SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, October 22, 2010

MENDAYA, MENDAYAI, MENDAYAKAN (CONTRADICTION AND VARIATION)

Tajuk ucapan dasar "Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran" dalam sebuah perhimpunan politik kelmarin menarik perhatian tentang istilah yang digunakan. Sama seperti istilah "kecapaian" yang pernah digunakan untuk tema hari kemerdekaan negara suatu ketika dahulu yang mengundang kontroversi. Kecapaian bererti keletihan (capek: leksikon Indonesia).

Mendaya ialah kata terbitan daya yang menerima imbuhan "men". Kamus Dewan edisi keempat (2005:321) memberi maksud daya sebagai:

1   kekuatan, tenaga, keupayaan, kemampuan

2   akal, ikhtiar, jalan

3   muslihat, tipu

Apabila menerima imbuhan "ber" dengan fungsi "mempunyai", maka kesemua tiga maksud di atas digandingkan dengannya. Contohnya, mempunyai kekuatan, mempunyai akal, atau mempunyai muslihat.

Namun, apabila menerima imbuhan 'men", Kamus Dewan hanya bertumpu kepada maksud "tipu" sahaja. Mendaya disekalikan dengan memperdaya, memperdayakan, dan mendayakan. Maksud yang diberikan ialah menjalankan tipu daya (muslihat), menipu.

Keadaan menjadi berlainan apabila imbuhan "men...i" digunakan. Mendayai diberi maksud:

1   menipu, mengakali

2   mempengaruhi

3   memberi tenaga (kekuatan, dan sebagainya)

Penggunaan imbuhan "ter" pula dihadkan untuk maksud mampu dan tenaga. Terdaya tidak boleh dimaksudkan untuk pengaruh atau tipu. Begitu juga dengan terperdaya yang dikhususkan untuk tertipu.

Kedayaan pula merujuk kepada maksud kebolehan membuat sesuatu. Perdayaan dibataskan terhadap perihal  (perbuatan) mendayai atau mendayakan, iaitu penipuan sahaja. Perdayaan juga dikhususkan kepada maksud tipu dan muslihat.

Penggunaan imbuhan membawa implikasi maksud perkataan yang mungkin sekali jauh berbeza. Contohnya mengahwini ertinya berkahwin dengan, atau menjadikan isteri (suami). Mengahwinkan pula bererti menikahkan (orang lain), menjadikan beristeri, memperisterikan (rujuk Kamus Dewan edisi keempat:655).

Terdapat juga beberapa rangkai kata yang menggunakan perkataan daya. Misalnya daya maju, daya saing dan daya upaya. Semuanya menjurus kepada maksud kebolehan, kekuatan dan kemampuan. Tiada lagi konotasi negatif seperti tipu muslihat.

Dalam karya kreatif pula, maksud sesuatu perkataan tidak terikat kepada mana-mana kamus rasmi. Pemilihan kata atau diksi tidak semestinya sama dengan maksud dalam kamus. Sesuatu istilah dimanipulasikan sebagai unsur hiperbola, metafora, simile dan lain-lain. 

Ahli-ahli bahasa juga terbahagi dalam pelbagai aliran, kelompok dan mazhab kebahasaan. Sebab itulah munculnya kajian psikolinguistik, sosiolinguistik, transformasi generatif (Chomsky) dan lain-lain. Di Malaysia, tatabahasa Za'aba masih menjadi pegangan.

Bahasa sentiasa bersifat dinamik dan terbuka. Kemajuan teknologi dan penemuan fenomena baharu dalam pelbagai bidang ilmu mewujudkan keperluan pengistilahan yang lebih terkini. Kita serahkan kepada ahli bahasa untuk memberi pedoman...

No comments: