuasa pelajaran untuk kemas kini maklumat guru apabila wujud keperluan tertentu. Apabila tiba masanya, nama guru yang sudah layak naik pangkat, atau perlu membuat pengisytiharan harta akan timbul di dalam aplikasi sistem atas talian. Seseorang guru data yang cekap begitu berjasa kepada pihak sekolah dan cukup membantu semua guru di sekolah untuk menikmati kemajuan kerjaya yang hebat...

No comments: