SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 14, 2010

PENGGUNAAN BUKU TEKS DI SEKOLAH MENENGAH (THE “LIFE SPAN” OF TEXTBOOKS)


Buku teks ialah rujukan utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah.  Buku teks bolehlah dinisbahkan sebagai sebuah empangan yang dibina berdasarkan spesifikasi  kedalaman, keluasan dan muatan air yang akan ditampung. Buku teks ialah penanda aras liputan dan batasan untuk tujuan aktiviti kurikulum dan pentaksiran.
Kepentingan buku teks dibuktikan menerusi peruntukan besar kerajaan menyediakan skim pinjaman buku teks (SPBT) kepada semua pelajar dari tahun 1 sekolah rendah hinggalah tingkatan 5. Hanya pelajar prauniversiti tingkatan 6 yang harus membeli sendiri buku teks mereka. Buku teks yang diperakukan telah melepasi segala bentuk tapisan, terutama keselarasannya dengan sukatan pelajaran dan falsafah pendidikan kebangsaan.

Kelebihan buku teks berbanding dengan buku rujukan tambahan, suplemen dan buku kerja ialah penyediaannya dilakukan oleh panel penulis dan penilai yang pakar dalam bidang mata pelajaran masing-masing, serta telah mengambil kira semua kehendak domain pendidikan, iaitu kognitif, afektif, dan psikomotor. Isi kandungan dan persembahan buku teks juga disesuaikan dengan aras pencapaian murid, serta peruntukan masa aktiviti bilik darjah. Pendek kata, fungsi buku teks tidak boleh diambil alih oleh buku rujukan, modul atau e-buku teks yang telah diubahsuaikan.

Penggunaan buku teks di sekolah rendah, serta kebanyakan mata pelajaran di sekolah menengah memang telah dioptimumkan. Di tangan guru yang kreatif dan inovatif, buku teks akan menjadi bahan bantu mengajar (BBM) yang paling lengkap. Segala aktiviti bilik darjah, modul dan tugasan murid semata-mata menggunakan buku teks secara optimum.

Buku teks memberi keadilan kepada semua murid tanpa mengira status sosioekonomi untuk memiliki akses terhadap ilmu pengetahuan yang lengkap dan sah. Asas ilmu pengetahuan tetap sama walaupun mungkin berlaku perubahan dari segi contoh dan huraian. Isu keusangan fakta dalam buku teks tidak harus timbul jika semua pihak akur bahawa murid sekolah patut dibekalkan dengan asas pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi menjana modal insan minda kelas pertama yang didambakan oleh negara.

Isu keusangan fakta buku teks boleh ditangani jika pihak berwajib menyediakan laman sesawang atau portal khas yang mengemas kini contoh dan huraian kepada asas pengetahuan dari masa ke masa. Penegasan perlu dibuat bahawa pentaksiran sama ada secara formatif atau sumatif digubal berdasarkan asas pengetahuan yang terkandung dalam buku teks semata-mata. Aras kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian (taksonomi Bloom) juga telah diterapkan dalam kandungan asas pengetahuan buku teks.
Isu beban beg berat yang berkaitan dengan ketebalan buku teks dapat diatasi jika naskhah buku teks dipecahkan kepada beberapa jilid mengikut penggal persekolahan dalam setahun. Selain itu, perancangan aktiviti bilik darjah yang berkesan dapat mengelakkan penggunaan buku teks sebagai baca dan dengar sahaja. Modul pembelajaran yang dirujuk daripada kandungan teks akan menjadikan aktiviti bilik darjah lebih menarik, menyeronokkan dan berkesan.

Walaupun penggunaan e-teks dan e-buku makin meluas, tetapi isu kesihatan mata perlu diberi pertimbangan. Berlama-lama di hadapan skrin komputer mungkin mengakibatkan kelesuan kornea dan retina. Susuk tubuh dan penampilan fizikal generasi muda Malaysia juga mungkin dipengaruhi tempoh berlama-lama tunduk menghadap skrin komputer.

Kekerapan perubahan huraian sukatan pelajaran sepatutnya tidak menjejaskan tempoh hayat buku teks. Kalaupun kita perlu menyemak huraian sukatan berkenaan setiap dua tahun sekali, buku teks yang akur kepada penyediaan asas ilmu pengetahuan boleh bertahan dalam tempoh yang lebih panjang. Buku teks tidak mungkin dapat disaingi oleh rujukan tambahan yang lebih menjurus kepada keuntungan wang ringgit…

1 comment:

eddy ipoh said...

sekolah lama saya ni cikgu