SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 28, 2012

KELEBIHAN MENGAJAR DI SEKOLAH RENDAH (MULTIPLE PROSPECT OUTCOME)

Kini, lebih banyak guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah dan pendidikan prasekolah. Mereka ialah siswazah terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Fenomena ini mungkin suatu kejutan di negara kita, tetapi telah menjadi amalan biasa di negara-negara maju.

Menerusi sistem saraan gaji sebaris dan asas tempoh perkhidmatan, guru prasekolah dan rendah juga boleh mencapai tahap gred DG 54 yang setara dengan gaji pengetua sekolah menengah, pegawai pelajaran daerah dan pengarah jabatan pelajaran negeri, malah mungkin melebihi gaji profesor madya di universiti. Maka, tidak timbul soal rendah diri atau rasa leceh kerana harus melayan kerenah budak kecil. Sebaliknya, dunia pendidikan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan inovasi, asal sahaja seseorang itu memiliki daya usaha dan kreativiti dalam menjalankan tugas dengan suci hati.

Cabaran mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah sudah lebih rencam berbanding dengan dahulu. Murid sekolah rendah generasi Y juga terdedah dengan pelbagai bentuk perkembangan teknologi gajet dan jaringan terkini yang menjadi tema perbualan sesama mereka. Budak sekolah rendah begitu cekap dan kreatif dalam aplikasi perisian komputer untuk tujuan menyiapkan tugasan atau pembentangan.

Murid sekolah rendah mungkin lebih mudah dikawal secara berbanding dengan budak sekolah menengah walaupun dari saiz fizikal mereka juga besar panjang. Usia biologi dan usia akal mereka masih dalam kategori mentah dan suci. Namun, murid sekolah rendah zaman sekarang lebih bersifat terus terang dan boleh gelak secara spontan jika guru tersalah cakap.

Latar belakang pendidikan dan sosioekonomi ibu bapa kepada murid sekolah rendah juga sudah berubah. Kini, sebahagian besar murid dihantar oleh ibu bapa ke sekolah dengan kenderaan persendirian, terutama di kawasan bandar atas faktor keselamatan. Penjenayah dan penyangak sentiasa berkeliaran di mana-mana dan murid sekolah rendah menjadi sasaran niat jahat mereka.

Ibu bapa yang memiliki akses pendidikan minimum tingkatan lima serta bekerja akan lebih mengambil berat tentang kemajuan pelajaran anak masing-masing. Cerita anak tentang peristiwa di sekolah dipandang serius dan kemungkinan untuk berlaku tindakan di luar dugaan tidak dapat ditolak. Risiko paling besar ialah apabila cerita di sekolah mendapat perhatian wartawan akhbar arus perdana atau aduan dibuat terus kepada pihak kementerian, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

Pengaruh media tradisional dan atas talian mengakibatkan murid sekolah rendah juga menjadi lebih agresif dari segi lontaran idea dan pola tingkah laku. Guru harus sentiasa peka terhadap kemungkinan tingkah laku lencongan (devian) walaupun dalam skala kecil sahaja. Guru sekolah rendah sudah memikul tanggungjawab yang berat dalam proses mengembangkan bakat, potensi dan fakulti kanak-kanak dalam ketiga-tiga domain kognitif, afektif dan psikomotor atau dalam bahasa modal insan, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Cabaran pendidikan sekolah rendah juga lebih hebat dengan pengenalan KSSR dan PBS sebagai ganti kepada kaedah pedagogi, pengukuran, penilaian dan pentaksiran berorientasi peperiksaan per se. Kajian tindakan yang bersifat refleksi dan penambahbaikan amalan bilik darjah juga bakal muncul sebagai budaya baharu berkonsepkan guru sekolah rendah sebagai pakar dan penyelidik bidang pengkhususan masing-masing. Guru sekolah rendah tidak lagi sekadar pengguna input ikhtisas luaran, sebaliknya menyediakan reka bentuk amalan pedagogi berdasarkan persekitaran bilik darjah in-situ.

Maka, dengan sekian panjang senarai peranan, tugas dan tanggungjawab guru sekolah rendah, pelaburan dalam pembiayaan pengajian mereka hingga ke peringkat siswazah sebenarnya berbaloi. Mereka bukan calang-calang guru yang hanya masuk kelas keluar kelas, tetapi menggembleng segala kepakaran ikhtisas yang ada bagi melakukan inovasi dan penambahbaikan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kerjaya keguruan akan lebih dihormati dan sebarang 'serangan' amatur lebih mudah ditangkis.

Kelebihan, kegembiraan dan keseronokan guru sekolah rendah ialah murid yang dididik oleh mereka boleh berjaya dalam pelbagai bidang, tidak seperti sekolah menengah pengkhususan (sekolah teknik, vokasional, prauniversiti), apatah lagi di peringkat pengajian tinggi. Murid sekolah rendah mungkin berakhir sebagai doktor, arkitek, akauntan, jurutera dan ahli ikhtisas yang lain. Alangkah bahagianya bahawa pada suatu hari kelak ada insan yang masih mengenali guru sekolah rendah yang sudah bersara...

No comments: