SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, October 30, 2010

PENDIDIKAN KEUSAHAWANAN SEKOLAH RENDAH (NURTURE BUSINESS MINDED)

Ipoh, Sabtu: 30 Oktober 2010 / 22 Zulkaedah 1431

9/10 rezeki berpunca daripada bidang perniagaan. Hadith berkenaan begitu selaras dengan model pusingan aliran pendapatan dalam teori ekonomi. Interaksi antara isi rumah dengan firma di pasaran barang (dan perkhidmatan), serta di pasaran faktor (pengeluaran) hakikatnya membabitkan urus niaga jual beli.

Pendedahan tentang bab perniagaan dan keusahawanan perlu dipupuk sejak alam kanak-kanak lagi. Perniagaan ialah suatu ibadah selama mana diikhlaskan demi keredaan-Nya, serta mematuhi segala hukum-hakam yang ditetapkan. Etika dan nilai murni wajib menjadi pegangan setiap peniaga jika ingin bertahan lama dalam bidang perniagaan yang penuh peluang, risiko dan saingan.
Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh (SKSA) buat kesekian kalinya berjaya menganjurkan karnival hari keusahawanan. Menurut Yang Mulia Raja Zainal Abidin, guru besar SKSA, projek tahunan sekolah itu bertujuan menyemai semangat keusahawan dalam kalangan murid sejak tahun satu. Lot niaga diserahkan kepada kelas terpilih untuk kendalian murid, di bawah bimbingan dan pengawasan guru.
Beliau mengakui bahawa ketahanan murid menjaga gerai mungkin sukar sampai lima jam, iaitu jumlah masa yang diperuntukkan. Sebagai kanak-kanak yang tidak betah duduk diam, mereka juga teringin untuk berlegar-legar meninjau gerai-gerai yang lain. Sebab itulah menjelang pukul 10 pagi, gerai mula "diserahkan" di bawah kendalian guru pembimbing mereka!
Namun, pendedahan kira-kira dua jam awal berkenaan sudah cukup sebagai titik tolak inspirasi keusahawan. Mereka sudah boleh mempelajari pengalaman sebenar urus niaga dan mengaplikasikan kemahiran interpersonal yang selama ini dipelajari di dalam bilik darjah. Kenangan yang diperoleh pasti sukar dilupakan walaupun barangkali mereka memilih bidang yang lain sebagai punca pendapatan masa hadapan mereka.
Selain ruang niaga, SKSA turut menjemput beberapa organisasi untuk menjayakan pameran dan promosi keluaran masing-masing. Walaupun di bandaraya Ipoh ibu bapa boleh membawa anak mengunjungi pameran yang lebih besar, kedatangan petugas organisasi yang bersedia melayani pertanyaan murid sekolah rendah dirasakan mempunyai impak yang tersendiri. Lagi pun, bahan-bahan pameran bersesuaian dengan objektif karnival yang turut menekankan keusahawanan yang luhur dan sihat.
Sebagai daya tarikan supaya ibu bapa dan murid menunggu lebih lama dan barang jualan lebih laris, beberapa acara sampingan diadakan. Terdapat pertandingan bola jaring, futsal dan tarik tali yang bermula dari awal pagi hingga ke penghujung karnival. Kedatangan ibu bapa yang "dipaksa" oleh anak-anak merupakan satu lagi peluang untuk berkomunikasi dengan pentadbiran dan guru-guru SKSA...

No comments: