SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, October 9, 2010

MUSIM HAJI SUDAH KEMBALI (PHYSICALLY PILGRIMAGE, SPIRITUALLY TRAVELOUGE)

Sabtu: 1 Zulkaedah 1431 / 9.10.10

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berjumlah 350 orang mula berlepas ke tanah suci Madinah hari ini. Berdasarkan kuota 0.1 peratus daripada jumlah penduduk, dianggarkan hampir 30,000 orang rakyat Malaysia berpeluang mendapat giliran sebagai tetamu Allah di dua tanah haram bagi menunaikan rukun Islam kelima itu. Secara keseluruhannya, kira-kira tiga juta umat Islam seantero dunia bakal berhimpun secara serentak menjelang 8 Zulhijjah (pertengahan November ini) di padang Arafah sebagai menandakan bermulanya kerja haji.
Kerajaan monarki Arab Saudi yang diterajui Raja Abdullah yang bergelar khadam al-haramain, hamba dua tanah haram Makkah dan Madinah, telah berusaha keras untuk menaik taraf pelbagai kemudahan dan prasarana fizikal demi keselamatan dan keselesaan jemaah haji. Hotel-hotel lama telah dirobohkan, medan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi diperluas. Sistem kereta api aliran ringan juga mula diperkenalkan bagi menggantikan sistem pengangkutan bas yang didapati mengundang risiko kesesakan perjalanan, terutama pada waktu puncak pergerakan jemaah haji dari Makkah - Arafah - Musdalifah - Mina - Makkah - Madinah.
Bagi jemaah haji yang masih gagah, mereka juga boleh memilih untuk menggunakan laluan terowong pejalan kaki yang menghubungkan Mina dengan Makkah dalam jarak 7 kilometer, atau satu jam setengah perjalanan. Kebiasaannya, jemaah dari benua kecil Indo-Pakistan dan Turki yang sudah biasa berulang-alik kerana menyewa penginapan di pertengahan kedua-dua lokasi dilihat paling ramai menggunakan laluan terowong berkenaan. Dari Makkah, terowong bermula berhampiran tapak kelahiran Nabi, yang kini ditandai dengan bangunan perpustakaan mini.
Kaum wanita yang berkeperluan menunaikan tawaf rukun haji dengan segera mungkin perlu balik sekejap dari Mina, di samping menentukan tempoh bermalam yang mencukupi di sana. Pekerjaan tawaf hanya sah jika seseorang jemaah dapat memelihara wuduk (air sembahyang). Kaedah fiqh al-masyaqqah tajlibu't-taisir, kesukaran membolehkan kelonggaran, perlu difahami dalam konteks aplikasi hukum yang muktabar dengan bimbingan guru haji memandangkan tiada pengasingan jemaah dilakukan.

Prinsip berjimat cermat dan sedia berkorban memang menjadi sebahagian disiplin para jemaah. Penggunaan air mandian dan membasuh seharusnya diminimumkan supaya sumber air yang terhad dapat dikongsi bersama-sama. Jemaah juga mesti bertolak ansur terhadap budaya, kebiasaan dan tingkah laku jemaah negara lain yang tidak sama dengan pembawaan orang Malaysia.

Ujian bagi memperoleh haji mabrur (haji yang diterima Allah) memang banyak. Pemeliharaan aqidah, syariat dan akhlaq secara tuntas menjadi teras ke arah itu. Sesungguhnya keikhlasan dan kesabaran yang menghiasi peribadi para Rasul dan Nabi ialah kunci utama kejayaan melaksanakan kerja haji yang diredai Allah...

No comments: