SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

GURINDAM 12 FASAL YANG KEENAM (COUPLETS AND INSINUATIONS IN MALAY POEMS)

Selain pantun dan syair, antologi Harga Remaja, iaitu teks komsas tingkatan 4 turut memuatkan gurindam dan seloka. Walaupun amat ringkas, setiap satunya hanya mengandungi lapan baris puisi, tetapi kebijaksanaan yang terkandung begitu mendalam. Kekuatan diksi dan perutusan yang ditampilkan begitu membekas.

Hayati setiap baris gurindam 12 fasal yang keenam terlebih dahulu:

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.


Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.


Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.


Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

(Puisi-puisi Raja Ali Haji, DBP: 1993,
selenggaraan Abu Hassan Sham,
dalam antologi Harga Remaja: halaman 11)

Sahabat, guru, isteri dan kawan merupakan antara insan terpenting dalam kehidupan seseorang. Pengalaman hidup Raja Ali Haji sekitar tiga abad yang lalu diabadikan dalam sebuah gurindam ringkas, tetapi begitu mendalam maknanya. Saranan yang diungkapkan tetap relevan walaupun mungkin membabitkan persekitaran dan zaman yang berlainan.

Sahabat ialah cerminan keperibadian seseorang. Sahabat yang boleh dijadikan ubat ialah sahabat yang boleh dipercayai, yang sedia berkongsi suka duka, yang sanggup berkorban dan menghiburkan hati kita pada kala duka dan gundah. Sahabat sedemikian ialah penawar yang mujarab dan ikhlas dalam persahabatan.

Bijak pandai mengatakan seribu orang sahabat masih terlalu sedikit, tetapi seorang musuh sudah terlalu ramai. Sahabat yang menjadi ubat sentiasa memberikan kita kekuatan minda dan semangat juang bagi menempuh cabaran hidup. Sahabat yang menjadi ubat ialah pelindung yang hebat dan menjadi calon naungan arasy.

Guru yang boleh tahukan setiap seteru ialah guru yang dapat membantu kita mengenal segala musuh yang terang-terangan dan juga yang tersembunyi. Malah, musuh itu mungkin ada dalam diri kita sendiri, iaitu bisikan, hawa nafsu dan sikap yang cenderung ke arah apologetik, negatif dan pesimistik. Guru yang sedemikian membuka jendela tingkap jauhari menerusi sesi muhasabah diri atau introspektif yang jujur.

Musuh luaran perlu dikenal pasti dengan kebijaksanaan. Senarai musuh luaran begitu panjang, justeru lebih banyak yang tidak boleh dikenali dengan pandangan mata kasar atau zahir. Dalam istilah kaunseling, kebanyakan manusia diumpamakan memakai topeng bagi menyembunyikan identiti dan keperibadian mereka yang sebenar.

Isteri yang boleh menyerahkan diri ialah isteri yang solehah. Calon isteri yang dicari hendaklah wanita yang dapat menjadi teman hidup yang taat kepada perintah Allah dan Rasul, serta taat kepada suami. Menyerah diri bukanlah bererti menjadi hamba atau orang suruhan sang suami, sebaliknya bersedia melepaskan cara hidup silam semasa masih bujang atau dalam kawalan keluarga sendiri.

Seorang isteri yang menyerahkan diri sentiasa menyedari peranan dan tanggungjawab baharu yang dipikul, iaitu "rakan kongsi" rumah tangga, dan sebagai bakal ibu yang berkesan walaupun mungkin memiliki kerjaya sendiri. Cara mencari isteri yang menyerahkan diri boleh dibuat menerusi bantuan kaum keluarga, organisasi dan rakan yang layak dipercayai. Jika masih berbelah bahagi, si lelaki bolehlah solat istikharah bagi mendapatkan petunjuk Ilahi.

Kawan perlu dipilih dalam kalangan yang bersifat setiawan (setia kawan). Beza kawan dengan sahabat ialah dari segi bilangan dan keakraban hubungan. Kawan boleh jadi ditemui dalam persekitaran organisasi seperti di sekolah, tempat kerja dan urusan perniagaan.

Walaupun bilangan kawan jauh lebih banyak daripada sahabat, serta mungkin tidak serapat sahabat, pemilihannya tetap perlu dihalusi. Kawan yang setiawan tidak akan bermuka-muka, atau menikam rakan daripada belakang. Sebaliknya, kawan yang setiawan akan menjaga kerahsiaan kita walaupun dia atau mereka berpeluang untuk melakukan perkara yang sebaliknya... 



Soalan petikan


i.   Nyatakan orang-orang yang disarankan oleh pemuisi untuk dicari.         (2 markah)

ii.   Berikan ciri dua orang yang perlu dicari menurut saranan pemuisi.         (2 markah)


Soalan KBKK


iii.   Pada pendapat anda, mengapakah sahabat yang boleh menjadi ubat perlu dicari?     (3 markah)

iv.   Cadangkan dua cara bagi mencari kawan yang setiawan.    (3 markah)


Soalan Komsas


v.   Huraikan dua persoalan dalam gurindam di atas.    (3 markah)

vi.   Jelaskan dua nilai daripada gurindam.    (3 markah)

No comments: