Tuesday, October 2, 2012
MENGGILAP BAKAT TERPENDAM MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN (GIVING HOPE TO THE LESS FORTUNATE CHILDREN)
Konsep pendidikan inklusif yang menempatkan murid pelbagai tahap pencapaian kognitif, afektif dan psikomotor di bawah satu bumbung sekolah bertepatan dengan pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Sekolah model khas yang melaksanakan konsep pendidikan inklusif tidak mengasingkan murid berdasarkan pencapaian akademik dan keupayaan jasmani. Terdapat kumpulan murid yang berkebolehan dalam bidang akademik dan terdapat juga program pendidikan khas untuk golongan kanak-kanak kelainan upaya, pintar cerdas dan bermasalah tingkah laku.
Integrasi semua murid dilakukan menerusi kegiatan bilik darjah untuk mata pelajaran umum, misalnya muzik dan pendidikan jasmani. Murid berkeperluan khas kemudian dibimbing oleh guru pendidikan khas seperti pemulihan pertuturan, pengurusan diri dan pendidikan pembacaan senyap, serta nyaring. Sekolah juga menyediakan klinik rawatan awal yang dikendalikan oleh kakitangan paramedik yang terlatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan mendadak.
Sekolah model khas seperti itu memerlukan reka bentuk prasarana dan kemudahan peralatan yang bersesuaian. Kepimpinan sekolah juga dilantik dalam kalangan pendidik yang memiliki kepakaran dalam pentadbiran sekolah model khas dan pelaksanaan kurikulum pendidikan inklusif. Sekurang-kurangnya, penolong kanan pendidikan khas akan bertindak sebagai figura penting pengetua dalam bidang kepakaran yang dimaksudkan.
Guru pendidikan khas yang terlatih memang wajar diberi beberapa keistimewaan seperti bayaran elaun bulanan yang lebih tinggi daripada elaun kritikal lain yang diberikan kepada guru teknikal dan BISP. Tahap kesabaran dan tumpuan mereka dalam membimbing murid berkeperluan khas hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang sanggup berkorban dengan suci hati. Harapan yang terpikul di atas pundak mereka begitu tinggi.
Sekolah harian biasa yang tidak memiliki kemudahan dan kepakaran pendidikan khas sebenarnya juga tidak sunyi daripada masalah murid bermasalah pembelajaran. Hakikatnya, memang ada murid yang kelihatan normal pada zahirnya, tetapi berkeperluan khas hanya jika telah menjalani ujian klinikal atau pengamatan pakar menerusi inventori tertentu. Masalah buta huruf mungkin sudah menjadi kes terpencil, namun bilangan murid yang tidak menaruh minat langsung dalam orientasi akademik tidak kecil jumlahnya.
Penubuhan kolej vokasional di seluruh negara mulai tahun 2013 mungkin menangani sebahagian kes berkenaan, tetapi sebahagian murid bermasalah pembelajaran akan kekal di sekolah harian biasa yang tidak memiliki kemudahan dan kepakaran pendidikan khas. Langkah memperkenalkan pakej mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah harian dijangka menawarkan penyelesaian dan jalan keluar. Andai kata kumpulan murid yang sudah menyertai program harapan lulus (Halus) pun hanya mencatat kemajuan yang terhad, maka MPV boleh menjadi jawapan yang ampuh.
Kebolehan kognitif aras tinggi dengan sejumlah konsep mujarad (abstrak) mungkin sukar dijangkau oleh murid bermasalah pembelajaran. Namun, pakar psikologi percaya bahawa setiap insan mungkin hanya mampu menonjolkan beberapa sisi bakat yang ada dalam diri masing-masing, sedangkan jumlah bakat terpendam yang tidak digilap umpama gergasi yang tidur. Maka, di tangan kepimpinan sekolah yang penyayang dan prihatin, peluang setiap kanak-kanak untuk mengembangkan potensi dan fakulti yang ada dalam diri masing-masing akan diberi tanpa pilih kasih.
Sisi imaginasi dan kreativiti kanak-kanak sering tidak mendapat penghargaan dan pengiktirafan sepenuhnya. Kanak-kanak umpama maknikam (permata yang sangat mahal), manakala guru ialah jauhari (pakar permata). Dalam konteks pendidikan inklusif, tidak syak lagi bahawa kepimpinan sekolah dan guru sangat serasi dengan peribahasa 'hanya jauhari mengenal maknikam'...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment